"Tunggu dulu. Abang Munir nak tanya. Kenapa Adib masih gunakan gelaran aku bila bercakap Kan dah banyak kali Abang Munir dan Kak Suraya pesan. Tak sopan macam tu."
"Aku ada sebab yang tersendiri Abang Munir. Mungkin suatu hari nanti Abang Munir akan faham..."
Ketika beredar, Adib berselisih dengan Suraya. Suraya sempat mengusap kepala Adib dan tunduk mencium pipinya. Sebaik duduk berhadapan dengan Munir, Suraya menyerahkan sebuah sampul bertanda I F I Enterprise.
"Sampai lagi" tanya Munir. Suraya mengangguk.
Munir mengeluarkan isi sampul tersebut. Sekeping cek. Cek yang akan sampai beberapa bulan sekali. Walaupun sudah beberapa kali Munir menolak. Ianya terus tiba.
"Bukan saya yang tulis novel tu."
"Habis tu siapa"
"Adib cakap arwah ibu dia yang tulis."
"Baiklah. Ini saranan saya. Mungkin awak boleh gunakan duit tu untuk perbelanjaan ataupun simpanan masa depan Adib. Kalau novel hitam tu ibu Adib yang tulis, maksudnya Adib sebagai waris layak untuk mendapat royalti hasil dari penjualan buku Jangan Baca Novel Ni. Sebab novel ni ditulis berdasarkan cerita-cerita pendek yang dikarang oleh ibu Adib tu. Dan jangan lupa, novel ni jugak berdasarkan pengalaman peribadi awak, Munir. Jadi awak pun patut dapat royalti."
Begitulah perbualan ringkas di antara Munir dan penulis semasa pertama kali dia menghubunginya sejak novel kulit hitam yang misteri itu dikomersilkan. Bukan Munir tak bersyukur. Cuma dia merasa tidak senang menerima sesuatu yang setiap kali mengingatkan tentang peristiwa gelap yang berlaku dalam hidupnya kurang lebih dua tahun lepas. Mengingatkan tentang novel hitam itu. Yang telah menghantarnya ke wad gila selama beberapa bulan. Munir tak mahu ada kena-mengena lagi dengan peristiwa tersebut. Apatah lagi mengambil wang yang bagi Munir 'wang tercemar'. Tercemar dengan memori buruknya yang berkaitan dengan novel itu. Munir mahu semuanya yang berlaku dulu tinggal sebagai tidak lebih daripada hanya sebuah mimpi ngeri....
"Aaaarrrggghhhh!!!!"
Zack bangun dan meraba dadanya yang tidak berlapik. Basah. Begitu juga dengan wajah, tengkuk dan seluruh tubuhnya.
Mimpi ngeri...
Sesuatu yang walaupun sudah begitu sebati dengan diri Zack sejak akhir-akhir ini, namun ia tetap membuatkannya lembut lutut dan berpeluh sejuk. Tidak hairan. Siapa pun kalau disajikan dengan imej-imej sebegitu, tentu akan mempunyai reaksi yang sama. Takut. Berpeluh. Menjerit. Terjaga dari lena namun merasakan seperti mimpi tadi masih mengikutnya.
Zack mengerling pada jam loceng di sisi katil. Sudah pukul sembilan pagi. Mujur hari ni hari Ahad.
Zack bangun. Dia membuka pintu almari lalu mengeluarkan sebuah beg yang sederhana saiznya. Zack memeriksa sesuatu di dalam beg itu. Mencari sesuatu. Tak ada....
"Mungkin aku kena beli lebih kali ni. Just in case..." fikir Zack.
Lalu dia pun mandi dan bersiap-siap. Keluar dan terus menuju ke pusat bandar.
Zack berjalan tanpa arah di dalam sebuah medan membeli-belah. Bukan dia tak ada destinasi untuk ditujui. Memang ada. Cuma saja melambat-lambatkan.
Tatkala Zack merewang seperti sampan kosong tanpa pedoman itu, dia melewati sebuah kedai buku. Zack memerhati ke dalam melalui cermin kaca. Mengecilkan anak matanya pada bahagian atas sebuah rak yang sarat dengan warna-warna hitam dan merah.
Zack masuk. Mencapai dan membelek salah satu dari novel hitam bertulisan merah yang berderet itu. Jemarinya merasai tulisan pada kulit novel tersebut yang timbul. Hampir sama dengan sensasi yang Zack rasakan dulu, apabila dia mengusap darah keras yang bertempekan pada kulit novel itu yang asal.
Zack membuka novel tersebut untuk mengamati bahagian dalamnya pula. Dia mendekatkan novel itu ke hidungnya untuk mencium tulisan. Tak ada bau....
"Heheh..."
Zack tersenyum dalam ketawa ringannya. Tiba-tiba merasa lucu. Tak kurang juga merasa aneh apabila memegang novel itu. Macam sama. Tapi tidak. Ini versi yang lebih cantik dan sempurna. Tidak buruk dan menakutkan seperti yang asal.
Zack meletakkan semula novel itu di atas raknya. Sebelum beredar dia sempat melihat beberapa orang remaja yang membelek novel tersebut dengan teruja. Ada juga yang sudah mengambil untuk dibayar. Dalam hati Zack hanya berkata,
"Kalaulah kau orang tau asal-usul novel tu.... Tentu tak ingin nak beli."
Asal-usul.... Walaupun banyak perkara misteri yang menyelubungi novel itu, asal-usulnya adalah yang paling mengganggu Zack. Bukan kerana dia tidak tahu dari mana datangnya novel itu. Atau siapa yang menulisnya. Dan apa cetusannya. Tapi kerana dia tahulah, perkara itu telah memporak-perandakan hidupnya.
Zack menyambung pengembaraannya yang lohong. Yang diusahakan semata-mata untuk membunuh masa. Destinasinya memang sudah di depan mata. Tapi Zack terpaksa menunggu. Sekarang orang terlalu ramai.
bersambung
Bab akan datang:
Ke manakah sebenarnya destinasi Zack