RETRO BOLA SEPAK - 39
Pada 10 November 1989, Tembok Berlin, binaan dinding batu bata utuh yang memisahkan satu negara bangsa kepada dua, sepanjang 155 kilometer mula diruntuhkan oleh rakyat Jerman, sama ada dari Barat mahpun Timur.

Tembok Berlin ini dibina oleh Republik Demokratik Jerman atau Jerman

Timur, sedari Ogos tahun 1961, memisahkan sama sekali Kota Berlin kepada dua bahagian.

Berlin Timur menjadi ibu negara Jerman

Timur sementara Berlin

Barat merupakan wilayah berdaulat milik Jerman Barat. Kenapa sebegitu, panjang ceritanya, dan pastinya sebab-musababnya adalah disebabkan perbezaan ideologi pasca Perang Dunia Kedua dahulu.

Jadi Tembok Berlin sepanjang 155 kilometer dan sempadan wilayah Jerman Timur itu memagari sepanjang sempadan wilayah Berlin Barat, memisahkan sama sekali dengan wilayah Jerman yang lain, sama ada Jerman Barat mahupun Jerman Timur. Justeru, pada penduduk Berlin Barat kalau hendak ke wilayah Jerman Barat yang lain, tiada cara lain selain menggunakan pengangkutan kapal terbang.

Dek kerana Tembok Berlin ini lah, mengakibatkan ada

segelintir penyokong bola sepak turut menerima kesan apabila terhalang daripada menghadiri perlawanan pasukan mereka di stadium.

Penyokong kelab HERTHA BSC atau lebih dikenali sebagai Hertha Berlin, kelab yang pernah menyaksikan seorang anak Malaysia mencurah bakat, iaitu Lim Teong Kim. Hertha Berlin itu terletak di sebelah Berlin Barat.

Terbinanya Tembok Berlin, maka para penyokong Hertha Berlin di sebelah timur Kota Berlin tidak lah dapat untuk datang ke stadium untuk menyaksikan perlawanan. Hendak lepasi Tembok Berlin itu bukan mudah. Sepanjang 155 kilometer tembok tersebut punyai pos pengawal. Banyak kejadian cubaan menyelinap keluar dari Berlin Timur untuk ke bahagian barat oleh penduduk Jerman Timur, namun menemui kegagalan.

Belum sempat kaki jejak ke bahagian barat Kota Berlin, mereka ini lazimnya berjaya ditangkap ataupun ditembak mati serta-merta.

Hertha Berlin pada waktu Tembok Berlin siap sepenuhnya pada tahun 1961, menggunakan Stadion am Gesundbrunnen sebagai laman utama.

Stadium am Gesundbrunnen ini terletak sangat hampir dengan sempadan Tembok Berlin.

Punya lah sayang para penyokong Hertha Berlin yang tinggal di sebelah timur Kota Berlin, setiap kali perlawanan kelab tersebut mereka akan berdiri berhampiran Tembok Berlin untuk mendengar perlawanan.

Kedudukan Stadium am Gesundbrunnen yang sangat hampir dengan Tembok Berlin membolehkan gema sorakannya berkumandang menjangkau ke arah Tembok Berlin. Siapa yang berdiri berhampiran dengan tembok tersebut dapat dengari sorakan seisi stadium.

Jika seisi stadium bersorak, penyokong Hertha Berlin di sebelah timur Tembok Berlin akan turut sama bersorak. Dan itu lah rutin mingguan para penyokong setia Hertha Berlin daripada sebelah timur, meskipun seringkali dihambat dan disuraikan oleh anggota keselamatan Jerman Timur kerana acapkali berhimpun beramai-ramai berhampiran dengan Tembok Berlin.

Yang dapat lari dan selamatkan diri tak mengapa lah. Tapi bagi yang tidak sempat, kena sebuku lima sesepak dua itu biasa.

Kemudian tidak berapa lama selepas itu, Hertha Berlin berpindah bermain di stadium cukup bersejarah yang pernah menjadi venue Sukan Olimpik, Olympiastadion Berlin. Stadium yang pernah menyaksikan pelari Amerika Syarikat, Jesse Owens menggegar Sukan Olimpik di hadapan Adolf Hitler.

Jarak Olympiastadion Berlin dengan Tembok Berlin kira-kira 8 batu jauhnya.

Bila mana teknologi kian berkembang, dan sukan bola sepak mula diulas menerusi siaran radio, ia memberi sedikit kelegaan kepada para penyokong Hertha Berlin di sebelah timur Berlin walaupun mereka tidak lagi dapat mendengar sorakan seperti mana ketika Hertha Berlin bermain di Stadium de Gesundbrunnen.

Bagaimana para penyokong Hertha Berlin di sebelah timur ini mendapatkan maklumat terkini tentang kelab kesayangan mereka

Ada antara mereka berutus surat dengan kenalan di sebelah barat. Ada juga menyeludup keratan akhbar dan majalah sukan. Ia sudah memadai buat para penyokong setia ini, meskipun kadangkala maklumat yang diperoleh agak lambat. Rutin itu berterusan sehingga lah Tembok Berlin runtuh.

Dua hari selepas runtuhnya Tembok Berlin, seramai 15,000 orang penyokong Hertha Berlin dari sebelah timur berarak menuju ke stadium bagi menyaksikan perlawanan antara kelab kesayangan mereka dengan SG Wattenscheid 09.

Hertha Berlin pada waktu itu berada di kedudukan kedua Divisyen Dua Liga Jerman, dan sedang memburu slot ke liga utama. Sebanyak 44,000 tiket sudah habis terjual dan pihak kelab telah bermurah hati memperuntukkan sebanbyak 15,000 tiket lagi secara percuma kepada para penyokong kelab dari timur Berlin. Olympiastadion Berlin menjadi sangat penuh dan padat!

Dari segenap Kota Berlin, dari pinggir daerah dan kampung, buat pertama kalinya sedari 30 tahun, Hertha Berlin dirai oleh penyokong sejatinya.

Bila mana Jerman Barat dan Jerman Timur, disatukan menjadi negara sebangsa, Kota Berlin dipilih sebagai ibu negara.