FILSUF UNTUK NOOB - 6
Aristotle selalu digambarkan oleh sejarawan sebagai seorang yang menentang atau mengkritik doktrin Plato dan pertentangan Aristotle-Plato kadang-kadang diperbesarkan oleh sesetengah penulis. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa Aristotle berguru dengan Plato selama lebih kurang 20 tahun dan dalam ketika itu dia menganggap Plato bukan sahaja sebagai guru tetapi juga sebagai sahabat.

Aristotle bukanlah seorang warga Athens, seperti Plato. Dia lahir di Stageira, sebuah bandar di Macedonia. Ayahnya, Nichomachus merupakan seorang doktor kepada raja Macedonia ketika itu. Aristotle mula belajar di Akademi Plato pada umur 17 tahun dan seperti yang sudah dikatakan, hanya meninggalkan Akademi selepas kematian Plato, 20 tahun kemudian.

Pekerjaan ayahnya banyak mempengaruhi falsafah Aristotle dan memang amat jelas pengaruh biologi dalam falsafahnya (manakala Falsafah Plato lebih menjurus kepada teori matematik). Dan selain bidang falsafah, Aristotle juga boleh dikatakan sebagai seorang ahli biologi/botani (ahli sains semulajadi) dimana dia telah mengkaji dan mengklasifikasikan pelbagai organisme-organisme. Aristotle juga selama beberapa tahun menjadi guru kepada putera raja Macedonia yang berumur 13 tahun, di mana kemudiannya putera ini menjadi seorang pemerintah hebat, dikenali sebagai Alexander the Great. Aristotle kemudiannya kembali ke Athens dan menubuhkan sebuah lagi sekolah, yang dinamakan Lyceum ( kalau kau nak tau, sekolah menengah di Perancis atau negara-negara yang dibawah pengaruh atau pernah dijajah Perancis dipanggil Lycee, dari perkataan Lyceum ). Di sini, seperti juga di Akademi, bukan hanya bidang falsafah yang diajarkan, tetapi juga sejarah, sivik, biology, sastera, retorik dan puisi.

Karya-karya yang dihasilkan oleh Aristotle sangat banyak sekali dan meliputi banyak bidang dan untungnya, tidak seperti Plato, ceramah-ceramah Aristotle ditulis dan masih boleh didapati. Cuma, masih banyak lagi tulisan Aristotle hilang, belum ditemui.

Teori Bahan (Substance) dan ciri (properties)

Aristotle tidak bersetuju dengan Teori Idea yang diusulkan oleh Plato. Aristotle berpendapat bahawa Plato meletakkan Idea di suatu tempat yang lain, independen, terpisah dari bahan-bahan atau objek-objek yang boleh didapati di dunia ini. Aristotle juga tidak bersetuju dengan pendapat Plato yang mana bagi Plato, ilmu pengetahuan yang menggunakan panca indera adalah tidak sempurna, hanya dengan menggunakan akal dan proses penaakulan untuk menggapai konsep Idea adalah pengetahuan yang sempurna. Aristotle lebih menjurus kepada penggunaan pemerhatian menggunakan panca indera empirikal untuk merangka falsafahnya. Aristotle mengusulkan satu terma yang dipanggil bahan(Being).

Bahan ini lah yang wujud dan inilah arkhe yang dicari, dan tidak seperti Idea, ianya menetap dalam sesuatu bahan itu sendiri, didapati dalam semua objek yang kita boleh kesan melalui panca indera. Maka disini, Aristotle meletakkan hak kepada panca indera, dan dari segi ini, Aristotle boleh dipanggil seorang empirikal. Setiap bahan mempunyai sifat-sifat. Bahan merupakan sesuatu yang wujud tanpa perlu bergantung kepada benda lain, terma lain ialah kewujudan yang indepen. Manakala sifat-sifat adalah kewujudan yang diperolehi dari benda lain, iaitu bahan. Dalam erti kata lain, sifat-sifat hanya wujud kerana adanya bahan. Sifat-sifat dipanggil aksiden kepada bahan, manakala bahan pula adalah perlu (essential).

Sebab aku seorang yang mempunyai perasaan empati yang tinggi, aku tahu ada diantara kau yang kurang jelas (yang sebenarnya juga hasil daripada penjelasan aku yang tidak jelas). Maka mari aku bagi kau contoh yang mungkin boleh memudahkan penjelasan sebelumnya.

Disebelah kiri aku ada sebiji cawan. Cawan ini berwarna biru. Cawan ini juga keras dan agak rendah. Kalau aku angkat cawan ini, bolehla dikatakan ringan. Jadi dalam contoh yang aku bagi, cawan merupakan bahan. Biru merupakan sifat cawan. Keras dan agak rendah juga merupakan sifat-sifat cawan. Begitu juga ringan. Jadi di sini, cawan mempunyai bahan dan kita boleh aplikasikan sifat-sifat seperti kekerasan (tekstur), ketinggian, dan berat. Tekstur, ketinggian dan berat tidak dapat wujud kalau tiadanya cawan itu di tempatnya. Maka, tekstur, ketinggian dan berat kita panggil kewujudan yang diperolehi dari (derived from) cawan, kewujudan yang independen.

Untuk lebih jelas lagi, seperti aku sendiri. Aku adalah manusia. Namun aku punya ciri-ciri seperti berkulit gelap, rendah, ramping, dan cantik. Aku dalam contoh ini adalah bahan; gelap,rendah,ramping dan cantik adalah sifat-sifat. Dan sifat-sifat tidak mungkin wujud kalau tiadanya aku pada awalnya. Sebab kalau aku cakap, Cantik, Gelap, Ramping kau masih tidak akan dapat faham aku sedang bercakap tentang apa sebenarnya. Hanya bila aku cakap Aku yang cantik, gelap dan ramping baru kau akan dapat satu imej dalam otak kau mengenai aku iaitu seorang manusia yang cantik, gelap dan, ramping.

Aristotle berpendapat bahawa bahan-bahan ini, yang kita boleh kesan melalui panca indera benar-benar wujud. Namun dia tidaklah menolak tepi kepentingan berfikiran rasional ataupun proses penaakulan. Walaupun bahan adalah sesuatu yang kita benar-benar nampak, dengan menggunakan akal, kita boleh melakukan abstraksi untuk mendapat tahu sesuatu yang lebih universal. Sebagai contoh, jika kau dapat melihat aku, kau akan nampak semua ciri-ciri yang aku ada, dan kau ada ilmu pengetahuan mengenai aku. Namun, kalau kau buat abstraksi menggunakan imej aku dalam otak kau ,lalu dapat lah konsep manusia yang universal, konsep Manusia sebagai manusia, yang bukan aku, bukan kau, bukan mak kau, dan bukan guru kau. Sama juga seperti cawan, beribu jenis cawan yang kau pernah lihat, tetapi melalui proses abstraksi,akan lahirlah konsep cawan yang tidak seperti cawan-cawan yang kau pernah lihat, tiada ciri-ciri spesifik tapi ini adalah cawan yang Universal, dimana jika disebut perkataan cawan kepada manusia yang berasal dari tempat lain, dia akan ada konsep cawan Universal ini dalam mindanya. Dan konsep universal inilah yang memboleh kan dia yang merantau dari tempat asalnya ke tempat kau, apabila meminta cawan( kita andaikan dia boleh berbahasa Melayu, kau dapat terus faham apa yang dia mahukan).

Jadi untuk Aristotle, walaupun ilmu pengetahuan yang didapati dari panca indera adalah benda-benda yang wujud secara independen, namun ilmu pengetahuan yang lebih unggul adalah ilmu mengenai yang Universal, iaitu zat (essence) setiap bahan. Dan ini boleh dilakukan dengan menggunakan akal.

Teori Kausaliti, Potensi dan Aktualiti

Aristotle juga percaya bahawa setiap benda mempunya kausa (asbab). Kenapa cawan aku tetiba bergerak ke atas Sebab aku yang angkatkan cawan. Jadi, kausa kepada cawan itu bergerak adalah aku. Akulah penggerak kepada cawan. Aristotle percaya bahawa kita boleh asbabkan setiap benda yang berlaku kepada penggerak dan kemudian asbabkan lagi kepada penggerak sebelumnya sehinggalah kita sampai kepada penggerak yang pertama.

Penggerak yang pertama ini diberi terma Penggerak Utama ataupun transliterasi dari bahasa Yunani adalah Yang menggerakkan sesuatu tanpa dirinya digerakkan. Aristotle juga mengusulkan konsep potensi dan aktualiti. Setiap bahan mempunyai potensi iaitu keupayaan. Dan setiap potensi boleh dikembangkan untuk menjadi aktual, yakni nyata. Aristotle selaku seorang ahli sains semulajadi (biologi) mengkelaskan sekalian mahkluk dan bahan-bahan yang ada dalam suatu hierarki dari potensi yang tulen kepada aktualiti yang tulen.

Bahan-bahan seperti batu, debu, dan tanah (bahan bukan organik) tidak dapat bergerak dengan sendiri maka mereka mempunyai lebih banyak potensi dari aktualiti. Potensi tulen maksudnya sesuatu yang hanya mempunyai kemampuan tetapi tidak dizahirkan seperti jirim tulen. Tumbuhan dalam bentuk biji benih mempunyai lebih banyak potensi (keupayaan) dan apabila biji benih ini bercambah dan membesar menjadi pokok, maka aktualiti itu dizahirkan. Manusia punyai potensi tetapi pada masa yang sama manusia juga boleh berbuat perkara dengan sendiri maka lebih banyak potensi manusia dizahirkan menjadi kenyataan/aktualiti. Aristotle mewujudkan sesuatu yang mempunyai aktualiti tulen dan tidak bergerak, tidak berubah dan sentiasa merealisasikan potensi menjadi aktual (nyata), maka bersifat kekal. Ini bagi Aristotle adalah Penggerak Utama , suatu kewujudan semacam Tuhan. Semua bahan-bahan yang mempunyai potensi semuanya ingin merealisasikan ia menjadi aktualiti, dan semua akan berubah dan Aristotle menafsirkan ini sebagai semua bahan ingin mencapai kepada aktualiti tulen, yakni Tuhan. Disini kita boleh lihat doktrin menuju kepada teologi yang dikembangkan Aristotle dan sisi ini lah yang akan diambil dan diolah dengan lebih terperinci lagi oleh ahli falsafah dan agamawan dari ketiga-tiga agama semitik, iaitu Judaisme, Kristian dan Islam. Perbincangan mengenai Being, Potensi ,Aktualiti, Asbab, Penggerak, Masa dan teori abstrak lain diletakkan dalam cabang Metafizik. Perkataan Metafizik diambil dari perkataan Yunani, ta meta ta fizika iatu sesuatu selepas/di luar fizik. Nama ini diberi oleh pelajar Aristotle yang menyunting kompendium buku Aristotle yang terdiri dari 14 buku yang membicarakan perkara-perkara abstrak. Nama ini diberikan kerana selalunya pelajar akan mempelajari ilmu fizik dahulu barulah pergi kepada perkara-perkara metafizik.

Logik dan Silogisme

Logik merupakan satu cabang ilmu yang fokus kepada struktur-struktur bahasa tertentu untuk menguatkan hujah. Aristotle mereka satu struktur logik yang dinamakan silogisme dalam usaha untuk membuktikan sesuatu hujah. Silogisme membolehkan ahli-ahli falsafah membuat deduksi untuk sampai kepada rumusan yang diperoleh dari dua premis (atau lebih). Impak dari silogisme Aristotle ini boleh dilihat dalam karya ahli falsafah pada zaman Medieval baik dari tradisi Islam, Kristian mahupun Yahudi. Lebih banyak lagi yang boleh diperkatakan tentang logik (yang sebenarnya satu lagi cabang ilmu falsafah) tetapi cukuplah disini untuk memberi satu contoh sahaja yang diambil sendiri dari karya Aristotle.

Premis 1 : Semua manusia adalah mortal .

Premis 2 : Sokrates adalah seorang manusia.

Konklusi : Sokrates adalah mortal.

Aristotle menulis dalam begitu banyak bidang, seperti etika, fizik, sains semulajadi, kosmologi, pedagogi, politik, dan lain-lain. Antara karya-karya yang popular dari Aristotle iaitu kumpulan syarahan yang dinamakan Metafizika, Organon (mengenai logika dan hujah), Etika Nicomachean (mengenai politik dan etika), dan De Anima (mengenai psikologi dan biologi).

Pasca Aristotle dan Plato

Tulisan-tulisan Aristotle amat popular dan dijadikan bacaan wajib untuk sekolah-sekolah di zaman Helenistik dan kemudiannya Tamadun Rom, serta selepas kedatangan agama Kristian, di sekolah-sekolah agama rakyat (monasteri Kristian di Eropah, Afrika Utara dan Timur Tengah, bukan yang dekat Malaysia tu).

Terdapat tiga golongan falsafah yang perlu disebut disini, secara ringkas, yang meneruskan tradisi Plato dan Aristotle. Yang pertama adalah golongan yang dipanggil Epikurean, yang merupakan pengikut kepada Epikurus (341 270 SM), seorang ahli falsafah yang membuka akademi falsafah sendiri. Secara ringkasnya, sekolah ini berfahaman bahawa perkara bagus yang wujud hanyalah keseronokan, dan keseronokan akan membawa kepada hidup yang gembira dan bermakna, akan tetapi, keseronokan yang berlebihan akan membawa kepada kesakitan. Jadi untuk memperoleh keseronokan yang maksima, keseronokan perlu dikawal dan dimoderasi. Epicurus merasakan ilmu seperti matematik dan sains tidak berguna kerana ianya tidak membawa kepada hidup yang bahagia (aku rasa kalau didedahkan kepada pelajar sekolah menengah ramai yang akan menganuti fahaman ini).

Seterusnya adalah golongan yang dipanggil golongan Stoik. Golongan ini lebih dekat kepada falsafah Sokrates dan Plato, di mana kehidupan yang baik bukan tertakluk kepada kebaikan luaran. Pengasas bagi falsafah ini ialah Zeno (490 430 SM), dan Zeno amat mengagumi Sokrates. Bagi falsafah ini, kehidupan yang baik dan yang akan membawa kepada kegembiraan adalah kehidupan yang mulia, dan kemuliaan bagi mereka adalah mempunyai ilmu pengetahuan yang betul. Hidup mulia adalah hidup apabila kita menggunakan akal dengan betul untuk mengenal Tuhan. Konsep takdir juga memainkan peranan penting bagi falsafah ini, dimana seseorang perlu menerima takdirnya. Tuhan telah menciptakan alam dengan sesempurna mungkin dan manusia hanya perlu hidup harmoni dengan aturan/takdir ini.

Golongan terakhir yang kita akan lihat secara ringkas ialah golongan yang dipanggil Neoplatonisme. Tokoh penting bagi falsafah ini ialah Plotinus (204 270 SM). Plotinus berasal dari Lycopolis, Mesir dan pada waktu itu, Mesir mempunyai agama mereka sendiri, dan mereka mempunyai konsep mengenai sesuatu yang lebih tinggi dari manusia, iaitu Tuhan. Jadi, tidak hairan lah, pemikiran Plotinus dicorak dengan konsep ketuhanan dan ini turut menjadikan Neoplatonisme sebagai falsafah yang paling hampir dengan agama monoteism (agama yang percaya kepada Tuhan yang Esa). Plotinus merupakan tokoh penting dalam falsafah khususnya kepada tradisi agama Kristian dan Islam, kerana Plotinus banyak menulis komentar terhadap pemikiran Aristotle, walaupun Plotinus merupakan seorang Platonis (pengikut kepada Plato). Plotinus cuba untuk menyatukan dan mementingkan titik persamaan antara Plato dan Aristotle walaupun antara kedua tokoh besar Yunani ini terdapat perbalahan falsafah yang agak penting sekali. Doktrin penting bagi falsafah ini ialah doktrin Yang Esa ataupun juga dipanggil Yang Baik. Yang Esa bukanlah sesuatu, tetapi dia yang melangkaui sesuatu dan tidak mampu dijelaskan. Manusia tidak mempunyai ilmu mengenainya. Manusia dengan menggunakan akal, dapat menghampiri untuk memahami konsep ini tetapi mustahil dapat memahaminya dengan sepenuhnya. Yang Esa ini asbab/kausa kepada segala-galanya. Ini merupakan Doktrin Emanasi Plotinus, iaitu Yang Esa menerbitkan (seperti cahaya) untuk menghasilkan dua benda yang disebut Nous dan Roh Dunia, dan seterusnya menerbitkan Dunia Fenomena. Inilah yang dipanggil sebagai Panteisme, fahaman dimana Tuhan tidaklah terpisah dari Alam semesta, alam semesta adalah emanasi dari Tuhan, dan sekaligus meletakkan manusia juga merupakan sebagai ekstensi kepada emanasi dari Tuhan.

Mereka melihat badan manusia sebagai sangkar kepada roh manusia. Roh manusia dibuat dari sesuatu yang suci dan sentiasa ingin kembali dan bersatu dengan Yang Esa namun dihalang oleh badan yang sentiasa mempunyai nafsu yang membawa kepada perkara yang tidak elok. Doktrin ini mempercayai bahawa manusia perlu bersatu dengan yang menghasilkan mereka. Falsafah ini kemudian banyak mempengaruhi tokoh islam baik yang agamawan ataupun ahli falsafah (Al Kindi,Farabi), termasuk juga tokoh-tokoh sufi(Suhrawardi, Ibnu Arabi). Ilmuwan Islam, dan juga Kristian serta Yahudi mengadaptasikan falsafah ini supaya sesuai dengan fahaman agama mereka.

Sumber Primer:

1. Metapysics Book Alfa dan Metaphysics Book Gamma karya Aristotle

Sumber Sekunder ( rujuk Bab 2)