"Rohaya Gadis yang mati tapi bangun semula"
"Ini barangkali eksperimen yang paling lama berjalan. Dan ianya agak komersil juga. Ramai orang yang tahu akan kewujudan projek ini. Tapi mereka lebih mengenalinya dengan rekaan sains fiksyen yang dipanggil 'zombie' hasil daripada filem-filem yang diinspirasi malah diadaptasi dari laporan-laporan kajian kami. Konsepnya mudah. Kami ingin melahirkan generasi baru manusia yang tidak perlu terkesan oleh salah satu benda yang memainkan peranan paling besar dalam hidup setiap orang. Kematian. Tapi seperti yang aku cakapkan tadi, jabatan yang mengkaji cara untuk mengelak kematian manusia masih lagi belum mencapai tahap kejayaan yang diingini. Bermaksud, kami masih belum mampu untuk menghentikan proses kematian. Bagaimanapun dengan usaha yang sangat panjang, kami telah berjaya untuk mengembalikan mereka yang dah mati. Supaya kitaran kehidupan dapat diulang semula. Eksperimen ini juga masih belum sempurna. Subjek didapati bangun dan mati semula secara rawak dan tidak terkawal. Ada yang mengambil masa terlalu lama. Ada pula yang bangkit terlalu awal setelah mati. Selain itu, kami juga masih mencari cara untuk mengawet subjek-subjek dengan sempurna supaya apabila mereka bangun semula dari kematian nanti, rupa mereka tidak begitu menakutkan dan setiap organ mereka masih dapat berfungsi seperti asal. Ia adalah projek yang agak rumit. Tapi kami optimis."
Munir bingkas dari kerusi tersebut lalu jalan kehulu-kehilir di hadapan Adib. Dia tidak dapat duduk lagi.
"Arfan...! Apa yang berlaku pada Arfan"
"Arfan adalah antara ramai individu yang kami terpaksa lenyapkan atas pelbagai sebab demi menjaga kepentingan organisasi. Kami terpaksa lenyapkan Arfan kerana identitinya yang terbongkar disebabkan oleh salah satu kecuaian di dalam laporan. Setiap laporan sepatutnya menggunakan nama samaran sebagai watak. Tapi nama sebenar Arfan telah digunakan secara tidak sengaja oleh salah seorang pegawai kami. Sebab itulah dia satu-satunya individu yang Abang Munir hampir dapat jejaki bukan Dia juga penyebabnya Abang Munir dapat tahu tentang Asmidar walaupun nama lain telah digunakan di dalam Kisah 3. Tambahan lagi, Arfan mempunyai maklumat langsung mengenai Rohaya juga dan beberapa kes lain berkenaan dengan manusia yang mati hidup semula. Jadi kami terpaksa lenyapkannya. Dia dah tahu terlalu banyak."
"Apa maksud Adib, lenyapkan Lenyapkan macam mana"
"Itu tidak penting. Kami ada pelbagai cara untuk melenyapkan sebarang jejak yang boleh menyebabkan rahsia organisasi kami terancam. Kami terpaksa melakukan apa yang patut. Matlamat kami, walaupun masih jauh untuk dikecapi, tapi kami mula nampak hasilnya akhir-akhir ini dan perkembangannya juga sangat memberansangkan. Dan kalaulah kami terpaksa melenyapkan sesiapa saja yang menghalang cita-cita kami, kami akan lakukannya. Yang penting proses penggantian harus tetap dicapai. Kami tidak akan membenarkan sesiapa atau apa pun menggugat misi kami untuk mencipta sebuah dunia baru. Dunia yang lebih sempurna. Dunia yang dihuni oleh manusia-manusia berbaka hebat. Yang menjadi pelapis kepada manusia generasi lepas dan kini yang masih lemah dan serba kekurangan. Sudah sampai masanya untuk manusia mencapai tahap evolusi yang baru. Menambahbaik kepada makhluk bertaraf tinggi yang serba boleh, sekaligus menjadikan manusia seiring dengan martabat yang telah dikurniakan kepada mereka sejak permulaan zaman. Perkara ini tidak akan dapat ditahan oleh sesiapa pun. Rela ataupun tidak. Mahu ataupun tidak. Terima ataupun tidak. Tentanglah sehabis yang boleh. Tapi kami tetap akan membawa perubahan ini. Kami akan mengubah manusia sedikit demi sedikit sehingga semuanya ter...."
Adib terhenti seketika. Wajahnya begitu dalam dengan maksud yang Munir tak mampu untuk telah.
"Sehingga apa Sehingga semuanya apa Adib..!"
"Mengubah manusia sedikit demi sedikit sehingga semuanya ter
___ ___ ___ ___ ___
Jawapannya ada di dalam intipati setiap KISAH
***Tamat***