TORA DATANG LAGI - 57
Sejenis permainan video digital yang dimainkan dengan sebuah konsol permainan. Terdapat pelbagai model permainan video yang dikeluarkan ketika itu. Jenama yang paling popular adalah Nintendo; antara syarikat terawal dan paling menguasai pasaran permainan video ketika itu. Ia mempunyai dua kabel yang perlu disambungkan. Satu kabel disambung ke televisyen dan satu kabel lagi yang lengkap dengan plug disambung terus ke suis elektrik. Terdapat sepasang alat kawalan yang boleh disambung atau ditanggalkan dari konsol. Pada alat kawalan, terdapat punat arah di bahagian kiri dan empat punat bulat berwarna di bahagian kanan.

Konsol permainan yang ringan ini berbentuk seperti sebuah kotak. Ada juga konsol dari jenama lain yang berbentuk seakan-akan sebuah kereta. Pada bahagian atas konsol terdapat satu ruang kosong yang digunakan untuk memasukkan katrij permainan atau lebih true dipanggil tape game.

Tape game adalah katrij yang mengandungi cip dan litar elektronik yang menyimpan segala data sesuatu permainan, dikepilkan di dalam bekas plastik dan dihiasi dengan pelekat hiasan pada bekas luarnya mengikut jenis permainannya. Tape game dijual berasingan daripada konsol dan ianya dijual pada harga yang berbeza mengikut jenis permainan dan juga jumlah permainan di dalam satu katrij. Terdapat sehingga beribu permainan boleh dimasukkan ke dalam sekeping tape bergantung kepada saiz setiap satu permainan tersebut. Harga tape game adalah sangat mahal. Ia dijual di antara RM70 hingga RM100 sekeping.

Antara permainan video televisyen yang popular dimainkan ketika itu adalah:

Mario Bros

Donkey Kong

Contra

Bomberman

Street Fighter

Megaman

Ice Climber

Balloon Fights

Karateka

Galaxian

Selain dimain dan dikawal dengan menggunakan alat kawalan, terdapat beberapa permainan yang perlu dimainkan dengan sebuah pistol kawalan. Pistol kawalan yang menggunakan sinar infra merah ini perlu dihalakan ke skrin televisyen mengikut objek yang perlu ditembak. Antara permainan menembak yang popular dimainkan ketika itu adalah:

Tembak koboi

Tembak itik terbang

Tembak piring

Tembak papan latihan

Rumah yang mempunyai konsol permainan video televisyen selalunya menjadi rumah paling gemar dilawati rakan-rakan selain menjadi port ponteng sekolah yang paling bergaya.