TORA DATANG LAGI - 58
Oleh kerana tidak mahu membazir wang membeli gam di pasaran, sesetengah ibu-bapa akan membuat sendiri gam untuk kegunaan seharian. Gam yang dihasilkan ini dinamakan gam kanji. Gam kanji adalah sejenis gam yang diperbuat dari tepung ubi. Tepung beras atau tepung gandum juga boleh digunakan. Tepung ubi akan dicampur dengan sedikit air suam dan dikacau sehingga sebati. Antara sukatan yang dicadangkan adalah 500ml air suam digaul bersama 4 sudu tepung ubi. Sementara mengacau tepung ubi, kuali akan dipanaskan. Setelah kuali panas, adunan tepung ubi dan air suam tadi dimasukkan ke dalam kuali dan dikacau sehingga sebati. Adunan yang sudah sebati akan berwarna putih pekat dan berlendir dan siap untuk digunakan. Setelah dibiarkan sejuk, adunan akan disimpan di dalam bekas atau botol plastik tertutup supaya tidak mengeras apabila terdedah kepada udara.

Ketika itu, gam komersil yang banyak dijual di kedai juga menggunakan gam kanji. Gam dijual di dalam pek plastik menyerupai seperti ubat gigi yang berwarna merah, hijau, kuning atau biru.

Walaupun dapat menjimatkan kos, perkara paling leceh tentang gam kanji adalah bau yang kuat dan agak berbau. Selain mudah keras apabila didedahkan pada udara, ia juga mempunyai kadar lekatan yang lemah. Oleh kerana itulah, ia hanya sesuai untuk melekatkan kertas dengan kertas sahaja. Yang paling menyebalkan, gam kanji juga susah untuk disukat jumlah penggunaan berikutan strukturnya yang berketul-ketul.