Belanda, selaku tuan rumah UEFA Euro 2000, bertemu Itali, di peringkat separuh akhir.
Pasukan paling menghiburkan yang turut menjaringkan paling banyak gol iaitu Belanda, bertemu pasukan yang paling defensif dalam kejohanan, Itali.
Belanda, dikemudikan oleh Frank Rijkaard, rata-rata diperkuat dengan majoritinya dari barisan yang sama meraih tempat keempat di Piala Dunia 1998, dua tahun sebelumnya.
Jika amati barisan pemain Belanda ketika itu, angkat topi lah jawabnya. Mereka digaji oleh kelab-kelab hebat Eropah, dengan hampir kesemuanya bermain di pentas Liga Juara-Juara Eropah.
Sementara Itali, dilatih oleh bekas legenda mereka, yang juga ketua pasukan Itali ketika menjuarai Piala Dunia 1982, siapa lagi kalau bukan Dino Zoff.
Zoff, masih percaya falsafah tradisi Itali sejak dahulu, iaitu kekuatan dan disiplin bertahan untuk memenangi perlawanan.
Formasi kegemaran beliau adalah 5-3-2. Beliau akan letak tiga orang pertahanan tengah yang mendak di bawah. Mark Iuliano, Fabio Cannavaro dan Alessandro Nesta. Paolo Maldini akan mengisi di bahagian bek kiri, sementara di bahagian kanan ia antara Gianluca Zambrotta ataupun Gianluca Pessotto. Bahagian perancang tengah tetap milik Demetrio Albertini dan digandingkan samada dengan Stefano Fiore, Luigi Di Biagio ataupun Antonio Conte.
Sektor serangan Itali, dipelbagaikan gandingannya, antara Francesco Totti, Filippo Inzaghi, Marco Delvecchio atau Alessandro Del Piero. Posisi menjaga gawang menjadi milik Francesco Toldo, setelah penjaga gol utama Gianluigi Buffon cedera di saat akhir sebelum kejohanan berlangsung. Itu kombinasi pemain kegemaran Zoff. Hanya dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, baharu lah Zoff mengadunkan pemain-pemain simpanan untuk merasa aksi kejohanan seperti Ciro Ferrara, Paolo Negro, Angelo Di Livio, Vincenzo Montella dan Massimo Ambrosini.
Belanda menerapkan 4-4-2 menyerang dengan sayap kiri dan kanannya sentiasa mara ke hadapan. Sayap kiri Boudewijn Zenden dan di sayap kanan diisi oleh pemain pantas Marc Overmars. Bilmakna, mana-mana pasukan yang lawan Belanda, perlu berusaha kekang kepantasan sayap dan ketajaman serta kelicikan penyerang Belanda. Dua jentera tengah Belanda dikawal oleh Edgar Davids dan Phillip Cocu dengan sesekali Clarence Seedorf turut jadi pilihan Rijkaard.
Serangan Belanda diisi oleh dua penyerang yang boleh dianggap antara 10 penyerang terbaik di dunia ketika itu, Dennis Bergkamp dan Patrick Kluivert. Ketua pasukan Belanda, Frank de Boer berpasangan dengan Jaap Stam di pertahanan tengah. Bek kiri pula samada Arthur Numan ataupun Giovanni van Bronckhorst sementara di bahagian pertahanan kanan ia samada Michael Reiziger atau Paul Bosvelt. Gawang Belanda kekal milik Edwin van der Sar yang begitu faham akan lawan mereka Itali, sebab beliau ketika itu bermain untuk Juventus.
Barisan para pemain hebat ini lah yang jadikan separuh akhir EURO 2000 sangat menarik. Sekejap masa berlalu, sudah 15 tahun lamanya detik ini dipahat...
Anda di mana ketika perlawanan klasik ini berlangsung. Kad merah, keputusan pengadil, penalti kontroversi, dua kali penalti yang gagal, aksi menakjubkan Toldo, kekebalan benteng pertahanan Itali, ketumpulan penyudah Belanda, Catenaccio kembali jadi bualan, tuah dan nasib, lambungan bersahaja penalti Totti dan pelbagai lagi yang menjadi rencah kepada ke'klasik'kan perlawanan ini.