Proses mengkukur kelapa dimulakan dengan kelapa tua yang dibuang kulit, dibelah dua dan dikeluarkan airnya lalu dikumpulkan di satu tempat. Kelapa tua selalunya mempunyai kumboi di dalamnya dan sangatlah digemari dan dinanti-nanti kanak-kanak. Kumboi yang bersaiz kecil adalah lebih digemari kerana rasanya yang lebih berlemak dan isinya sedikit pejal. Kumboi yang bersaiz besar kurang digemari kerana rasanya sedikit tawar dan isinya seperti Scotch-Brite. Kumboi yang tidak diinginkan akan diberi makan kepada ayam yang tidak mengerti.
Kukur kelapa selalunya disimpan di bawah almari ataupun di sebalik dapur. Kukur kelapa yang hendak digunakan akan diletakkan di atas lantai pada satu kawasan rata yang lapang. Sesetengah orang akan melapik permukaan lantai dengan kain buruk bagi mengelakkan kukur kelapa bergerak aktif.
Kelapa yang sudah dikumpulkan tadi akan dibawa ke sebelah kukur kelapa. Besen akan diletakkan pada depan kukur kelapa betul-betul di bawah pisau kukur. Besen ini akan digunakan untuk menadah isi kelapa yang jatuh apabila dikukur.
Sambil duduk mencangkung di belakang badan kukur kelapa seolah-olah seperti menunggang kuda, kelapa yang dibelah dua tadi akan dicekak kemas dengan kedua belah tangan. Kelapa dikukur dengan cara mengkukur ke atas ke kiri dan ke kanan. Proses ini akan diulang-ulang sehingga isi kelapa habis dikukur. Tempurung kelapa tidak akan dibuang tetapi disimpan bagi dijadikan bahan bakar ataupun panjut ketika hari raya.
Bahagian paling happening adalah lebihan ruang kosong dibahagian belakang badan kukur kelapa selalunya akan diduduki oleh kanak-kanak sambil memeluk belakang si pengkukur kelapa. Apabila pengkukur kelapa bangun untuk menguruskan isi kelapa di dalam besen, kanak-kanak akan menginjak ke hadapan dan memegang kepala kukur kelapa lalu berimaginasi seperti menunggang kuda.
Semua kanak-kanak mempunyai cita-cita nak jadi koboi bila dia besar.