Selepas bersara pada tahun 1988, Craig Johnston pulang ke Australia untuk menjaga kakak beliau yang sedang sakit. Dalam masa yang sama, beliau sering mengadakan klinik bola sepak untuk pelajar sekolah dan remaja di
Australia.
Pada ketika itulah, Craig Johnston mendapat idea, untuk menggantikan lapisan kulit pada kasut but, dengan lapisan getah.
Tujuannya supaya mudah mengawal bola.
Sejak itu, Craig Johnston menghabiskan banyak masa dan wang untuk mereka bentuk prototaip but yang beliau idamkan. Sebagai permulaan, lapisan getah pada bat ping pong digamkan pada but sedia ada. Sedikit demi sedikit ia ditambah baik. Pelbagai versi dicipta.
Prototaip ini kemudian dipersembahkan ke pelbagai syarikat barangan sukan, namun ditolak termasuk syarikat gergasi seperti Adidas, Nike dan Reebok. Craig Johnston kemudiannya berjaya memujuk tiga orang ikon bola sepak Jerman, Franz Beckenbauer, Karl-Heinz Rummenigge dan Paul Breitner untuk berlakon dalam iklan pendek sambil menggayakan but prototaip ciptaan beliau. Ia dirakam dalam suasana sejuk dan bersalji.
Video tersebut k e m u d i a n n y a dipanjangkan kepada Adidas. Hasilnya, cukup berbaloi.
Cukup untuk membuatkan Adidas tertambat hati pada rekaan Craig Johnston, kemudiannya membeli hak cipta rekaan, dengan Johnston menerima royalti 2% dari setiap jualan but tersebut.
Maka, pada tahun 1994, Adidas pun mengeluarkan versi pertama but Adidas Predator. Ia menggunakan kulit kanggaroo dengan adunan lapisan getah di bahagian hadapan but. Warnanya hitam, 3 belang putih Adidas dan latar merah. Ia warna rasmi bagi kebanyakan versi but predator selepas itu.
Versi predator tersebut sering ditambah baik ciri-cirinya, hingga setakat ini, ia sudah pun mempunyai 13 varian.
Craig Johnston, walaupun pernah gagal dalam perniagaan selepas itu dan diisytiharkan bankrap (idea sekolah bola sepak antara bandar), tetap dianggap antara penyumbang kepada evolusi kasut but dalam kancah bola sepak.
Sering dijemput untuk membicarakan hal-hal berkaitan teknikal kasut but, rekaan bola, dan sebagainya.
Beliau mengkritik rekaan but masa kini, yang didakwa antara penyebab utama berlakunya kecederaan kepada pemain. Craig Johnston juga pernah diundi di dalam senarai 100 Players Who Shook the Kop.