RETRO BOLA SEPAK - 43
Pada 20 Mac 1966, Trofi Piala Dunia Jules Rimet, yang baharu sehari dipamerkan di Westminster Central Hall, didapati hilang dari ruang pameran.

Peristiwa itu berlaku beberapa bulan sebelum Piala Dunia 1966 berlangsung di England. Trofi tersebut tiba di England, sekitar Januari 1966, dengan diinsuranskan pada nilai 30,000.

Ia disedari oleh pegawai keselamatan yang meronda di sebelah malam pusat pameran tersebut, dan mendapati ia tiada di tempat sepatutnya selain turut mendapati beberapa pintu telah di pecah masuk.

Polis elit, Scotland Yard mengambil alih kes tersebut.

Satu panggilan telefon dan nota telah diterima oleh Presiden FA England, yang menuntut sejumlah wang jika mahu mendapatkan semula trofi ulung itu.

Perancangan diatur, wang disediakan bagi menemui pencuri. Helah dibuat, beg bimbit yang sepatutnya berisi wang hanya dipenuhkan dengan gulungan kertas lusuh.

Battersea Park menjadi tempat pertukaran seperti mana yang diminta oleh pencuri.

Si pencuri juga bijak, langsung tidak bawa trofi Jules Rimet.

Ketika sesi pertukaran wang dan trofi itulah, pencuri itu dapati beg bimbit itu sekadar berisi kertas lusuh, dan pihak berkuasa dengan pantas segera menangkap pencuri tersebut.

Setelah disiasat, pencuri itu mendedahkan beliau sekadar orang tengah setelah diupah oleh seseorang untuk mengambil wang pertukaran. Pemuda itu juga dedahkan beliau tidak mengenali individu yang mengupah beliau dan dibayar sekadar 500 sahaja.

Trofi itu ditemui oleh seorang pemuda pada 27 Mac 1966. Beliau sedang bersiar-siar dengan anjing peliharaannya dan menemui trofi tersebut dibungkus dengan kertas surat khabar setelah anjingnya menghidu-hidu kawasan tempat trofi itu disorokkan.

Pemuda itu menyerahkan trofi kepada pihak polis.

Pasukan penyiasat mulanya mengesyaki pemuda itu terlibat dalam komplot pencurian trofi walau bagaimanapun tidak menemui alibi yang kukuh.

Pemuda yang menjadi orang tengah dipenjarakan selama dua tahun, sementara pemuda bersama anjingnya pula menjadi selebriti dan diangkat sebagai wira. Malah selepas itu, mereka turut dijemput dalam majlis makan malam bersempena meraikan kemenangan England menjuarai Piala Dunia 1966.

Itu cerita kecurian trofi

Jules Rimet pada tahun 1966, dan ia bukan yang terakhir.

Pada 19 Disember 1983, trofi Jules Rimet, yang ketika diberi itu kepada Brazil, atas penghormatan negara tersebut menjuarai tiga edisi Piala Dunia, telah dicuri sekali lagi.

Kali ini peristiwa berlaku di Ibu pejabat Brazil Football Confederation di Rio Janeiro.

Insiden di tahun 1983 didalangi oleh seorang pegawai bank yang juga seorang ejen bola sepak. Beliau turut disertai oleh dua orang lagi, yang mana salah seorang dari mereka merupakan bekas anggota polis.

Pada tarikh tersebut, dua orang yang diupah oleh pegawai bank itu telah berjaya menyusup masuk ke bangunan ibu pejabat Brazil Football Confederation. Mereka berdua selain berjaya mencuri trofi Jules Rimet, turut mencuri dua lagi trofi di bangunan tersebut.

Peristiwa itu menggemparkan Brazil. Lambang keagungan dan kemegahan bola sepak Brazil hilang entah ke mana.

Pihak berkuasa kemudiannya melakukan siasatan.

Siasatan membawa kepada penangkapan seorang pemuda bernama Antonio Setta telah disoal siasat.

Setta mendedahkan bahawa si pegawai bank telah mengajak beliau dalam komplot pencurian trofi Jules Rimet. Namun dek kerana sayangkan Brazil dan rasa patriotik yang tinggi di samping kenangan bersama mendiang abang beliau semasa Brazil menjuarai trofi tersebut beberapa ketika sebelum, Setta menolak untuk menyertai komplot tersebut.

Akhirnya, kesemua suspek berjaya ditangkap. Malangnya trofi Jules

Rimet sudah pun dileburkan oleh seorang saudagar emas.

Mereka dibicarakan di mahkamah. Namun ketika prosiding mahkamah masih berjalan, mereka berjaya melarikan diri.

Pencuri yang memecah masuk ke bangunan ibu pejabat Brazil Football Confederation, telah

ditembak mati di sebuah kelab malam pada tahun 1989. Seorang lagi berjaya ditangkap dan dipenjarakan, sebelum dibebaskan pada tahun 1998.

Setta, antara suspek awal kes tersebut, terkorban dalam satu kemalangan jalan raya pada tahun 1985. Saudagar emas yang meleburkan trofi Jules Rimet, melarikan diri ke Perancis tapi berjaya ditangkap di Sao Paulo atas kesalahan mengedar dadah. Beliau dibebaskan pada tahun 2005.

Pegawai bank, yang juga dalang utama telah dipenjarakan dan dibebaskan pada tahun 1988. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 2003 akibat serangan jantung.

Trofi Jules Rimet sedari itu tidak pernah diketemukan.

FIFA kemudiannya menghadiahkan satu replika trofi yang sama untuk dihadiahkan kepada Brazil Football Confederation pada tahun 1984.