Van biru itu dipandu ke suatu bangunan terpencil yang berada nun di hujung kampung. Sebuah rumah yang kelihatan dari luar seperti rumah yang telah ditinggalkan kerana keadaannya yang usang dan tak terurus.
Borhan meletakkan van tersebut bersebelahan dengan sebuah van hitam yang ada di situ. Setelah semua turun, van biru itu ditutup dengan kain.
Mereka berlima masuk ke dalam rumah yang kelihatan usang itu. Di dalam rumah tersebut ada skrin-skrin besar dan pelbagai kelengkapan berteknologi tinggi lain yang digunakan untuk memantau seseorang. Alat penjejak, teropong laser, alat komunikasi, malah senjata api. Dan di rumah yang usang diluar tapi canggih di dalam itulah tempat Han berlima beroperasi sejak setahun yang lepas. Memantau setiap pergerakan Anom dan orang-orang sekitarnya.
"Sampai bila baru operasi kita ni akan berakhir" soal Hanif pada Borhan.
"Sampai kita dah pasti yang bayi tu dah selamat dilahirkan."
"Tapi kenapa kita kena buat pemantauan sampai macam ni Sebelum ni tak ada pun kena macam ni..."
"Berapa kali aku nak cakap Perempuan terpilih ni lain. Dia istimewa. Bukan macam perempuan-perempuan terpilih yang sebelum ni."
"Kau tau kenapa" Farhan menyela.
Borhan diam. Yang lain menumpu padanya. Mereka tahu dia tahu sesuatu. Dalam mereka berlima, Borhan yang paling tua, dan yang paling lama melakukan kerja ini.
"Perempuan terpilih ni punya satu kebolehan yang luarbiasa. Dia boleh nampak apa yang orang lain tak nampak. Satu bakat semulajadi yang dia ada sejak kecil. Sebab tu dia terpilih untuk membawa kandungan yang paling penting dalam sejarah organisasi kita sejak penubuhannya lebih seratus tahun yang lepas."
"Kenapa penting sangat budak ni"
"Dengan gabungan genetik semulajadi perempuan terpilih, dan benih istimewa yang kita tanamkan, akan melahirkan seorang manusia yang boleh melihat apa saja yang sedang berlaku dalam dunia sekitarnya tak kira dekat ataupun jauh. Dan keupayaan untuk melihat bermaksud keupayaan untuk mengetahui. Maka hasilnya dia akan menjadi seorang yang tahu segalanya. Kerana dia dapat lihat segala-galanya. Termasuk perkara-perkara yang berlaku di luar skop kemampuan penglihatan manusia biasa. Dia juga akan tahu segala-galanya termasuk perkara-perkara yang masih menjadi rahsia untuk kebanyakan manusia. Kebolehan ini sangat penting untuk organisasi. Sebab dia akan mampu untuk menjawab semua persoalan yang kita tanya selama ni. Memperbaiki setiap kesilapan dan kelemahan. Mengisi semua kekosongan dalam pelan yang sekarang ni tidak kukuh. Dia juga akan menjadi orang pertama yang mampu untuk mencipta satu formula yang paling sempurna bagi mengubah dunia. Sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh organisasi sejak dulu. Dia akan membawa perubahan yang dinanti-nantikan oleh semua orang. Organisasi kita, akhirnya akan lengkap dengan kelahiran dia."
Hanif, Farhan, Idzhan dan Raihan menelan liur mendengar penerangan Borhan. Mereka baru sedar akan tahap kebesaran misi mereka.
"Tentang benih istimewa. Kau tahu siapa sumbernya Aku dengar... ianya datang daripada sumber yang... bukan manusia Malah, bukan sesuatu yang dikenalpasti oleh pengetahuan dunia moden. Sesuatu yang datang dari... luar Luar dunia... ataupun luar dimensi. Itu yang aku dengar. Tapi mungkin cuma khabar angin dalam organisasi. Aku pun tak tau. Kau tau apa-apa tentang tu" soal Idzhan yang curiga akan salah satu rahsia yang paling besar disimpan oleh orang-orang atasan mereka.
Borhan senyum mendengar soalan itu.
"Kau orang tau aku tak boleh kongsi maklumat tu dengan kau orang semua kan Lagipun percayalah cakap aku. Kau tak mau tahu. Lebih sikit yang kau tau lebih baik untuk otak kau."
"Okay fine. Kalau tak boleh bincang pasal tu, pasal operasi boleh bincang kan Aku nak tau kenapa kita kena bunuh orang-orang kampung tu Padahal dia orang tak buat salah apa pun. Dia orang cuma kutuk perempuan terpilih. Takkan dia orang layak untuk mati sebab tu je" tanya Raihan.
"Kita bunuh mereka tu untuk timbulkan syak wasangka di kalangan penduduk kampung terhadap perempuan terpilih. Kita buatkan mereka percaya bahawa perempuan terpilih yang telah menyebabkan kematian orang kampung yang tak bersalah. Kita juga sebarkan khabar angin bahawa bayi dalam kandungan perempuan terpilih itu adalah 'anak hantu' untuk mewujudkan ketakutan. Semua ni penting supaya kita dapat laksanakan misi yang terakhir dengan sempurna. Iaitu misi untuk menghapuskan perempuan terpilih. Tapi ia harus dilakukan dalam kaedah yang tidak boleh dijejak kembali kepada kita. Dan perempuan terpilih hanya boleh dihapuskan sejurus selepas bayinya dilahirkan. Waktu itu dia akan dijaga rapi oleh ibu dan bidannya Mak Dom. Jadi akan sukar untuk kita dekati dia.
bersambung
Bab akan datang:
Apakah reaksi Munir setelah habis membaca Kisah Akhir Dapatkah Kisah Terakhir ini menyelesaikankes Pembunuh Batik Biru