MENTARI pagi yang menyinar telah menambah keindahan banglo-banglo yang tersergam indah di suatu kawasan perumahan golongan elit di ibu kota yang diberi nama Bukit Tunku. Di antara kediaman-kediaman mewah itu jugalah berdirinya sebuah mahligai yang cukup sempurna seni pembuatannya, milik seorang jutawan muda yang juga merupakan tokoh korporat yang cukup disegani. Kerana kecantikan seni bina dan kehalusan seninya, telah membuatkan banglo milik taikun Tuan Fahreen Razeez acapkali memenangi anugerah rumah idaman dan menghiasi dada-dada majalah yang menghidangkan santapan kediaman-kediaman indah dan eksklusif untuk para pembacanya. Pemiliknya, juga tidak kurang hebatnya.
Beliau terkenal sehingga seantero Asia kerana memiliki rangkaian perusahaan yang cukup berjaya dan dinamik sekali. Walaupun perniagaannya diwarisi dari allahyarham ayahnya, Tuan Tajul Arif, namun usaha-usaha untuk kemajuan dan kemantapannya dicorakkan sendiri oleh Tuan Fahreen. Kekentalannya dalam mengharungi arus dunia korporat yang penuh pancaroba dan semangat juang yang tinggi menjadikan Tuan Fahreen dengan mudah menempa nama dan sering memenangi anugerah-anugerah usahawan dalam usia yang muda. Memiliki harta kekayaan yang menggunung dan ditambah pula dengan rupa paras yang kacak, sudah tentu menjadikan Tuan Fahreen lelaki idaman Malaya ataupun jejaka rebutan. Bak kata orang, sekali petik jari, ramai perempuan yang sedia datang bertandang.
Walaupun begitu, Tuan Fahreen bukanlah jenis lelaki yang mudah digoda. Ramai wanita dan gadis-gadis jelita yang telah tewas dalam percubaan mereka untuk memenangi hati Tuan Fahreen. Bagi Tuan Fahreen, semua perempuan yang cuba mendekatinya hanyalah semata-mata bermotifkan kekayaan dan kedudukan yang dimilikinya kini. Boleh dikatakan, hampir kesemuanya telah ditolak mentah-mentah olehnya. Sehinggalah ramai yang menggelarkannya sebagai tokoh usahawan muda yang sombong dan berlagak. Tetapi Tuan Fahreen tidak pernah memperdulikan semua kutukan itu kerana baginya adalah membuang masa melayan kerenah-kerenah yang tidak memberi sebarang manfaat kepadanya.
Jemput minum, tuan,
pelawa Mak Chom, pembantu rumah Tuan Fahreen yang sudah sedia menuangkan kopi ke dalam cawan.
Terima kasih, Mak Chom. Amboi, jelitanya Mak Chom hari ni, siap bersanggul sendeng lagi,
kata Tuan Fahreen mengusik Mak Chom yang hanya tersenyum sumbing dan tersipu malu dengan pujian majikannya sebentar tadi. Tuan Fahreen amat gemar mengusik dan berjenaka dengan Mak Chom kerana baginya orang tua yang sudah dianggap seperti ibunya itu adalah antara insan yang paling rapat dengannya setelah dia kehilangan kedua orang tuanya. Mak Chom telah lama mencurahkan khidmatnya kepada keluarga Tuan Fahreen. Dialah yang menjaga Tuan Fahreen sebaik sahaja ibu Tuan Fahreen menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas terlibat dalam satu nahas jalan raya. Semenjak itu, Mak Chomlah ibarat ibu kepada Tuan Fahreen, apa lagi setelah ayah Tuan Fahreen sendiri tidak berminat untuk beristeri lagi.
Segala tugas untuk membesarkan dan menguruskan Tuan Fahreen diserahkan kepada Mak Chom. Kini, Mak Chom bukan lagi pembantu biasa di rumah besar itu. Dia telah diangkat menjadi ketua pembantu rumah kepada lima lagi pekerja termasuk dua orang tukang kebun yang diupah untuk menguruskan rumah mewah lagi besar itu. Setiap hari, Mak Chom akan menyelia tugas-tugas yang perlu dilakukan oleh kesemua pekerja dan memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar untuk memberikan kesempurnaan dan keselesaan kepada pemiliknya. Sungguhpun begitu, Mak Chom sendiri yang akan melayan Tuan Fahreen ketika di meja makan kerana itu adalah permintaan Tuan Fahreen sejak dulu lagi. Pada Tuan Fahreen, Mak Chom bebas untuk bersenda, bersembang dan menegur apa sahaja perkara yang tidak mungkin akan dilakukan oleh pembantu rumah yang lain. Dan sudah tentunya Mak Chom tahu batas-batasnya sebelum dia menuturkan kata-kata pada Tuan Fahreen. Itulah keistimewaan Mak Chom di mata Tuan Fahreen.
Hai, kalau ada isteri, kan senang. Tak payahlah Mak Chom yang dah tua bangka ni nak teman tuan selalu kat meja makan ni,
perli Mak Chom tanpa disangka-sangka oleh Tuan Fahreen. Memang sudah lama Mak Chom menasihatkan Tuan Fahreen agar cepat-cepat beristeri supaya dia tidak keseorangan lagi. Dia sendiri hairan mengapa Tuan Fahreen masih belum mahu berteman sedangkan dia sudah lebih dari mampu. Sambil tersenyum manis, Tuan Fahreen berkata,
Mengapa Mak Chom cakap macam tu Mak Chom dah bosan ya, layan saya ni
Bukan bosan, tapi Mak Chom teringin juga nak tengok tuan ni beristeri. Ada juga orang yang nak tengok-tengokkan, sakit pening dan makan pakai tuan. Walaupun orang gaji ramai, tapi sentuhan seorang isteri tu berbeza tau. Seorang isteri ni ada aura yang boleh membuai kalbu dan menyuntik seribu keajaiban,
kata Mak Chom dengan penuh perasaan. Namun begitu, kata-kata itu disambut dengan deraian tawa yang tiada hentinya dari Tuan Fahreen. Geli hatinya mendengar luahan kata-kata yang amat puitis dari Mak Chom itu.
Mengapa tuan ketawa Tak betul ke apa yang Mak Chom cakap tadi
soal Mak Chom yang kehairanan dengan hilai tawa majikannya itu.
Begini sajalah Mak Chom, ya,
kata Tuan Fahreen yang masih ketawa lagi.
Kalau ada perempuan yang boleh urus rumah macam Mak Chom, boleh masak sedap macam Mak Chom dan boleh berceloteh banyak seperti Mak Chom, tolong pinangkan dia untuk saya, ya
sambung Tuan Fahreen dalam nada bergurau lagi.
Eh, eh tuan ni, kalau dah semuanya macam Mak Chom, kat mana pulak letaknya originality perempuan tu sebagai isteri
sambung Mak Chom yang masih tidak berpuas hati lagi dengan jawapan Tuan Fahreen itu. Tuan Fahreen hanya tersenyum mendengar ungkapan originality yang terkeluar dari mulut orang tua macam Mak Chom itu. Dalam hatinya berkata,
Sekali-sekala kalau terkeluar ayat dari orang tua ni, boleh tahan power juga!
Tuan Fahreen meninggalkan Mak Chom tanpa sebarang jawapan dan membiarkan orang tua itu terus terkebil-kebil mengharapkan penjelasannya. Dia hanya menghadiahkan sebuah senyuman manis pada Mak Chom yang amat disayanginya. Dia tidak pernah ambil pusing segala cakap-cakap Mak Chom mengenai bakal isterinya. Namun dia gembira kerana dapat melayan senda dan kerenah Mak Chom. Orang tua itulah satusatunya penghibur kesepiannya ketika di rumah. Dalam hatinya berdoa agar Mak Chom sentiasa dianugerahkan kesihatan yang baik dan dapat berkhidmat padanya untuk beberapa waktu lagi. Baginya, tiada pembantu sebaik Mak Chom dan sudah tentunya dia sukar dicari ganti.
Nurul Alyssa, awak tolong semak semula dokumendokumen ni. Ada banyak kesilapan ejaan yang awak buat, tahu tak Awak ni tidur ke apa Awak tau tak buat semua kerja, ni Kalau awak rasa tak mampu nak buat, awak boleh hantar surat letak jawatan. Dekat luar sana, ramai yang beratur nak kerja kat syarikat ni, tau
berderet-deret keluar leteran dari Che Rosmahwati atau lebih popular dengan gelaran Che Ros di pejabatnya memarahi Alyssa atas kesalahan yang dilakukannya. Terkulat-kulat Alyssa memandang muka bengis Che Ros itu. Sebagai seorang pekerja baru di syarikat itu, dia pastinya takut kalau dimarahi akibat kesilapan yang dia lakukan. Terutama dari pekerja senior dan berkuasa besar seperti Che Ros.
Awak taip semua ni balik dan lepas ni saya tak mahu tengok apa-apa kesilapan langsung dalam dokumen ni. Faham tak
bentak Che Ros lagi. Alyssa tunduk sahaja tanda mengerti. Terasa malu juga kerana dia ditegur di hadapan pekerja-pekerja yang lain. Selepas Che Ros berlalu sahaja, Elly terus menyapa Alyssa. Dia bimbang kalau-kalau Alyssa patah semangat atau sedih sangat akibat dimarahi oleh Che Ros tadi.
Relaxlah, beb. Perempuan tu memang macam tu. Hari-hari nak marah tak tentu pasal. Mengalahkan bos saja.
Aku malulah, beb. Aku ni dahlah budak baru, buat kerja pun masih merangkak lagi. Tiba-tiba kena smash dengan Che Ros tadi. Rasa macam nak luruh jantung aku ni,
jawab Alyssa sugul. Dia resah kerana banyak perkara yang perlu difikirkannya. Tentang papanya, soal kerjanya dan juga perihal mamanya yang hilang entah ke mana.
Engkau tak payah nak malu sangatlah, beb. Semua orang dekat pejabat ni kenal sangat perangai dia tu. Dia tu berlagak lebih sebab dia jadi pembantu merangkap setiausaha peribadi bos besar kita, Tuan Fahreen tu. Konon-kononnya dialah yang paling berkuasa selepas bos dekat pejabat ni, sebab dia kerja bawah bos besar. Tapi, orang lain sebenarnya tak peduli sangat dekat dia. Meluat lagi adalah dengan dia tu. Lama-lama esok, kau pun mesti faham dengan perangai dia tu,
ujar Elly dengan panjang lebar tentang Che Ros. Che Ros, cukup sinonim dengan jolokan kaki bodek di pejabat itu. Dia bijak bermuka-muka dan berpura-pura baik di hadapan bos, pengarahpengarah dan orang-orang atasannya. Tetapi, cukup berlagak pada staf-staf bawahan di peringkat operasi dan teknikal. Tidak kurang juga yang benci dengan tabiatnya yang begitu gemar memperkecilkan orang lain dan mengadu-domba perihal perangai pekerja yang tidak menyenangkan hatinya atau sebulu dengannya. Terlalu ramai juga yang sakit hati dengan kata-katanya yang begitu lancang menghina dan memaki hamun orang lain. Baginya tiada orang lain yang sesempurnanya dalam pejabat tersebut.
Di dalam bilik pejabat Tuan Fahreen pula, dia adalah wanita yang selembut-lembut umat. Katakatanya lembut, lengguk gayanya longlai dan renungan matanya juga bundar. Dia akan mendengar segala arahan Tuan Fahreen dengan teliti ibarat seorang hamba abdi yang setia menunggu arahan dari tuannya. Dan sebagai hamba, dia akan melaksanakan segala arahan tuannya dengan sebaik mungkin. Dia punya perasaan yang lebih dari seorang pekerja kepada ketuanya. Che Ros sebenarnya menyintai Tuan Fahreen dalam diam. Mulutnya tidak pernah mengungkapkannya, tetapi gerak lakunya menceritakan segala-galanya. Sayang sekali, Tuan Fahreen gagal memahami lengguk cinta Che Ros itu. Bagi Tuan Fahreen, Che Ros tidak lebih dari pekerja biasa yang dibayar gaji untuk menuruti segala arahannya.
Che Ros, mana dokumen yang saya minta semalam Awak dah siapkan
soal Tuan Fahreen. Dia memberikan dokumen itu kepada Che Ros semalam bagi dilengkapkan sebelum dibawa ke mesyuarat ahli lembaga pengarah petang nanti.
Ada kesilapan teknikal sikit, tuan. Budak baru tu, tak dengar arahan saya betul-betul. Banyak sangat silap yang dia dah buat pada dokumen tu. Tadi, saya dah marahkan dia dan minta diperbetulkan semula kesilapannya,
jawab Che Ros memulakan adudombanya pula.
Awak beri dokumen sepenting itu pada budak baru untuk disiapkan
tanya Tuan Fahreen lagi dengan nada agak tinggi.
Siapa budak baru tu, bawa dia jumpa saya sekarang.
Dalam keadaan yang risau campur kesal, Che Ros telah memanggil Nurul Alyssa untuk menghadap Tuan Fahreen segera. Kesal juga dia kerana memberikan dokumen penting itu untuk diselesaikan oleh Alyssa, walhal dia tahu, Alyssa seorang staff baru. Terketar-ketar kaki Alyssa melangkah ke tingkat atas setelah diarahkan untuk bertemu dengan Tuan Fahreen. Inilah kali pertama semenjak mula bekerja seminggu lalu, dia akan menghadap bos besar yang juga merupakan pemilik syarikat gergasi itu. Sebelum ini, diskripsi mengenai diri Tuan Fahreen hanya didengarinya dari Elly dan teman-teman sepejabat yang mulai rapat dengannya. Tapi pada hari ini, dia akan benar-benar berhadapan dan berbicara dengan Tuan Fahreen. Lagi pula, dia dipanggil atas sebab kesilapan yang dilakukannya.
Aduss, apa yang harus aku jawab depan bos ni. Matilah aku,
bisik hati Alyssa penuh gementar. Perlahan-lahan pintu boss diketuk dan apabila diberi keizinan, dengan tertib dan teratur dia masuk. Kepalanya hanya tunduk merenung lantai, langsung tidak berani bertentang mata dengan Tuan Fahreen. Di hatinya, penuh persoalan akan petanyaan-pertanyaan yang bakal ditanya oleh Tuan Fahreen. Namun begitu, sebenarnya dihadapan Alyssa lain pula ceritanya. Di hadapannya berdiri seorang lelaki yang dihormati tetapi memandangnya dengan satu pandangan yang benar-benar berbeza. Sebagai ada sesuatu yang sedang bermain dijiwa lelaki itu.