TORA DATANG LAGI - 52
Permainan papan adalah permainan yang dimainkan di dalam rumah. Ianya selalu dimainkan apabila aktiviti luar tidak dapat dilakukan akibat hujan, panas atau apabila didenda berkurung di dalam rumah. Ianya juga kerap dimainkan sewaktu ramai orang.

Antara permainan papan yang popular adalah:

Dam ular

Sejenis permainan papan yang dimainkan dengan menggunakan dadu dan buah.

Mempunyai 100 tapak yang perlu dilalui sebelum menamatkan permainan di petak yang ke 100.

Permainan ini tidak terhad kepada jumlah pemain yang khusus.

Permainan akan dimulakan dengan menentukan giliran setiap pemain.

Setiap pemain perlu melempar dadu dan giliran akan ditentukan berdasarkan nilai dadu yang paling banyak.

Pemain akan menggerakkan buahnya mengikut jumlah nilai dadu yang diperolehi dalam setiap balingan. Terdapat versi di mana 2 biji dadu digunakan. Jika jumlah mata dadu adalah sama, pemain akan mendapat satu lagi giliran tambahan.

Jika buah pemain berhenti pada kotak yang mempunyai gambar tangga, buah pemain akan dapat melangkau naik ke kotak mengikut panjang tangga tadi.

Jika buah pemain berhenti pada kotak yang mempunyai gambar ular, buah pemain terpaksa berpatah balik turun mengikut panjang ular tadi.

Buah pemain yang berhenti pada tapak yang mempunyai buah pemain lain akan dapat menyingkirkan buah pemain tersebut. Pemain yang buahnya disingkirkan itu terpaksa bermain semula dari awal.

Pemain yang pertama sampai ke kotak ke 100 akan dikira sebagai pemenang.

Turut muncul pelbagai versi yang tidak menggunakan ular dan tangga tetapi tetap menggunakan konsep permainan yang sama.

Boleh dibeli di kedai-kedai runcit pada harga RM1 hingga

RM2.

Jutaria

Sejenis permainan papan yang diasaskan daripada permainan papan Monopoly.

Dimainkan dengan mengunakan asas lontaran dadu dan buah cuma ianya dibezakan dengan menambahkan konsep pengurusan wang dan harta. Setiap pemain akan diberi sejumlah wang dan boleh membeli mana-mana tapak yang disinggahinya malah membina rumah dan sebagai aset. Permainan ini tidak mempunyai garis penamat dan berulang-ulang.

Setiap tapak mempunyai nama-nama tempat di dalam Malaysia lengkap dengan geran dan juga harga jualan.

Seseorang akan dilantik untuk menjadi pengurus wang.

Permainan ini boleh dimainkan 2-4 orang.

Seperti biasa, pemain akan melontar dadu dan mengerakkan buahnya mengikut jumlah dadu yang diperolehi.

Setiap tapak yang dilawati, pemain diberi pilihan untuk membuat keputusan sama ada hendak memilikinya ataupun tidak.

Jika buah pemain sampai pada

Fate atau Chance, pemain perlu mengambil kertas Fate atau Chance di tengah-tengah papan permainan bagi mengetahui apa nasib ataupun peluang untuk mendapat kelebihan atau kekurangan dalam permainan.

Jika pemain sampai di tapak Go to Jail, pemain akan kehilangan giliran permainan dan perlu membayar sejumlah wang untuk keluar dari penjara dan meneruskan kembali permainan.

Peringkat awal, pemain perlu membeli tapak terlebih dahulu sebelum dapat menaikkan rumah ataupun hotel. Mana-mana pemain yang berhenti pada tapak yang sudah menjadi hak milik mana-mana pemain lain, pemain tersebut hendaklah membayar sejumlah wang mengikut jumlah aset pemain di tapak itu.

Pemain yang dapat menguruskan aset dan mempunyai jumlah wang paling banyak dikira sebagai pemenang. Jutaria boleh dibeli di semua kedai runcit pada harga RM5 sekotak.

Dam haji

Sejenis permainan tradisi masyarakat Melayu sejak turun temurun.

Dam haji jika dari hukum syarak bermaksud denda yang dikenakan ke atas seseorang yang sedang mengerjakan haji atau umrah kerana meninggalkan perkara-perkara wajib haji atau melakukan perkara-perkara yang dilarang. Maksud ini sebenarnya langsung tiada berkaitan dengan permainan dam haji.

Permainan ini memerlukan 2 orang pemain.

Dimainkan dengan menggunakan 12 biji buah dam untuk seorang pemain. Buah dam berbentuk bulat leper dan mempunyai 2 warna iaitu merah dan hitam. Setiap pemain akan mengambil warna yang berbeza.

Buah dam akan disusun di atas papan dam yang menyerupai papan catur. Buah dam hanya akan disusun pada kotak yang berwarna gelap sahaja. Saiz normal papan dam adalah 8 kotak memanjang X 8 kotak melebar. Ada juga papan dam yang dibuat dengan jumlah kotak yang lebih banyak dengan buah dam yang turut lebih banyak supaya tempoh permainan lebih lama.

Buah dam hanya boleh digerakkan secara menyilang dan tidak boleh mengundur ke kotak belakang. Setiap pemain akan bergilir-gilir menjalankan buah mereka. Satu kotak untuk satu giliran.

Apabila buah dam lawan berada 1 kotak hampir dengan buah dam pemain itu dan mempunyai kotak kosong di belakang buah dam tersebut, pemain tersebut hendaklah melangkah pergi ke kotak kosong di belakang buah dam lawan tadi dan menarik keluar buah dam lawan tersebut. Istilah yang digunakan adalah Makan.

Seperti manusia, makan di dalam permainan dam haji adalah wajib. Jika ada pemain yang tidak makan apabila berpeluang, buah yang tidak memakan itu akan ditarik keluar pemain lawan sambil menyebut, Tarikkk, tak makannn. Perbuatan makan ini tidak terhad kepada sebiji pada satu masa. Berapa langkah masih dikira sah asalkan mempunyai kotak kosong di belakang setiap buah yang dimakan.

Buah dam yang bergerak sehingga sampai ke aras kotak paling atas akan dinaik taraf. Istilah yang digunakan adalah Naik haji. Buah dam yang sudah naik haji akan dilekatkan double buahnya. Buah ini memperolehi kelebihan untuk mengundur ke belakang dan bebas untuk bergerak berapa kotak sekalipun. Jumlah buah yang dapat naik haji adalah tidak terhad.

Pemain yang berjaya menghabiskan kesemua buah dam pihak lawan akan dikira sebagai pemenang.

Dam haji boleh dibeli di kedai pada harga RM1.

Selain dibeli, dam haji juga dibuat dengan menggunakan kepingan papan yang dilukiskan kotak-kotaknya sementara buah dam menggunakan tudung botol.

Catur

Sejenis sukan antarabangsa yang dijadikan sebagai permainan di masa lapang.

Memerlukan 2 orang pemain.

Dimainkan dengan menggunakan 16 biji buah untuk seorang pemain. Berbeza dengan buah dam haji, buah catur adalah berbeza setiap satunya. Buah catur mempunyai 1 buah King, 1 buah Queen, 2 buah Bishop, 2 buah Knight, 2 buah Rook dan 8 buah Pawn. Setiap dari enam jenis buah ini bergerak dengan cara yang berbeza. Buah catur juga mempunyai 2 warna iaitu putih dan hitam. Setiap pemain akan mengambil warna yang berbeza.

Buah catur akan disusun di atas papan catur yang menyerupai papan dam haji. Buah catur akan disusun menjadi 2 barisan. Barisan pertama disusun pada susunan Rook, Knight, Bishop, Queen, King, Bishop, Knight, Rook. Barisan kedua disusun dengan kelapan-lapan Pawn. Pawn hanya boleh bergerak maksimum 2 kotak ke hadapan sewaktu di kotak permulaan sahaja dan kemudian hanya boleh bergerak 1 kotak dalam langkah seterusnya. Di antara kesemua buah, hanya buah Pawn yang tidak dibenarkan mengundur ke kotak belakang. Buah Pawn yang berjaya naik sehingga ke aras kotak paling atas dibenarkan untuk bertukar menjadi apa-apa buah yang diingini.

Rook bergerak pada arah + sahaja. Tiada jumlah kotak yang dihadkan.

Knight bergerak dalam bentuk L pada mana-mana arah sekalipun.

Bishop bergerak pada arah X sahaja. Tiada jumlah kotak yang dihadkan.

Queen bergerak pada ke semua arah kecuali pergerakan Knight sahaja. Tiada jumlah kotak yang dihadkan. King bergerak pada ke semua arah kecuali pergerakan Knight sahaja. Dihadkan kepada 1 kotak sahaja dalam setiap pergerakan.

Setiap pemain akan menjalankan buah mereka secara bergilir.

Berbeza dengan dam haji, permainan catur tidak memerlukan pemain bersaing menghabiskan kesemua buah lawan. Pemain yang berjaya menyekat pergerakan King akan dikira sebagai pemenang. Istilah menyekat pergerakan King ini disebut sebagai Checkmate!

Boleh dibeli di semua kedai runcit pada harga paling rendah RM5 sekotak.

Selain dapat mengasah fikiran menjadi tajam, bermain catur dapat menimbulkan perasaan stedi dan nampak educated di mata sesiapa yang memandang.

Karom

Sejenis permainan Strike and Pocket yang menyerupai permainan Billiard.

Dimainkan di atas papan lapis yang licin berketebalan antara 8 mm dan berukuran 73.5 sm yang berbentuk segi empat sama. Di sekeliling papan lapis adalah bingkai kayu yang kerkeupayaan memantulkan buah karom. Di penjuru setiap papan karom terdapat 4 lubang yang mempunyai jaring di bahagian bawahnya. Papan karom mempunyai garisan dan bulatan tengah yang digunakan dalam rang undang-undang persatuan karom-karom sedunia. Menggunakan 9 buah karom berwarna hitam, 9 buah karom berwarna putih dan sebiji buah berwarna merah. Diperbuat daripada kayu dan berbentuk bulat leper. Gundu ataupun Striker adalah buah yang digunakan untuk menolak masuk buah karom ke dalam lubang. Gundu diperbuat daripada plastik dan mempunyai permukaan yang licin. Saiz gundu adalah lebih besar dan nipis daripada buah karom.

Serbuk tepung ditabur ke atas permukaan papan karom supaya permukaan karom tidak kering dan kasar. Boleh dimainkan 2 hingga 4 orang pemain. Jika bermain 4 orang, permainan boleh dimainkan secara tag team atau 3 belasah seorang.

18 buah karom hitam dan putih akan disusun di tengahtengah bulatan pada papan karom dengan buah karom berwarna merah berada di tengah-tengah sekali.

Buah gundu akan diletakkan pada garisan dan dijentik ke tengah untuk menolak buah karom ke dalam lubang.

Terdapat pelbagai cara karom dimainkan. Antara yang paling popular dimainkan adalah seorang pemain menghabiskan buah putih dan seorang lagi pemain menghabiskan buah hitam seberapa pantas. Satu lagi cara yang kerap dimainkan adalah mengutip kesemua buah karom dan mengira jumlah siapa yang lebih banyak dengan kiraan buah hitam 1 mata, buah putih 2 mata dan buah merah membawa 5 mata.

Cara untuk memperolehi buah merah pada kedua-dua cara bermain tadi adalah sama. Buah merah hendaklah dijentik masuk ke dalam lubang dan diikuti dengan buah yang lain. Jika tiada buah susulan yang berjaya dimasukkan, buah merah tadi berserta denda akan diletakkan di tengah bulatan.

Papan karom dibeli di kedai-kedai sukan pada harga RM50 hingga RM60 dengan buah karom dan serbuk tepung dijual berasingan.