TORA DATANG LAGI - 51
Sebelum semua bas menggunakan tiket bas berkomputer sistematik dan moden, kebanyakan bas terutamanya bas mini ketika itu menggunakan tiket bas jenis kertas yang mempunyai nombor siri, nilai, jam, tarikh dan warna yang berlainan. Tiket bas yang dicetak menggunakan kertas berkualiti rendah ini berukuran lebih kurang 2 X 4 sentimeter.

Tiket bas ini disusun mengikut nilai dan dikepit pada sebuah papan kayu yang tidak diketahui apakah panggilannya. Papan kayu ini akan dipegang oleh seorang konduktor bas yang akan menggalas tanggungjawab menjual tiket secara manual di dalam bas. Wang baki akan siap diselitkan pada celahan jari-jari untuk wang kertas manakala wang syiling disimpan dalam beg pinggang.

Bas mini merupakan bas yang digunakan untuk perjalanan pada jarak yang dekat. Kebanyakan bas mini akan melalui jalan-jalan utama termasuk kawasan-kawasan perumahan dan berhenti pada setiap perhentian bas yang mempunyai orang atau mahu diturunkan orang. Setiap bas mini mempunyai nombor bas untuk mengetahui destinasi setiap bas tersebut. Terdapat juga bas mini yang meletakkan nama destinasi pada cermin depan supaya lebih memudahkan penumpang untuk mengetahui arah tuju bas. Di sesetengah tempat, bas mini turut diwarnakan mengikut destinasinya.

Bas mini yang paling popular adalah bas mini wilayah ataupun lebih bergaya dengan panggilan BMW. Ianya berwarna merah jambu dan mempunyai nombor yang perlu dihafal oleh setiap orang yang ingin menggunakan perkhidmatannya.

Tanpa perlu pergi membayar kepada konduktor, konduktor bas sendiri akan pergi ke setiap penumpang untuk mengutip bayaran. Penumpang bas akan memberitahu destinasi yang mahu dituju dan konduktor akan memberitahu jumlah yang perlu dibayar. Jika nilai jarak yang dinaiki penumpang bas adalah RM1.70, konduktor bas akan menarik keluar tiket yang bernilai RM1, RM 0.50 dan RM 0.20 dari pengepit dan menebuk lubang pada tiket mengikut tarikh dan masa pada ketika itu. Tiket tadi perlu disimpan untuk diperiksa semula pada bila-bila masa sahaja.

Arahan untuk memenuhkan ruang belakang seringkali akan kedengaran dilaungkan oleh konduktor bas bagi membolehkan penumpang yang di luar masuk ke dalam bas untuk diisi sepadat mungkin.

Selain mengutip bayaran, konduktor bas juga akan bertindak untuk mengawal keadaan penumpang-penumpang di dalam bas supaya berkelakuan sopan dan normal. Selain tahan muntah, seorang konduktor bas selalunya mempunyai kudakuda yang kuat bagi mengelakkannya tergolek dan malu sendiri apabila bas brek secara mengejut. Konduktor bas yang stedi adalah konduktor bas yang rilek bergayut pada tiang tangga bas sewaktu bas sedang bergerak laju.

Konduktor bas yang tak stedi adalah yang berambut mullet.