TORA DATANG LAGI - 6
Industri majalah lawak tempatan pernah menyelamatkan kehidupan hambar setiap kanak-kanak yang setiap hari dibebani lambakan kerja sekolah yang membosankan. Industri buku ketika itu tersangatlah pesat membangun sehinggakan terdapat pelbagai majalah-majalah tempatan yang dijual di kedai-kedai.

Setiap bulan, setiap kanak-kanak akan mengumpul duit sekolah, membantu ibu pergi ke kedai, berpuasa di siang hari, mengorek tabung, berbuat baik dengan kawan-kawan dan pelbagai lagi usaha supaya tidak terlepas dan dapat memperolehi majalah-majalah ini. Perkara yang sama akan lebih melampau usahanya apabila terdapat keluaran edisi bumper yang lebih tebal muka suratnya dan lebih mahal harganya. Terlepas edisi bumper merupakan satu kegagalan dalam hidup seorang kanak-kanak yang masa hadapannya pun belum tentu entah berjaya entahkan tidak.

Walaupun terdapat pelbagai jenis majalah yang dijual pada ketika itu, terdapat dua gergasi majalah yang berada di tempat paling atas dalam hati setiap pembaca dan tidak mungkin luput dalam setiap ingatan. Dua gergasi majalah yang popular itu adalah:

Gila-Gila

Merupakan antara perintis majalah lawak di Malaysia yang menceduk idea majalah luar negara, MAD. Selain menjadi pembuka pintu, ianya juga boleh diumpamakan akademi

melahirkan ramai kartunis-kartunis di Malaysia.

Keluaran pertama dengan gambar

A.R. Badul telah dikeluarkan pada tarikh April Fool di tahun 1978 dan menjadi barang rare pada masa sekarang.

Menggunakan maskot seorang tua berjanggut lebat berkepala botak, memakai cermin mata bulat dan dikenali sebagai Profesor Serba Tahu (PST).

Antara kartunis yang digemari adalah Jaafar Taib, Imuda, Lat, Ujang, Kerengge, Zainal Buang Hussein, Fatah Ngah, Asan, Cabai, Norm Aidid dan ramai lagi.

Antara kartun yang mendapat tempat adalah Ayop Anak Tulakang, From Taiping With Love, Perwira Mat Gila, Lagak A. Mahmud, Tiga Dara Pingitan, Jaki Jipang, Joyah Sport, Sharifah Shawati, Kurma Daging Anita, Budak U dan pelbagai lagi.

Selain lawak, Gila-Gila turut menyediakan ruanganruangan penulisan ilmiah. Antaranya adalah seperti ruangan Ehem... Alahai yang dikelola oleh Minahleter yang terkenal dengan penulisan berani mati dan lantang tentang kewanitaan dan dibalas manja dan sarkastik di dalam ruangan tulisan Matt Romeo.

Selain itu, Gila-gila menyediakan ruangan untuk suratsurat pembaca dan peraduan-peraduan dengan hadiah yang menarik. Pada muka surat terakhir Gila-Gila selalunya terdapat sebuah lukisan yang perlu dilipat untuk mengetahui mesej rahsia.

Selain muka surat yang lebih untuk keluaran edisi bumper, hadiah-hadiah lain berupa sticker, iron-on sticker dan kalendar.

Gila-Gila menuju zaman gelap apabila lawak yang diketengahkan adalah bodoh dan tidak seiring dengan zaman. Keadaan semakin huru-hara apabila ramai kartuniskartunis telah mengambil keputusan untuk beralih ke majalah lain yang lebih moden.

Pelbagai majalah telah diterbitkan selepas Gila-Gila seperti Batu Api, Humor, Jenaka, Gelagat dan Geli Hati tetapi tidak dapat bertahan lama seperti Gila-Gila akibat dari masalah pengurusan dan dalam masa yang sama, lawak yang tidak mendapat tempat di hati pembaca.

Gila-Gila masih diterbitkan sehingga sekarang dan masih gagal untuk buat kambek.

Ujang

Ujang merupakan satu-satunya majalah yang berupaya mencucuk rapat belakang Gila-Gila. Majalah ini ialah hasil cetusan idea Ibrahim Anon atau nama penanya, Ujang. Ujang adalah di antara bekas kartunis Gila-Gila yang mengambil keputusan untuk keluar dari Gila-Gila. Antara kartun Ujang yang popular semasa di Gila-Gila adalah Atuk dan Aku Budak Minang.

Muncul dengan idea yang lebih terbuka, lawak yang mengikuti zaman, lukisan yang lebih teliti dan panel lukisan yang lebih bebas menjadi formula baru Ujang menyaingi kepopularitian majalah Gila-Gila dan dalam masa yang sama mengalahkan jualan Gila-Gila.

Menggunakan maskot seorang lelaki separuh siuman, dengan fesyen pakaian dan aksesori-aksesori yang pelik; selipar jepun diselit di lengan, berus jamban disangkut pada pinggang, kipas kincir diselit belakang telinga, sirap bungkus digantung pada tengkuk dan lain-lain. Bercakap di dalam loghat Negeri Sembilan yang pekat dan dalam masa yang sama memperkenalkan pelbagai perkataan-perkataan baru. Maskot ini dikenali dengan nama Din Beramboi.

Muncullah ketika itu, gelombang baru kartunis seperti Bendi, Gayour, Aie, Petai,

Bijan, Bawang, Sireh, Lepat,

Pandan, Sawi, Sireh, Tembakau, Nik, Ubi, Lengkuas, Sukun, Kobis Bunga, Ah Tuck, Genesis, Leen Mafia dan kartun-kartun seperti Workshop, Selangkah Ke Alam Misteri, Murahguru Tandoori Payat, Budak Hostel, Bersama Selamanya, Aku Hidup Dalam Blues, Kartini, Mat Despatch, Pendekar Dari Gunung Terkelendat dan lain-lain lagi.

Majalah Apo merupakan satu lagi keluaran lain selain Ujang.

Majalah Ujang menjadi asbestos apabila pihak pengurusan telah diambil alih oleh MOY yang telah menukar keseluruhan konsep majalah tersebut sehingga menjadi bangang. Maskot Din Beramboi ditukar menjadi Pak Cik Din dan lebih waras berbanding versi sebelumnya.

Dengan berat, kartunis Ujang terpaksa meninggalkan legasi yang pernah dibinanya dan telah menerbitkan majalah Varia Lawak dan Lanun bagi menyelamatkan maruah majalah lawak Malaysia tetapi tidak dapat bertahan lama.

Seperti mana Gila-Gila, kebanyakan kartunis majalah Ujang ketika itu keluar dari produksi Ujang yang baru. Kemasukan produk kartunis-kartunis baru ternyata tidak dapat langsung menyaingi kemasyhuran produk kartuniskartunis terdahulu.

Ujang masih diterbitkan sehingga sekarang dan semakin selipar jepun.