Jejawi Tua - 6
Bab 6

RUMAH limas yang terletak di sebuah kawasan lapang yang suatu ketika dahulu merupakan bendang, sunyi sepi. Sekeliling rumah tersebut diterangi dengan cahaya daripada lampu-lampu pagar yang sengaja dinyalakan sepanjang malam. Tidak seperti rumah penduduk kampung yang lain, rumah limas lima bilik itu berpagar dan pintu pagarnya tidak pernah dibuka pada waktu malam kecuali untuk urusan-urusan tertentu. Pak Syuaib masih lagi berada di beranda. Sebatang demi sebatang rokok daunnya dihisap. Ada kalanya rokok daunnya tidak berapi dan berasap tetapi Pak Syuaib tetap menghisapnya seolah-olah daun nipah muda yang sudah dikeringkan itu lebih sedap apabila bercampur dengan air liur sendiri. Sesekali dia mengibas nyamuk yang cuba mencuri darahnya. Di hadapan Pak Syuaib, terdapat sebuah meja kopi. Dan sebagaimana namanya, di atas meja itu terhidang seteko kopi panas dan dua biji cawan. Sepinggan biskut kering turut tersaji walaupun Pak Syuaib tidak menjamah walau sekeping pun biskut berkenaan. Mak Limah muncul sambil membawa kain berbunga besar dan bekas menjahitnya. Bangku yang bertentangan dengan Pak Syuaib ditarik dan punggung lebarnya dihempaskan di atas bangku tersebut. Berderap sendi-sendi bangku itu berbunyi sebaik-baik sahaja keberatan tubuh Mak Limah dipindahkan ke bangku itu.

Anak-anak kita tak balik minggu ni,

Mak Limah bersuara sekali gus memecah kesunyian di beranda itu. Pak Syuaib tidak tertarik untuk memberikan reaksi kepada kata-kata Mak Limah. Sebaliknya dia terus merenung kegelapan malam seolah-olah memaksa matanya menerobos segenap segi kekelaman dan kegelapan.

Banyak lagi kerja kat ladang ayam kita tu

Mak Limah bertanya lagi apabila Pak Syuaib tidak memberikan tindak balas kepada kata-katanya sebelum itu.

Macam biasalah. Mana boleh habis. Kalau habis, kita nak makan apa

Pak Syuaib bersuara sinis. Mungkin dia malas hendak melayan perbualan Mak Limah. Mak Limah merenung wajah Pak Syuaib yang kelihatan cukup selamba dan bersahaja. Katakata yang dihamburkan sebentar tadi, seolah-olah memberi isyarat agar Mak Limah meninggalkan Pak Syuaib seorang diri untuk melayan angan-angan dan khayalannya. Namun Mak Limah bukanlah jenis yang mudah tunduk. Perbualan seperti itu adalah rutin buat mereka berdua semenjak mereka mula-mula berkahwin lagi. Bahkan dari perbualan sebegitulah, banyak perkara yang dapat mereka selesaikan. Ladang ayam dan ladang kambing yang memberikan pulangan besar kepada keluarga mereka terhasil daripada perbualan kosong pada tengah malam di beranda itu.

Awak ni kenapa, bapanya Dua tiga hari ni, saya tengok lain macam saja.

Mak Limah tidak mampu membendung keinginannya untuk tahu lagi.

Apa benda yang awak mengarutkan ni, Limah Lain macam apanya Saya macam ni la, dari sejak mula berkahwin, sampailah sekarang.

Pak Syuaib tidak bersetuju dengan tuduhan Mak Limah.

Kita kenal bukan sehari dua, bapanya. Dah berpuluh tahun. Sebab itulah, dari gerak tubuh dan bahasa awak kepada saya, saya dah dapat tangkap apa yang ada dalam fikiran awak.

Jangan mengarutlah!

Pak Syuaib seperti tercabar dengan kata-kata Mak Limah. Mak Limah tidak menghiraukan amaran yang diberikan oleh Pak Syuaib sekejap tadi. Sebaliknya merenung suaminya itu dalam-dalam. Renungan Mak Limah membuatkan Pak Syuaib tidak senang hati. Pun begitu, dia tidak berganjak atau melarikan diri dari beranda. Sebaliknya tercokoh bagaikan patung berhala yang disembah oleh manusia.

Kalau ada masalah, lebih baik awak cakap dengan saya. Awak tak boleh pendam seorang diri, bapanya.

Mak Limah cuba mengumpan Pak Syuaib agar berterus-terang.

Awak ada masalah dengan budakbudak berdua tu ke

Budak-budak tu tak ada masalah. Semuanya baikbaik saja.

Habis tu

Pak Syuaib tidak terus menjawab sebaliknya menghela nafas panjang. Mak Limah pula bersiap sedia untuk mendengar cerita dan luahan rasa Pak Syuaib. Pun begitu, Pak Syuaib tidak terus bersuara, sebaliknya berpaling dan melemparkan pandangan ke arah tanah lapang yang kini ditumbuhi rumput menerung dan pokok senduduk selain pokok selimut rimau. Bendang yang pernah menyaksikan zaman remajanya menjadi padang permainan layang-layang selepas musim menuai dan menangkap ikan sempilai untuk dilagakan, kini telah menjadi sebuah kawasan yang dilupakan sama sekali oleh pemilik-pemilik bendang itu. Sebahagian daripada bekas bendang itu telah pun menjadi miliknya. Ada projek yang hendak dilaksanakan di bekas bendang itu. Namun Pak Syuaib masih tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk melaksanakan projek berkenaan. Mungkin setelah projek ladang ayam dan kandang kambingnya mulai menghasilkan pendapatan yang lebih, Pak Syuaib akan melaburkan wangnya di bekas bendang itu. Pak Syuaib sudah berkali-kali ke pejabat pertanian di pekan. Malah, dia juga sudah beberapa kali menghadiri kursus yang dianjurkan oleh pejabat pertanian. Dia sudah mulai tahu, apa kesesuaian tanah tersebut dan cara-cara mengagihkan perbelanjaan ke atas projek baharu di tanahnya itu. Malah, Pak Syuaib juga sudah tahu, ikan jenis apa yang sesuai diternak di tanah bekas bendang itu. Tidak cukup setakat itu sahaja, Pak Syuaib juga tahu bagaimana hendak memasarkan ikan-ikan tersebut. Malah harga jualan pun, Pak Syuaib sudah khatam.

Aku kasihankan Sahak.

Sahak

Mak Limah merenung wajah suaminya dalam-dalam.

Budak tu rajin tapi mudah sangat terpengaruh dengan si Sudin, anak Cik Leh tu.

Alah, si Sudin tu pun baik budaknya. Tinggal lagi, budak tak ada pendidikan, macam tulah. Tapi kalau seorang budak lelaki sanggup mengambil alih tugas bapanya, baiklah budak itu.

Mak Limah tidak bersetuju dengan pandangan Pak Syuaib.

Bukan itu maksud aku.

Pak Syuaib seperti tertelan putik durian. Sukar sungguh untuk dia berterus terang dengan Mak Limah. Mak Limah pula masih lagi merenung wajah Pak Syuaib dalam-dalam. Nalurinya sebagai seorang isteri dan wanita memberitahunya, ada sesuatu yang penting sedang diusahakan oleh Pak Syuaib untuk diluahkan kepadanya.

Aku bercadang nak suruh dia jaga ladang ayam tu.

Habis tu

Masalahnya sekarang, aku tak berapa percayakan dia sebab dia mudah sangat beralah dengan si Sudin. Aku nak dia tegas. Aku nak dia ada pendiriannya sendiri. Aku tak mahu dia mudah dikotak-katikkan oleh sesiapa pun, termasuklah Sudin.

Kalau awak dah bagi ladang ayam tu kepada si Sahak, nanti apa pula kata si Sudin

Aku nak suruh Sudin jaga kolam ikan.

Kolam ikan Awak dah nak mulakan projek tu ke

Pak Syuaib terangguk-angguk kecil. Kemudian dia menggulung rokok daunnya dan menghisap asap candu daripada tembakau jawa yang terbakar dalam gulungan daun nipah muda yang sudah dikeringkan dengan penuh asyik. Pun begitu kerut di dahinya serta renungan kosongnya ke arah kegelapan di tanah kosong di sisi tapak rumahnya, memberitahu Mak Limah, dia sedang sibuk memikirkan perkara yang diperkatakannya sebentar tadi.

Aku sayangkan kedua-dua mereka. Aku dah anggap budak-budak tu sama macam Rosman dan Salmiah. Aku nak kedua-duanya dapat ubah hidup. Kalau aku bagi macam tu sahaja, nanti tak dihargai pula. Jadi, ada eloknya kalau aku bagi mereka bekerja. Lagipun kalau nak bantu orang, jangan bagi ikan... elok bagi pancing.

Mak Limah kelihatan bersetuju dengan pendapat Pak Syuaib.

Cuma Cik Leh tu saja....

Kenapa dengan Cik Leh Dia tak setuju anaknya bekerja dengan kita

Kalau anaknya tak bekerja dengan kita, apa benda yang nak dimakannya Cik Leh tu bukannya rajin bekerja. Yang dia tahu, berjudi dan melepak dengan Lateh, Man Bewak dan Mat Ajib. Dari muda sampai ke tua, mereka tu tak habis-habis dengan berseronok. Bila ada duit, berjoli sakan. Silap-silap sampai lepas sempadan. Kalau tak ada duit, minta dengan bini, minta dengan anak. Kerja langsung tak mahu.

Mak Limah tersenyum mendengarkan luahan perasaan Pak Syuaib.

Cik Leh tu beruntung sebab ada anak macam Sudin. Memanglah secara mata kasarnya si Sudin tu perangainya tidaklah semenggah mana. Ada masanya suka curi tulang. Tapi bila bekerja dan berusaha mencari pendapatan, usahanya itu kena dipuji. Jarang sangat ada anak muda zaman sekarang yang sanggup mengorbankan titis peluh mereka untuk ibu bapa.

Gaji yang kita bagi tak besar, bapanya.

Aku tahu. Itu sajalah kemampuan yang kita ada. Itulah sebabnya aku suruh kau sediakan makanan untuk mereka. Setidak-tidaknya bila kita dapat sediakan makanan pagi, tengah hari dan petang, budak-budak tu dapatlah jimat duit mereka.

Mak si Sahak tu macam mana Masih sakit lagi

Entahlah. Aku tengok sakit lututnya tu tak beransur pun. Nak harapkan lakinya....

Tak balik juga laki si Tipah tu

Aku pun tak faham. Kenapalah dia tak bawa sekali Tipah dengan Sahak tu ke Johor dan duduk di sana Kan dah bertahun-tahun dia kerja kat sana tu.

Jangan-jangan dia dah kahwin lain, tak

Pak Syuaib ketawa kecil. Entah apa yang menggelikan hatinya, Mak Limah tidak dapat meneka.

Boleh jadi jugalah. Itulah sebabnya, banyak sangat alasannya untuk tidak bawa Tipah dan Sahak bersamasama. Balik pun dua tiga hari saja. Selebihnya banyak di Johor.

Macam-macam hal. Tapi tak apalah... setidaktidaknya, ada juga duit belanja yang dikirimkan untuk bini dan anak lelakinya. Setidak-tidaknya, dia tak lupa tanggungjawab.

Yalah.

Pak Syuaib mencampakkan puntung rokok daunnya yang sudah pendek.

Setiap bulan, tak kurang dari tiga ratus ringgit dikirimkan untuk anak bininya. Lepaslah juga belanja hidup mereka di kampung ni.

Ha, petang tadi Miah kecoh di rumah Tok Imam Tua.

Mak Limah memberitahu Pak Syuaib.

Kecoh Kenapa pula Dengan siapa pula dia bergaduh hari ini

Dia tak bergaduh dengan sesiapa pun.

Kalau tak bergaduh, apa pula yang dikecohkannya Miah laki bini tu bukannya boleh tengok orang lain lebih sedikit. Ada-ada sahaja niat busuk mereka tu.

Miah... meraung-raung macam janda mati laki sebab Lateh tak balik-balik.

Lateh tak balik-balik Ke mana pula dia pergi

Itu yang pelik. Memang sepanjang hari ni, kelibat Lateh tak kelihatan pun. Kalau tidak, nampak jugalah dia mundar-mandir kat luar pintu pagar tu.

Ke pekanlah tu. Kalau tidak pun ke sempadan.

Masalahnya Lateh dan kawan-kawannya tu tak ke pekan pun atau ke sempadan.

Habis tu

Mereka ke Bukit Botak.

Bukit Botak

Pak Syuaib jelas terkejut dengan penjelasan ringkas Mak Limah.

Begitulah yang dicakapkan.

Siapa cakap

Tok Ngah Darus.

Buat apa pula Lateh dan kawan-kawannya tu ke Bukit Botak

Cari harta karun.

Cari harta karun Harta karun apa yang ada di Bukit Botak tu

Mak Limah angkat bahu menandakan dia juga tidak tahu apa-apa tentang harta karun yang diperkatakan. Pak Syuaib menggigit bibirnya. Jelas, dia kelihatan tidak senang dengan berita yang baru didengarnya itu. Sudah tentulah gelagatnya itu menarik perhatian Mak Limah.

Kenapa dengan awak ni Miah yang sibuk hilang laki, awak pula yang susah hati

Lateh dan kawan-kawannya itu memang menempah maut.

Menempah maut

Memang jelas, Mak Limah cukup tertarik dengan kata-kata suaminya. Pak Syuaib berdecit-decit bagaikan anak ayam termakan pacat. Kegelisahannya langsung tidak dibendung daripada penglihatan Mak Limah. Pak Syuaib seolah-olah sengaja hendak menunjukkan kepada isterinya yang dia sememangnya gusar dengan pemergian Pak Long Lateh dan kawan-kawannya ke Bukit Botak.

Apa maksud awak

Mak Limah mengulangi pertanyaan setelah pertanyaannya sebentar tadi tidak dilayan oleh Pak Syuaib. Sama seperti sebelumnya, Pak Syuaib langsung tidak teruja untuk menjawab pertanyaan Mak Limah. Sebaliknya dia bangun dan mula berjalan mundarmandir di beranda. Mak Limah semakin ingin tahu, rahsia apa yang cuba disembunyikan oleh Pak Syuaib.

Kenapa, bapanya

Kalau betul si Lateh dan kawan-kawannya ke Bukit Botak, mereka perlu disusul secepat mungkin!

Biar sajalah Lateh dan kawan-kawannya tu. Lagipun, mereka tu mana boleh ditegur. Nanti lain pula jadinya.

Kalau dibiarkan, lagi teruk jadinya kampung ini.

Suara Pak Syuaib agak keras.

Tapi....

Mak Limah tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila Pak Syuaib melangkah pantas ke dalam rumah. Dia tahu apa yang Pak Syuaib hendak buat. Kain yang hendak dijahit, diletakkan di sisi kerusi yang didudukinya. Pun begitu, Mak Limah menyimpan jarum dan benang dengan hati-hati bagi memastikan tidak bersepah-sepah. Belum pun sempat Mak Limah melangkah masuk, Pak Syuaib sudah keluar. Di pinggangnya tersisip sebilah golok. Lampu suluh turut dipegang. Pak Syuaib memakai seluar pendek.

Awak telefon Tok Ngah Darus,

perintah Pak Syuaib kepada Mak Limah.

Nak cakap apa

Bagitahu dia, saya nak jumpa dia.

Kat ana

Kat rumah dialah. Takkan kat dalam hutan pula.

Seperti biasa, Mak Limah tidak banyak soal. Suaminya tidak suka dibangkang ataupun ditanya apabila hendak melakukan sesuatu. Sebaliknya, ikut sahaja apa yang disuruh tanpa perlu membangkang ataupun memberikan pelbagai alasan.

Cakap dengan Tok Ngah Darus, aku nak jumpa dia sekarang. Ada hal penting. Hal Lateh dan Bukit Botak.

Mak Limah sekadar mengangguk. Sebentar kemudian, deruman enjin motosikal Pak Syuaib membelah kesunyian malam. Tanpa berkata apa-apa, Pak Syuaib menghalakan motosikalnya ke arah pintu pagar. Pintu pagar dibuka dan selepas motosikalnya berada di luar, pintu pagar tersebut kembali ditutup dan dikunci dari luar. Selepas itu, Pak Syuaib memecut laju meninggalkan rumahnya. Mak Limah bersendirian. Secara tiba-tiba perasaan kesal menusuk-nusuk hatinya. Mengapa pula dia perlu menceritakan tentang gelagat Miah di halaman rumah Tok Imam Tua Sepatutnya dia diamkan sahaja. Kalau dia diamkan sahaja cerita itu, pastinya Pak Syuaib tidak akan tergesa-gesa untuk bertemu dengan Tok Ngah Darus. Pun begitu, Mak Limah juga sebenarnya berminat dengan Bukit Botak. Nama Bukit Botak sebenarnya sudah tidak asing lagi di kalangan penduduk Kampung Sungai Teja sama ada anak watan mahupun orang luar yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan kemudian menetap di kampung itu. Banyak cerita tentang Bukit Botak yang diceritakan. Biarpun kebanyakan cerita tentang Bukit Botak sebenarnya lebih bersifat cerita yang tidak wajar dipercayai kesahihannya, namun bukit tersebut sememangnya terus menarik perhatian sesiapa sahaja, terutama mereka yang bercita-cita tinggi.

Kenapa Abang Syuaib tergesa-gesa hendak ke rumah Tok Ngah Darus

Mak Limah bertanya kepada dirinya. Sudah tentulah pertanyaannya itu tidak akan dijawab oleh sesiapa pun. Dia mencapai gagang telefon. Pun begitu sebelum dia menekan nombor kombinasi telefon rumah Tok Ngah Darus, Mak Limah terpaksa membelek buku telefon yang tercatat nombor-nombor telefon kebanyakan penduduk kampung yang tidak dihafalnya.

Assalamualaikum!

Mak Limah segera memberi salam apabila panggilan dijawab oleh seorang wanita.

Siapa ni

suara wanita di dalam telefon segera bertanya dengan ramah.

Limah, isteri Pak Syuaib.

Oh, Limah... ada apa, Limah

Abang Syuaib dalam perjalanan ke rumah Tok Ngah sekarang ni. Katanya dia nak jumpa dengan Tok Ngah Darus. Penting katanya,

beritahu Mak Limah.

Penting Hal apa

Hal Lateh dan kawan-kawannya. Hal Bukit Botak.

Bukit Botak

Wanita yang menyambut panggilan Mak Limah kedengaran hairan.

Begitulah katanya.

Yalah, aku bagitahu Tok Ngah kamu sekejap lagi. Dia tengah berbincang dengan Tok Imam Tua fasal hal penting juga tu.

Baiklah, kalau macam tu.

Gagang telefon diletakkan semula. Mak Limah mati akal. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya lagi selepas itu. Tatkala dia hendak ke beranda mengambil jarum, kain dan benangnya, telefon itu berbunyi nyaring, sekali gus membuatkan langkah Mak Limah mati. Dia kembali mengangkat gagang telefon dan dilekapkan ke cuping telinga.

Assalamualaikum!

katanya.

Waalaikumsalam.

Suara di dalam telefon sangat dikenali oleh Mak Limah sekali gus membuatkan dia tersenyum lebar.

Mak tak tidur lagi

Kalau tidur, macam mana pula nak jawab panggilan kamu

Mak Limah cuba berseloroh dengan anak gadisnya. Salmiah ketawa mengekek.

Ni apahal kamu telefon malam-malam buta ni

tanya Mak Limah, sekali gus menyingkatkan basa-basi perbualan mereka.

Sal ada kat pekan sekarang ni. Nak balik kampung. Boleh mak bagitahu ayah supaya jemput Sal kat pekan

tanya Salmiah. Mak Limah terpelongo.

Kamu balik ke kampung

Mak Limah seperti tidak percaya.

Sal tengah cuti. Ingat nak buat kejutan tapi kereta Sal pula rosak. Nak buat kejutan punya fasal, alih-alih Sal pula yang dikejutkan,

beritahu Salmiah sambil diiringi tawa kecilnya.

Ayah kamu tak ada sekarang ni. Dia pergi ke rumah Tok Ngah Darus.

Oh, ya ke

Salmiah kedengaran kecewa.

Baru sekejap tadi ni dia pergi. Mak rasa, dia tak sampai pun lagi ke rumah Tok Ngah Darus.

Alamak, kalau macam tu, terpaksalah Sal tunggu di pekan kalau macam tu.

Mak Limah menggaru-garu kepalanya. Perasaan simpati bersarang di dadanya. Bimbang juga dia dengan anak gadisnya yang terpaksa menunggu kedatangan ayahnya di pekan pada waktu-waktu begitu. Hendak ke pekan menjemput Salmiah, dia tidak tahu bagaimana hendak memandu. Pak Syuaib pula belum pasti bila pulangnya. Buatnya Pak Syuaib leka bersembang dengan Tok Ngah Darus, mungkin Salmiah terpaksa berada di pekan sampai tengah malam.

Kamu sewalah teksi,

Mak Limah cuba memberikan cadangan.

Tak ada teksi malam ni, mak. Sal dari tadi lagi tunggu kalau-kalau ada teksi yang boleh disewa.

Alamak, macam mana nak buat sekarang

Mak Limah mati akal.

Kereta kamu kat mana

Ada di tepi jalan. Sal pun ada di tepi jalanlah ni.

Abang kamu

Abang tak balik hari ni. Hujung minggu ni, baru abang balik.

Mak Limah cuba memerah otaknya untuk menyelesaikan masalah itu. Namun tiada sesiapa pun yang dirasakan dapat membantu membawa pulang Salmiah dengan selamat kecuali Pak Syuaib sendiri.

Kalau macam tu, kamu tunggulah sekejap. Mak nak telefon rumah Tok Ngah Darus dan nak maklumkan kepada ayah kamu yang kamu ada di pekan sekarang ni,

beritahu Mak Limah.

Yalah. Sal tunggu.

Panggilan telefon dimatikan. Mak Limah cepatcepat menghubungi telefon rumah Tok Ngah Darus semula. Malangnya, telefon Tok Ngah Darus sedang digunakan. Panggilan yang dibuatnya tidak berjaya.

Apa aku nak buat ni

Mak Limah mulai resah. Dia cuba berkali-kali tetapi hasilnya tetap seperti tadi. Saat itu, Mak Limah berasakan, ada baiknya jikalau Pak Syuaib mempunyai telefon tangan seperti orang lain. Setidak-tidaknya alat tersebut memudahkan dia untuk berkomunikasi dengann Pak Syuaib dalam waktu kecemasan.

Aku nak kena pergi ke rumah Tok Ngah Darus ke

Mak Limah tidak dapat membuat keputusan. Gelap malam, menyukarkan perjalanannya. Lagipun masa yang diambil sudah pasti cukup lama untuk dia sampai ke rumah Tok Ngah Darus yang terletak tidak jauh dari rumah Tok Imam Tua. Tidak ada cara lain selain mencuba untuk menghubungi rumah Tok Ngah Darus berulang-ulang kali biarpun sampai patah jari-jarinya menekan punat nombor pada badan telefon. Dan usahanya berkalikali, akhirnya membuahkan hasil. Suara isteri Tok Ngah Darus kedengaran mengah. Entah apa yang berlaku sehingga isteri Tok Ngah Darus mengah, Mak Limah tidak dapat meneka.

Abang Syuaib dah sampai, tok ngah

tanya Mak Limah.

Ada di beranda tu.

Tok ngah tolong bagitahu kat Abang Syuaib, Salmiah tengah tunggu di pekan. Dia tak boleh balik sebab keretanya rosak.

Oh... ha, yerlah... yerlah, nanti aku bagitahu.

Tidak sempat Mak Limah meneruskan katakatanya lagi apabila gagang telefon sudah pun diletak kembali oleh isteri Tok Ngah Darus. Ada suara berteriak di hujung suara isteri Tok Ngah Darus. Entah apa yang berlaku, Mak Limah tidak dapat membayangkan keadaan sebenarnya. Namun setidaktidaknya jaminan yang diberikan oleh isteri Tok Ngah Darus sudah cukup untuk menenangkan perasaannya. Salmiah akan dijemput oleh Pak Syuaib. Itu adalah perkara yang jauh lebih penting daripada memahami apa yang sedang berlaku di rumah Tok Ngah Darus. Mungkin akan mengambil masa tetapi Salmiah akan selamat bersama-sama Pak Syuaib nanti. Bersendirian di dalam rumah limas itu, sedikit sebanyak tidak begitu menyenangkan perasaan Mak Limah. Walaupun semenjak Rosman dan Salmiah tinggal di bandar sama ada untuk menyambung pelajaran ataupun bekerja, Mak Limah hanya bersendirian bersama-sama Pak Syuaib, namun apabila ditinggalkan oleh Pak Syuaib pula kerana urusan yang seharusnya bukan menjadi urusan Pak Syuaib, Mak Limah tetap berasa cuak. Mujur jugalah rumahnya itu jauh dari jejawi tua yang menjadi mercu tanda Kampung Sungai Teja. Kalau tidak, harus dia sentiasa mengekori Pak Syuaib walau ke mana pun suaminya itu pergi. Atau setidaktidaknya memanggil Sudin mahupun Sahak untuk menemankannya di rumah.

Siapa pula yang datang tu

Sisa-sisa cahaya dari beranda menunjukkan kehadiran seseorang di pintu pagar rumahnya. Mak Limah tidak pasti siapa orangnya. Cuma orang itu kelihatan seperti seorang wanita tua yang bertongkat dan berpakaian compang-camping.

Ada orang nak minta bantuan lagi ke Takkan tengah-tengah malam macam ni

Mak Limah cuba menunggu suara orang yang baru muncul di pintu pagar rumahnya. Namun wanita tua itu sekadar berdiri di muka pintu pagar tanpa sedikit pun berusaha menolak pintu pagar yang diperbuat daripada besi itu. Wanita tua itu bagaikan terhalang dan tongkat yang dipegangnya pula tidak mampu membantunya membuka pintu pagar yang sememangnya dikunci dari luar oleh Pak Syuaib sewaktu dia ke rumah Tok Ngah Darus tadi.

Siapa tu

Mak Limah segera bertanya.

Aku.

Aku siapa

Mak Limah sedikit cuak. Suara itu kedengaran menggeletar seperti orang kesakitan.

Tok Tom.

Tok Tom

Darah Mak Limah berderau apabila mendengar nama itu.

Aku nak masuk.

Mak Limah tidak menjawab lagi sebaliknya lutut dan seluruh tubuhnya menggeletar tanpa dapat ditahan-tahan. Nama itu kembali menyegarkan ingatannya. Nama itu kembali menggegarkan hatinya. Bahkan nama itu kembali mengingatkan Mak Limah siapa dia sebelum dia berkahwin dengan Pak Syuaib.