LEMBUT gelamai tarian yang ditarikan oleh gadis yang berpinggang ramping di atas pentas.
Dengan susuk bentuk badan yang cantik, sudah tentu lenggok tari juga dipandang sempurna. Sudah pasti di malam persembahan yang akan datang sebulan lagi, dia perlu melakukan sebaik mungkin. Itu impiannya yang bertahun dinanti. Menjadi seorang penari gamelan yang terkenal di Malaysia.
Salina Sudin mengatur langkah tari sambil mengira langkah dengan perlahan. Takut kalau terlebih gerak tari sudah tentu dimarahi oleh guru tarinya nanti. Dia teringat kata-kata Sis Qaseh, jika dia berjaya membuatkan penonton terpaku dengan gerak tarinya, pihak pengurusan Istana Budaya (IB) akan mengetengahkan bakatnya hingga ke peringkat antarabangsa.
Ya! Dia mahu berjaya seperti penyanyi Yuna dan mahu membuktikan bahawa tarian gamelan mampu juga membawa nama Malaysia di persada seni antarabangsa.
Lyna, gerak langkah kamu perlu dihalusi lagi dan lebih menjiwai tarian. Lentikkan sikit jari tu ya macam tu tegur Sis Qaseh yang memerhatikan gerak tarinya dari bawah pentas.
Dia menggangguk perlahan seraya mengukir senyuman. Latihannya sudah hampir tamat untuk malam ini. Di gerak tari yang terakhir, dia terasa nafasnya mula tersekat di kerongkong.
Sis Qaseh! Saya saya tak boleh bernafas! Nafas Salina tersekat-sekat manakala suaranya pula semakin tak jelas sambil memegang batang leher.
Mulutnya menyembur keluar buih-buih putih hingga membasahi baju. Sis Qaseh bergegas naik ke atas pentas mendekati Salina yang terbaring di lantai. Matanya yang tak berkelip seperti orang terkena sawan. Dia mula berasa panik.
Lyna, bertahan! Kamu panggil ambulans cepat! jerit Sis Qaseh sehingga satu dewan itu bergema suaranya yang melantun beberapa kali itu.