-- Rolf-Herbert Peters wartawan Jerman
But bola sepak terawal yang direkodkan adalah sewaktu zaman King
Henry VIII iaitu pada tahun 1526. Adidas dan Puma pula menjadi jenama yang popular seantero dunia, dek kerana permusuhan sengit di antara dua bersaudara yang berasal dari sebuah perkampungan kecil di Jerman. Sekitar 1920an, Adolf (Adi) Dassler dan Rudolf Dassler (1878-1974) memulakan perniagaan membuat kasut di kawasan Bavarian Herzogenaurach, yang menumpukan kepada pembuatan kasut sukan menggunakan jahitan tangan.
Sewaktu Sukan Olimpik 1928, ramai atlit Jerman Barat yang menggunakan kasut keluaran Syarikat Dassler Bersaudara. Mereka menamakan syarikat yang mereka asaskan selama 25 tahun sebagai Gebrder Dassler Schuhfabrik. Terdapat beberapa syarikat yang menghasilkan but bola lebih dahulu daripada Gebrder Dassler Schuhfabrik dan masih wujud sehingga hari ini -- iaitu Gola (1904), Valsport (1920) dan Hummel (1923).
Kisah popular permusuhan dua bersaudara ini dikatakan bermula ketika perniagaan mereka mula berkembang. Mereka dikatakan berbalah berkenaan politik, masa depan syarikat dan pemilihan isteri masing-masing.
Berikut antara asbab yang paling popular:
Terdapat teori yang menyatakan bahawa antara punca permusuhan ini adalah Rudi Dassler -- yang mempunyai perwatakan lebih menarik berbanding Adi Dassler; dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri Adi, iaitu Kthe;
Kedua-dua bersaudara ini menganggotai Partai Nazi pada 1933. Tetapi, Rudolf dikatakan lebih fanatik berbanding Adi dan turut menyertai perang bersama Nazi. Namun, Adi yang menghasilkan kasut untuk tentera Nazi membuat keputusan mengejut apabila memutuskan untuk menghasilkan kasut buat pelari legenda Amerika Syarikat, Jesse Owen yang memenangi emas pada Sukan Olimpik Berlin 1936. Hal ini mengejutkan ramai pihak kerana pemerintah Nazi, Adolf Hitler mengamalkan dasar perkauman melampau. Malahan, Hitler enggan mengucapkan tahniah dan meninggalkan stadium selepas Jesse Owens yang merangkul empat pingat emas, menjadi bintang Kejohanan Olimpik tersebut
Pada tahun 1943, sewaktu serangan bom dibuat oleh Tentera Perikatan ke atas Herzogenaurach, Rudolf mendakwa Adi telah menghina beliau dan isterinya hendak berlindung di sebuah kubu. Adi mendakwa kata-kata cemuhan itu dilemparkan kepada pesawat-pesawat Tentera Perikatan.
Rentetan daripada beberapa siri perbalahan, akhirnya, sekitar pertengahan 1940an, Rudolf membuka sebuah kilang baru di seberang Sungai Aurach, bertentangan tapak asal kilang yang diasaskan bersama saudara kandungnya. Adi menamakan syarikatnya sebagai
Adidas (Adi daripada Adolf dan Das daripada Dassler), sebelum Rudolf mendaftarkan syarikat barunya, Puma Schuhfabrik Rudolf Dassler pada 1948.
Asalnya, Rudolf mahu menamakan syarikatnya sebagai Ruda (kependekan daripada nama beliau Rudolf Dassler), tetapi akhirnya memilih nama yang lebih komersil: Puma. Perseteruan dua syarikat ini turut mengheret kepada isu lain. Puma dikatakan cenderung dilihat sebagai Katolik dan konservatif dalam berpolitik, manakala Adidas dilihat pro-Protestant dan Social Democratic. Kelab bola sepak tempatan, ASV Herzogenaurach dilihat menyokong Adidas, tatkala FC Herzogenaurach menggunakan produk Puma.
Rudolf melancarkan but bola sepaknya yang terawal, ATOM. Sewaktu perlawanan bola sepak pertama diadakan pasca perang pada 1950, beberapa orang anggota skuad Jerman Barat memakai but bola sepak keluaran Puma. Ini termasuklah legenda Jerman Barat, Herbert Burdenski.
Tetapi, sebelum pembukaan Kejohanan Piala Dunia 1954, Rudolf yang mengasaskan jenama Puma dikatakan telah bertelingkah dengan jurulatih pasukan bola sepak Jerman Barat. Ini membuka ruang untuk Adidas menjadi penaja utama bagi pasukan Jerman Barat yang kemudiannya memenangi perlawanan akhir sewaktu menentang Hungary. Perlawanan ini digelar The Miracle of Bern memandangkan Jerman Barat tidak diletakkan sebagai pilihan. Kemenangan di atas padang becak di Berne ini memberikan publisiti meluas kepada Adi Dassler dan jenama kasut bola Adidasnya, yang dipakai oleh anggota skuad Jerman Barat, di mana buat kali pertama kasut bola dengan paku yang boleh ditanggalkan (removable studs) digunakan.
Sejak itu, Adidas mula dikenali di seluruh dunia. Sewaktu Piala Dunia 1966, 75% daripada pemain yang menyertai kejohanan tersebut menggunakan but bola Adidas. Adidas Copa Mundial yang dikeluarkan pada tahun 1979 merupakan but bola yang paling laku sehingga ke hari ini. Dalam industri pembuatan but bola sepak, terdapat beberapa jenama besar lain yang turut bersaing dengan Adidas dan Puma. Diadora diasaskan pada 1977, Lotto dan Kelme ditubuhkan pada 1982, sementara Umbro pada 1985. Jenama-jenama yang baru adalah seperti Reebok (1992), Uhlsport (1993), dan Mizuno (1997).
Nike mula menempa nama menerusi but bola Nike Mercurial yang dikeluarkan pada tahun 1998. Nike kini merupakan antara jenama terbesar di dunia dalam industri but bola sepak dan produk sukan yang lain. Adi mempunyai 39,000 orang pekerja berbanding 9,000 orang yang bekerja di Kilang Puma. Namun, kedua-dua syarikat ini tetap bersaing dengan sengit apabila mereka menandatangani perjanjian penajaan dengan atlit-atlit terkemuka dunia.
Adidas pernah menaja Jesse Owens (lumba lari);
Muhammad Ali (tinju); Dick Fosbury (lompat tinggi); Messi, David Beckham, Zinedine Zidane, Franz Beckenbauer (bola sepak); dan Nadia Comaneci (ahli gimnastik).
Sementelahan, Puma menjadi jenama yang sering dikaitkan dengan jaguh balapan, Usain Bolt dan para ikon bola sepak: Diego Maradona, Pele, Eusebio dan Johan Cruyff. Puma juga pernah menaja Boris Becker, Martina Navratilova dan Serena Williams (tenis); Johnny Damon (besbol); Erica Blasberg (golf); dan skuad Piala Dunia Itali 2006.
Sepertimana yang kita sedia maklum, seperti jenama-jenama lain, Adidas dan Puma begitu dikenali dengan logonya yang unik. Terdapat maksud tersurat dan tersirat serta sejarah menarik di sebalik logo kedua-dua jenama terkenal ini.
Sejak sekian lama, Adidas dikaitkan dengan citra logo bunga trefoil. Tiga helai daun pada logo tersebut melambangkan semangat Sukan Olimpik, yang dikaitkan dengan tiga buah benua. Pada tahun 1972, logo trefoil telah dijadikan citra logo korporat rasmi Adidas. Namun, pada tahun 1996, logo trefoil telah ditukar menjadi tiga jalur sebagai simbol mendepani zaman.
Logo ini menunjukkan tiga jalur/blok yang berbentuk seperti gunung yang curam. Ia menggambarkan kekuatan, keutuhan dan masa depan. Logo trefoil telah ditetapkan untuk hanya digunakan pada produk-produk lama Adidas.
Logo Puma mempunyai citra seekor puma (harimau kumbang) yang sedang melompat. Aktif ketika waktu siang dan malam, ia merupakan haiwan yang berkebolehan dalam memburu serta mampu melompat setinggi 20 kaki tinggi. Logo ini melambangkan dinamisme dan keutuhan jenama serta produk Puma.
Asalnya, Rudolf mahu menamakan produknya sebagai Ruda. Namun, akhirnya beliau memilih jenama yang lebih komersil, Puma. Beliau mendaftarkan versi awal logo Puma, yang terlah melalui beberapa siri pengubahsuaian sehinggalah menjadi logo yang dapat kita lihat pada hari ini.
Kedua-dua syarikat Adidas dan Puma kini tidak lagi diusahakan oleh anak cucu Dassler Bersaudara. Malahan, sejak 2007, saham majoriti Puma dimiliki oleh pembuat barangan mewah Pinault-Printemps-Redoute (PPR) dari Perancis yang turut menghasilkan Gucci.
Pada Julai 2011, Puma menukar statusnya daripada
Syarikat Awam Berhad Jerman (Aktiengesellschaft/
German public limited company) kepada Societas Europaea, iaitu merangkumi Kasatuan Eropah. Nama asal Puma bertukar daripada Puma AG Rudolf Dassler Sport kepada Puma SE. Adidas pula dimiliki oleh ramai pemegang-pemegang saham kecil, yang mana setiap satunya tidak memiliki lebih daripada 5% pegangan.
Ada cakap-cakap popular yang menyatakan bahawa pada tahun 1974, iaitu enam bulan sebelum Rudi meninggal dunia, satu pertemuan rahsia telah diadakan selama setengah hari di Nuremberg antara Dassler Bersaudara tersebut. Namun, perkara ini masih tidak dapat dibuktikan lagi. Kendati pun, bibit perpaduan mekar jua akhirnya. Pada hari Isnin, 21 September 2009, pekerja kedua-dua syarikat telah mengadakan satu perlawanan bola sepak persahabatan.
Perlawanan ini dianjurkan sebagai sokongan terhadap Pertubuhan Peace One Day yang mengadakan acara menentang keganasan setiap tahun pada hari Isnin. Program ini merupakan yang pertama dianjurkan oleh Puma dan Adidas sejak Dassler Bersaudara berpecah pada 1948. Tambah menarik, cucu Rudolf, Frank A. Dassler turut bekerja untuk kedua-dua Syarikat Adidas dan Puma. Merupakan lulusan dalam bidang perundangan, beliau pernah berkhidmat sebagai Presiden Puma Amerika Syarikat (1985-87) dan General-counsel Adidas sejak 2004.
Tuntasnya, meskipun permusuhan atau perseteruan dilihat sebagai sesuatu yang negatif di kebanyakan tempat di seluruh dunia, kes ini tidak berlaku di Herzogenaurach. Permusuhan Dassler Bersaudara telah mempopularkan pekan kecil ini, menawarkan peluang pekerjaan, seterusnya melonjakkan produk keluaran kilang kedua-dua jenama besar yang bersejarah ini: Adidas dan Puma.
Pekerja kedua-dua syarikat ini terdiri daripada kalangan rakyat yang berasal daripada lebih 85 buah negara yang berbeda. Kehadiran mereka telah mewarnai pekan yang asalnya sepi dan tidak dikenali itu. Herzogenaurach yang dahulunya tidak dikenali, kini menjadi sebuah kawasan terkemuka yang tercatat dalam peta sejarah dunia. Khalas.