TORA DATANG LAGI - 46
Sejenis permainan yang menyerupai judi cuma dengan jumlah pelaburan yang kecil dan pulangan yang tidak seberapa. Tiada sebarang fatwa pernah dikeluarkan tentang halal haram permainan judi tikam ini.

Judi tikam mempunyai pelbagai versi mengikut peredaran masa. Judi tikam yang pertama sekali diperkenalkan adalah di dalam bentuk papan, menyerupai papan kopi sachet. Hadiah yang ditawarkan adalah berupa wang tunai. Nilai tertinggi yang boleh dimenangi adalah RM2 dan nilai lain adalah RM1, 60 sen, 40 sen, 20 sen dan 10 sen. Setiap nilai habuan ini diwakili dengan satu jenis gambar dan dipertunjukkan pada bahagian atas papan judi tikam. Pada bahagian bawah papan, terdapat kad-kad kecil yang disusun rapat dan boleh ditarik keluar. Sekeping kad ini berharga 10 sen. Bayaran perlu dibuat terlebih dahulu untuk menarik keluar dan membuka kandungan kad tersebut.

Kad yang mempunyai gambar seperti di bahagian atas papan akan memperolehi wang mengikut jumlah nilai yang diwakilkannya sementara kad yang tertulis Terima Kasih menandakan tiada apa yang diperolehi dan terima kasih kerana sudi menghabiskan duit untuk judi tikam.

Permainan judi tikam ini kemudian muncul dengan versiversi lain yang semakin melalaikan. Selain wang, terdapat judi tikam yang menawarkan hadiah berupa barangan permainan, mercun, jajan dan lain-lain. Perkara ini secara tidak langsung telah menimbulkan huru-hara dan mendatangkan rasa tidak sedap hati bimbangkan hadiah jatuh ke tangan orang lain. Terdapat juga judi tikam yang dimainkan dengan cara menggores kad yang diisi di dalam pek keropok.

Judi tikam kemudiannya berevolusi kepada jenis telur. Telur ini merupakan bekas plastik berbentuk bebola yang dimasukkan ke dalam sebuah mesin tikam. Pelbagai hadiah diisi ke dalam telur-telur tadi sementara hadiah utamanya hanya diisi ke dalam beberapa biji telur sahaja. Untuk mendapatkan hadiah utama, pemain perlulah mencuba nasib dengan memasukkan duit syiling ke ruang syiling dan memusing tombol untuk menjatuhkan telur secara rawak. Terdapat telur yang berharga 20 sen, 50 sen, RM1 dan RM2.

Antara hadiah utama dalam telur yang paling popular dikehendaki adalah cyber pet. Dia punya seronok bela cyber pet ini, Tuhan saja mengerti.