RETRO BOLA SEPAK - 48
Pada 23 Julai 1966 di Wembley, perlawanan suku akhir Piala Dunia 1966 antara tuan rumah England dengan Argentina telah menyaksikan terbitnya beberapa kesan signifikan dalam dunia bola sepak moden.

England menang 1-0 hasil jaringan Geoff Hurst.

Adapun ada beberapa insiden yang berlaku dalam perlawanan tersebut, yang kemudiannya telah wujudkan satu kesan dalam pembangunan bola sepak dunia.

Pada minit ke-37, ketua pasukan Argentina, Antonio Rattn telah dibuang padang oleh pengadil dari Jerman Barat bernama Rudolf Kreitlein.

Sebabnya, hanya kerana si Rattin ini telah melakukan kekasaran kata terhadap Kreitlein.

Argentina semua sedia maklum akan kemantapan kemahiran teknikal mereka. Cuma era itu, memang perkara biasa untuk mana-mana pasukan bermain secara fizikal selain mutu pengadilan tidak lah serigid sekarang. Terjahan-terjahan keras itu biasa. Pemain Argentina didapati lebih gemar memprovok para pemain England untuk jatuhkan moral pasukan lawan. Muslihat-muslihat kecil seperti menjentik telinga, memicit bola kocek, menarik rambut, menarik jersi dan seluar, mencekak leher, itu antara yang dilakukan oleh pemain Argentina.

England macam biasa, berperi macam budiman.

Sampai satu masa, Rattin ini dah lakukan banyak kesalahan. Pengadil

Kreitlein dah beberapa kali beri amaran kepada Rattin, kemudiannya hilang sabar.

Rattin telah diarahkan keluar padang. Dek kerana Rattin hanya tahu berbahasa Sepanyol sedang Kreitlein pula sekadar tahu berbahasa Jerman dan sedikit bahasa Inggeris, maka jadilah pertikaman lidah meski berbeza bahasa. Penonton nampak seolah-olah mereka bertikam lidah walhal kedua-duanya pun tidak faham apa yang dituturkan.

Seorang pengadil Inggeris, yang bertugas sebagai salah seorang pegawai perlawanan telah masuk ke dalam padang untuk menenangkan keadaan dan menerangkan kepada

Rattin dan Kreitlin.

Pengadil itu adalah Ken Aston.

Rattin yang masih bengang, dilihat masih membantah keputusan Kreitlein. Beliau mencemuh sambil menunjuk-nunjukkan lilitan ketua pasukan di lengan beliau. Paling ikonik bilamana Rattin, duduk bersila di bentangan karpet merah di Wembley, laluan yang digunakan khas untuk Ratu Britain iaitu Ratu Elizabeth. Rattin terpaksa dibawa keluar dari padang oleh pihak keselamatan stadium.

Pasca perlawanan ini lah Ken Aston mendapat idea bagi menangani situasi perlawanan. Seharusnya ada mekanisma tertentu, isyarat atau amaran khusus untuk memastikan perlawanan berjalan lancar.

Insiden Rattin-Kreitlein itu bukan pertama kali buat Ken Aston.

Di Piala Dunia 1962, Ken Aston lah pengadil yang mengadili perlawanan antara Chile-Itali yang digelar sebagai Battle of Santiago. Perlawanan itu memang gila, ada yang patang hidung, berdarah kepala, bertumbuk dan sebagainya.

Ken Aston pun memerah buah fikirnya.

Ketika sedang memandu motokarnya di Kota London, Ken Aston terpandang kepada aturan warna lampu merah, kuning dan hijau di lampu isyarat pada simpang jalan.

Beliau mendapat idea untuk menggunakan kad merah sebagai isyarat keluar padang dan kad kuning sebagai amaran akibat kekasaran yang dilakukan. Idea tersebut diperhalusi dan dipanjangkan kepada FIFA dan akhirnya diluluskan untuk diguna pakai.

Piala Dunia 1970, buat pertama dan ke sekian kalinya, idea kad merah dan kuning mula diadaptasikan. Ironinya tiada langsung kad merah yang dikeluarkan pengadil dalam temasya tersebut, dengan hanya ada satu kad kuning sahaja direkodkan.

Berbalik kepada kisah England-Argentina di Piala Dunia 1966, usai perlawanan berlaku satu lagi insiden yang mendapat liputan meluas.

George Cohen pertahanan kanan England hendak bersalaman dengan seorang pemain Argentina dan bertukar jersi. Ketika itu lah pengurus England bernama Alf Ramsey telah menahan Cohen dari berbuat demikian, meskipun jersi Cohen sudah berada dalam tangan pemain Argentina. Detik itu dirakam oleh lensa kamera pada jurugambar di Wembley.

Dalam sidang media pasca perlawanan, Ramsey telah melabel pemain-pemain Argentina sebagai binatang ekoran permainan fizikal dan agresif yang mereka terapkan.

Media luar, terutamanya dari sebelah Amerika Latin telah melaporkan bahawa perlawanan tersebut adalah konspirasi England dan Jerman Barat untuk menyingkirkan Argentina dari temasya.

Di Argentina, perlawanan tersebut digelar sebagai el robo del siglo yang membawa maksud rompakan abad ini.

Dan bermula lah perseteruan antara England dan Argentina dalam bola sepak.

Argentina, pasca Piala Dunia 1966, mula meninggalkan gaya bola sepak agresif tapi menerapkan keistimewaan yang mereka miliki, iaitu kemahiran teknikal yang tinggi. Piala Dunia 1978, Argentina muncul juara dunia di laman sendiri.