TORA DATANG LAGI - 54
Mercun palam pencucuh adalah mercun DIY buatan tangan yang tidak dijual di kedai-kedai yang menjual mercun dan bunga api. Seperti mana kegemilangan yang diraih meriam buluh, kemasyhuran mercun palam pencucuh tidak boleh dinafikan sesiapa, termasuk Hanafi sekalipun.

Selain menggunakan bahan dari barangan yang mudah diperolehi, saiznya yang kecil menjadi salah satu kelebihannya berbanding dengan meriam buluh yang sukar disembunyikan.

Antara bahan-bahan yang diperlukan adalah:

Palam pencucuh

Pemulas skru

Pisau lipat

Kikir parut

Tali rafia

Paku/skru kepala bulat

Mancis

Karbaid

Dawai

Langkah-langkah membikin mercun palam pencucuh:

Palam pencucuh dipegang berdiri dengan bahagian yang memercik api menghala ke atas.

Dengan menggunakan kikir, pisau lipat dan bantuan pemulas skru, kepala palam pencucuh yang memercikkan api perlu dibuang sehingga membentuk satu lohong.

Karbaid/serbuk mancis akan diisi padat ke dalam lohong tadi. Kertas penggesek mancis akan dilapik pada bahagian atas supaya karbaid/serbuk mancis tidak terkeluar. Selain karbaid/serbuk mancis, serbuk di dalam bunga api sate belang-belang merah juga boleh digunakan.

Kertas penggesek mancis yang menutupi lohong tadi akan disendal dengan menggunakan paku/skru dan dipastikan ketat dan tidak tercabut.

Dengan menggunakan dawai, batang paku/skru tadi dililit dan dihubungkan kepada bahagian bawah palam pencucuh; iaitu bahagian plastik putih.

Tali rafia akan diikat pada bahagian bawah sekali untuk memudahkan palam pencucuh dibaling. Palam pencucuh boleh sahaja dibaling tanpa tali rafia cuma akan sedikit sukar kerana bahagian paku/skru tadi hendaklah turun ke tanah terlebih dahulu.

Palam pencucuh yang menghentam permukaan tanah akan meletup dan mengeluarkan bunyi.

Kesan letupan yang dihasilkan oleh mercun palam pencucuh mungkin kalah banyak jika hendak dibandingkan dengan letupan meriam buluh tetapi faktor pembikinannya yang sangat DIY memberikan 1,001 perasaan. Perasaan MacGyver salah satu contohnya.