SURAT-SURAT UNTUK KAHERAH - 6
Kami baru selesai perhimpunan pagi. Fahmi berlari-lari, cuba mendahului Hakimi Ridzuan yang tadinya beratur di baris paling hadapan. Setelah Hakimi dipintas, Fahmi menoleh ke belakang dan menjerit,

Ha! Ha! Kau kalah..aku menang. Jom kita lumba siapa sampai dulu. Fahmi terus berlari meninggalkan sahabatnya, Fansuri yang berjalan perlahan bersama pelajar lain. Hakimi murid sawo matang yang kepala lonjongnya dicukur botak. Hakimi berlari sekuat hati, mengejar Fahmi. Badan Hakimi agak berisi. Seluar biru tua yang dipakai mempunyai pinggang jenis cerut, supaya dia tidak perlu memakai tali pinggang. Punggungnya menampakkan dua bulatan yang ketara. Apabila Hakimi berlari, bulatan itu turun naik begitu hodoh.

Hakimi berlari mendapatkan Fahmi, sebaik sahaja tiba

di bangunan sekolah di kawasan padang, mereka berhenti. Mereka tunduk, menekan kedua-dua belah lutut dengan tangan sambil menghembus nafas yang kuat. Dalam termengah-mengah, mereka ketawa bersama.

Iskh, banjir la..! Jerit Jaafat, orang ketiga yang tiba di kaki lima bangunan. Bangunan separa kayu digenangi air setinggi buku lali.

Dari belakang, kedengaran jeritan Cikgu Asmadi. Ha, tanggal kasut, tanggal stokin. Tolong cikgu naikkan kerusi masing-masing ke atas meja. guru yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani Kesihatan bersuara dengan nada kuat, tetapi dialun lembut.

Masing-masing tunduk, menanggal kasut dan stoking. Kecuali Fong Lay Mon dan Jeffry Loh, pasangan sahabat yang berasal dari keluarga kaya. Mereka berundur menjauhi kawasan banjir, lalu berdiri dari jauh memerhatikan kami.

Aku meletakkan kasut Bata di perbatasan antara kaki lima dan jalan tar. Perlahan, kedua-dua belah kaki ku celup ke dalam air keruh yang mengapungkan daun-daun kecil. Kalau musim air pasang keling di kampungku, air akan naik setinggi betis. Waktu itu kampung kami bertukar menjadi kolam renang yang besar. Kolam renang bermusim di perkampungan setinggan itu pernah mengapungkan ketulan tahi. Di perkampungan setinggan, bilik air dibina di tebing sungai. Kayu dipacak tinggi di atas lumpur. Kepingan kayu dipaku sehingga menjadi dinding. Tidak semua bilik air mempunyai atap. Di sudut tepinya, kepingan kayu dibiarkan terdedah, menampakkan lumpur di bawah. Lantai yang lopong berfungsi sebagai sistem tandas. Najis akan langsung jatuh ke lumpur. Najis itu bertepek dengan lumpur kelabu yang lembik. Air sungai sesekali melimpah naik menyatukan kedua-duanya.

Air bah di kampungku lebih dalam lagi di kawasan berhampiran sungai. Daratan yang bertanah rendah menjadi tumpuan dan tarikan semasa air pasang melanda. Orangorang lelaki terutamanya belia akan melakukan aksi terjunan dari jeti. Aktiviti berenang menjadi semacam suatu pesta setiap hujung tahun. Sementara pesta berlangsung bagi anak-anak muda, kaum ibu di rumah berusaha meninggikan peti ais, mesin basuh dan mengangkat karpet. Anak-anak perempuan pula sibuk menceduk air keluar dari rumah.

Ayahku, pesara daripada Kementerian Kesihatan tidak membenarkan aku mandi air pasang. Oleh itu, sepupuku yang lebih tua akan membawa aku ke belakang rumah. Tugas kami adalah melepaskan tali yang ditambat pada bot kosong, tanpa enjin. Kami akan mencari pendayung dan melompat naik ke bot. Kemudian, berkayuh di sekitar rumah. Aku pernah hampir lemas, mujur dapat diselamatkan.

Pada hari biasa, bot itu terdampar di atas lumpur di longkang sungai. Talinya kami tambat pada pokok kayu bakau. Kami cuma dapat bermain dengan bot itu semasa banjir. Tahun kemudiannya, baru kami sedari bot itu telah hilang. Mungkin dihanyutkan ke hilir kali.

Ketika daratan dan sungai bersatu, tidak ada seorang pun penduduk kampung yang takut kemunculan buaya yang sering ku lihat berjemur di tebing sungai ketika tengahari, di waktu yang lain. Buaya-buaya itu juga penduduk asal di sini, cuma tidak berdaftar dengan ketua kampung. Ia bagai jiran kami. Dulu di kawasan daratan ini juga buaya berani naik. Ayah ada menceritakan sejarah pembinaan rumah kami. Di ruang tamu rumah, asalnya lubuk kecil berlumpur. Ayah terpaksa mengalih anak-anak buaya yang ada di situ untuk dipindahkan ke tebing sungai. Buaya di sini dihormati dan tidak diganggu.

Pernah tauke Cina menawarkan upah $150 untuk menangkap seekor buaya, tetapi tidak ada yang peduli. Mungkin juga tidak berani. Begitupun, penduduk kampung tidak pernah menyebut mengenai kegusaran mendiami kawasan persisiran sungai ini. Kawasan yang membangun di atas tanah rezab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Suatu malam, enjin bot Pak Samad hampir di curi orang. Pada masa itu rumah Mak Kiah sedang mengadakan kenduri. Di luar rumah, riuh-rendah nelayan menjerit memanggil nama Pak Samad, memberitahu tentang botnya yang dinaiki orang. Apabila ditempelak, pencuri itu kaget lalu menenggelamkan enjin bot ke dasar sungai tanpa sengaja, kemudian melarikan diri.

Enjin yang baru dibeli oleh ketua nelayan itu hilang dari belakang bot. Pak Samad dan dua nelayan lain terus turun ke bot, melompat dan menujah kepala ke dalam permukaan sungai. Enjin itu dinaikkan semula. Sejak itu, setiap hari dijadualkan nelayan untuk tidur berganti-ganti di jeti.

Itulah nelayan kampungku, tidak pernah mempersoalkan bahaya yang mungkin sahaja datang dari bujang senang yang menginap di dasar sungai. Buaya itu bukannya tidak pernah beraksi. Seorang pelajar lelaki Cina yang ponteng sekolah untuk memancing di bawah jambatan khabarnya pernah menjadi mangsa mamalia tidak berperasaan itu. Khabarnya juga, pelajar sekolah menengah itu bermulut celupar. Tub-tub dia yang dipancing buaya. Khabar itu aku tahu dari rakan sekolah dan guru yang mencebikkan bibir ketika aku menyebut nama kampungku.

Oh, kamu duduk di sebelah sungai buaya itu.

Aku mengangguk. Buaya bukanlah sesuatu yang asing, melainkan rakan-rakan bilik darjah atau cikguku tidak pernah melihat buaya. Ikan tembakul, biawak besar, air pasang, buaya, monyet, belangkas, labu-labi dan ikan adalah permandangan biasa kampung kami.

Anne pernah membangkitkan hal sama di hadapanku,

Aku cakap dengan daddy aku yang kau tinggal di kampung itu. Daddy aku kata, kau tinggal di sungai buaya. Betulkah begitu.

Aku angguk. Lantas diam. Tidak ada apa yang menarik untuk ku ceritakan mengenai buaya itu. Kalaupun ada mitos mengenai buaya putih, buaya albino itu tidak pernah menunjukkan diri. Orang kata buaya putih itu boleh menjelma dan cuma duduk diam di dasar sungai. Dongeng itu akhirnya tenggelam kerana tidak mampu membuktikan apa-apa insiden.

Aku lebih suka sejarah kampungku. Yang menarik mi-

nat kanak-kanak seperti kami adalah kisah hantu Jepun. Di awal pembukaan kampung, setiap senja orang kampung akan menyaksikan roh askar-askar genit berbaris di jalan berhampiran jambatan gantung. Masing-masing berjalan teratur memikul alat tajam seperti pedang dan benet. Benet yang dahulu pernah digunakan untuk menempiaskan benci kepada orang Cina. Kaedah yang paling digemari oleh tentera Jepun adalah melambung tubuh orang Cina, lalu dihunus benet itu dari bawah sehingga menembusi perut. Ada juga orang Cina yang dijemur di bawah terik matahari lalu dipam air sabun ke mulut sehingga kembung perutnya dan orang Cina itu mati. Kisah itu dirakamkan datukku, yang ku panggil wak.

Wak bercerita sambil tangannya melurut daun nipah untuk dibuat rokok daun. Daun dipotong lalu digulung nipis. Di dalam gulungan itu disumbat tembakau ala kadar. Ketika itu wak berusia lapan puluh tahun. Badannya susut sehingga menampakkan tulang rusuk. Hidung mancungnya diapit sepasang mata yang bersinar, sisa wajah mudanya. Wak mengepit rokok daun di celahan bibir, tuturnya sepatah-sepatah. Kami yang mendengar terlongo, menunggu cerita habis.

Wak menceritakan, orang kampung ada yang tergantung tiga hari tiga malam dalam keadaan kepala ke bawah dan kaki terikat di atas. Wak sendiri pernah kecut perut didekati ajal apabila diikat pada palang kayu. Badannya dihiris-hiris supaya luka dan seorang tentera Jepun membubuh garam pada luka itu. Ibuku pula dipaksa mengunyah sireh oleh wak, supaya dari bibirnya mengalir air pahit itu sehingga membasahi baju dan giginya bertukar merah hodoh. Wak kata, orang Jepun geli melihat perempuan yang makan sireh. Oleh itu, petua tersebut digunakan untuk mengelak dari dirogol tentera Jepun. Aku mencebik geli. Geli mengingatkan air lelehan sireh dan bertambah geli membayangkan wajah syahwat tentera Jepun. Kini tentera Konan Ajia yang zalim itu tinggal roh. Ada yang tiada kepala, ada yang kehilangan tangan. Tragedi hidup bersama tentera yang dipercayai dari Manchuria itu semakin hari semakin terkubur bersama tenggelamnya pusara tentera Jepun di hutan pinggir sungai kampung kami. Aku yakin kebenaran kisah hantu Jepun itu kerana ia disaksikan oleh penduduk kampung yang boleh dipercayai. Mereka terus tinggal di situ walaupun perlu melalui pelbagai kisah seram.

Asalnya, kampung itu hutan tebal. Untuk berhubung dengan pekan, biasanya kalau tidak melalui jalan sungai untuk ke bandar, mereka terpaksa melalui jalan hutan di kanan kampung atau jambatan gantung di kiri kampung. Jambatan itu kecil dan panjang. Landasan pemijaknya adalah kepingan-kepingan kayu yang uzur. Sesetengah darinya terlopong, mungkin terjatuh ke bawah lalu menghuni dasar sungai bersama buaya-buaya besar itu.

Biasanya penduduk kampung melalui jalan hutan sebelah kanan. Berbeza dengan orang Kuala yang akan terus memintas daratan menggunakan jalan air. Jambatan gantung di sebelah kiri pula digunakan oleh orang-orang Cina yang mendiami tanah seberang sungai. Aku cuma mengingati seorang apek tua yang menjadikan jambatan gantung itu jalan utamanya. Setiap hari dia memakai baju yang sama. Baju coklat tua, seluar panjang hitam dan topi kain yang telah lusuh. Dia akan turun dari basikal tua dan menyorong basikal itu perlahan-lahan di atas permukaan kayu sehingga ke penghujung jambatan. Apek itu kurus melidi, wajahnya cengkung dan tidak pernah menegur kami. Pasti dia telah meninggal dunia sekarang kerana waktu itupun usianya tua benar.

Orang Cina yang menegur kami cuma lelaki berusia sekitar empat puluhan yang kami panggil Kulup. Kami akan bersorak setiap kali dia datang, kerana kerjanya penggutip barang. Di tempat duduk belakang basikalnya diletakkan bakul rotan besar. Bakul seperti itu biasanya tempat ayahku mengisi buah durian. Bakul basikalnya akan sentiasa dipenuhi barang seperti permainan dan botol-botol.

Yea..yea..kolop datang..kolop datang. Kolop bodoh. Kolop gila. Jerit Zaki, anak Pak Samad. Jeritan itu disambut budak-budak lelaki lain.

Kolop, bagi barang mainan kau tu pada kami. Amat menyentap bakul rotan Kulup.

Kami mengejar basikal Kulup yang dibonceng perlahan. Kolop yang selekeh dan busuk itu tidak pernah marah. Cuma sekali itu dia turun dari basikal. Melebarkan senyuman dan memandang tepat ke arahku,

Follow me..follow me. Ucap Kulup sambil menggapai-gapaikan tangan.

Follow me... Ucap Kulup lagi, lembut. Aku diam sahaja kerana aku tidak pasti makna perkataan itu, waktu itu aku paling kecil di antara kawan-kawan sekampung yang lain.

Folo mi tu jenama syampu Bisikku ke Marlia, gadis yang empat tahun lebih tua daripadaku.

Follow me tu maksudnya dia kata kau comel. Ujar Marlia sambil mengenyitkan mata ke memandang Zaki. Mereka ketawa sambil menujahkan tubuhku ke arah Kulup. Aku tahu mereka tipu. Bebola mata Marlia nampak tidak jujur. Marlia mendekatkan mulutnya ke telingaku,

Kau balik jumpa mak kau, cakap kau nak ikut Kolop.

Pergilah!.

Aku menggaru kepala.

Kulup senyum, menginjakkan tubuh ke tempat duduk basikal dan berlalu pergi. Sejak itu kami tidak melihat Kulup lagi. Ibu kata, Kulup mati ditembak polis ketika dia sendirian di bangunan tinggal tempat dia berteduh. Sebabnya aku tidak tahu.

Kampung nelayan yang ku diami separuh daripadanya dihuni orang-orang Kuala. Orang Kuala tergolong di dalam kumpulan Melayu Proto. Cabang daripada etnik Orang Asli. Tetapi mereka bertutur penuh dalam bahasa Melayu dan semua orang Kuala beragama Islam. Berbeza dari Orang Asli lain, Orang Kuala bukanlah mualaf. Sebaliknya mereka beragama Islam sejak zaman nenek moyang lagi. Oleh itu mereka lebih selesa diasingkan daripada kelompok Orang Asli dan dirujuk sama ada sebagai Orang Melayu Kuala, Orang Laut atau Orang Duanu.

Orang Kuala bermastautin di Johor sejak dahulu lagi selepas berlayar mengikuti Panglima Jawa, Pandji Asmoro. Tanah asal mereka adalah di Kepulauan Riau-Lingga, Sumatera. Di awal kehadiran, mereka hidup secara nomad dalam perahu besar di atas air. Kini mereka telah mendiami kawasan persisiran sungai dan laut seperti di kampung ini.

Walau pun rata-rata orang Kuala di daerah ini menetap di Pontian Besar, orang Kuala di kampungku pula kebanyakannya mempunyai pertalian darah dengan orang kuala di Rengit, Batu Pahat. Berbeza dengan saudara mereka di sana yang mencari pendapatan dengan membaik pulih barangan terpakai dari Singapura, orang kuala di kampungku lebih berusaha untuk menjadi nelayan yang berjaya. Kini, kedua-dua jenis pendapatan ini ku perhatikan meletakkan Orang Kuala berdikari dari sudut ekonomi. Malah, oleh kerana daya fikir mereka sama seperti orang Melayu, mereka turut membangun dari aspek pendidikan. Zaki, anak Pak Samad tahun kemudiannya tamat darjah khas dengan pangkat satu. Adik beradiknya ramai askar. Pirul anak abang Ajak, pengawas paling muda di sekolah dan akademiknya juga cemerlang. Kebanyakan jejaka hitam manis itu kacak dan berkahwin dengan orang Melayu biasa apabila dewasa. Aku jangkakan, suatu hari nanti etnik ini akan hilang kerana bersatu dengan orang Melayu.

Kesan daripada tinggal sekampung dengan orang Kuala menjadikan aku memiliki perasaan jengkel berhadapan dengan remaja yang mewarnakan rambut. Mereka seolaholah meniru, warna rambut semulajadi etnik orang asli di kampungku. Aku menyimpan tekad, ketika aku dewasa nanti, mewarnakan rambut tidak sekali!

Fahmi menujahkan sampan kertas ke betisku, mematikan lamunan terhadap banjir, buaya dan Orang Kuala di kampung.

Ei, tepilah..kapal nak lalu ni. Fahmi menyondolnyondolkan muncung sampan kertas di tempat aku berdiri. Sampan itu mempunyai lipatan panjang di tengahtengahnya yang dianggap sebagai kain layar. Ia salah satu produk yang boleh dicipta daripada helaian kertas yang dikoyakkan dari buku tulis sekolah. Sampan kertas adalah produk seni yang paling kerap dihasilkan oleh murid sekolah rendah berbanding origami dan kapal terbang kertas, mungkin kerana faktor bilik darjah yang selalu banjir.

Setelah mengangkat kerusi masing-masing untuk diletakkan di atas meja, aku meninggalkan bilik darjah, meredah banjir dan kembali menyarung kasut Bata. Wafa Thahirah memparkir kasutnya tidak jauh dariku. Kasut kecil itu aku angkat, lalu ku rendam ke dalam air. Kasut putih itu tenggelam di kaki lima bangunan.

Saya tolong basuh. Bisik hatiku. Aku tidak pasti apa perasaannya apabila dia kembali. Malah aku tidak pernah terdetik untuk memikirkannya.

Kami berpindah sementara ke bangunan di kawasan yang lebih tinggi. Mata pelajaran seterusnya diteruskan di dataran tempat sama kami melakukan aktiviti perhimpunan pagi.

Beres, sekurang-kurangnya bukan di bilik muzik!