FIZIK-LAH! - 40
Mekanik kuantum dikatakan muncul pada tahun 1900M apabila Max Planck membawa pendekatan yang radikal untuk menyelesaikan fenomena jasad hitam (blackbody).

Di alam ini, objek di sekeliling kita akan menyerap haba dan haba tersebut akan dikeluarkan kembali daripada jasad objek. Dalam buku ini kami akan menggunakan istilah jasad hitam bagi merujuk sifat objek macam ini.

Sebelum Planck, ahli fizik telah cuba menyelesaikan masalah jasad hitam. Contohnya pada tahun 1896M, Wilhelm Wien telah mengasaskan Radiasi Jasad Hitam Wien (Wiens black-body radiation). Namun teori Wien ini hanya betul pada frekuensi yang tinggi saja. Selain Wien, Ludwig Boltzmann dan Rayleigh-Jeans juga antara ahli fizik lain yang cuba menyelesaikan masalah jasad hitam. Semuanya telah menggunakan imu fizik klasik dan semuanya gagal.

Kemudian muncul pula Max Planck yang cuba selesaikan masalah ini. Planck telah mengasaskan Hukum Planck (Plancks Law) yang menjadi asas kepada mekanik kuantum. Menurut Planck, radiasi yang dikeluarkan oleh jasad hitam muncul dalam diskret (discrete) iaitu seketul-seketul seperti zarah.

Teori Planck telah berjaya menyelesaikan masalah jasad hitam dan ia langsung tidak wujud dalam fizik klasik. Walaupun berjaya menjelaskan jasad hitam, Planck sendiri berasa sangsi dengan teori beliau dan menganggapnya sebuah helah matematik sematamata.

Namun Albert Einstein memandang serius pandangan Planck. Malah beliau telah menggunakannya untuk menyelesaikan sebuah lagi fenomena yang tak dapat dijelaskan dalam fizik klasik yang dipanggil kesan fotoelektrik (photoelectric effect). Kesan fotoelektrik telah menjadi isu dalam fizik sejak tahun 1887M lagi dan tidak dapat diselesaikan sampailah Albert Einstein muncul. Apa itu fotoelektrik Fotoelektrik adalah fenomena elektron dikeluarkan daripada permukaan logam apabila dilanggar oleh sinaran.