PERSEPSI TERBIAR SEPI - 6
SAYA amat bersenang hati untuk kongsikan perkara ini. Tentang orang-orang yang pernah saya perhatikan gerak langkah mereka. Mereka ini berjuang mencapai matlamat dengan jalan yang berbeza. Jalan yang tak ramai orang rasa ada keistimewaannya yang tersendiri. Terpencil pada mata manusia, tetapi dijaga oleh Allah. Mereka adalah golongan yang suka bergerak sendirian atau lebih dikenali sebagai lone ranger.

Mengambil iktibar daripada pengalaman hidup orang lain boleh menumbuhkan keyakinan kita untuk melalui jalan yang sama. Malah lebih baik daripadanya. Kalau mereka boleh, kenapa kita enggan Terlalu beralasan akan menjadikan kejayaan terhalang sedari permulaan.

Ada seorang gadis yang saya perhatikan dalam diam. Dalam masa setahun, sempat saya lihat pergerakan dia di sebuah IPTA sebelum dia tamat belajar. Biasa ternampak dia selalu bergerak sendiri, kurang berseronok-seronok, tak duduk berkelompok.

Nampak ada perkara yang dia kejarkan untuk dicapai tanpa peduli cemuhan orang-orang yang iri hati. Sebab memang saya sendiri pernah dengar ada mulut-mulut belakang yang merungut tentang gerak langkahnya. Berbisik-bisik tentang keperibadiannya. Jadi mangsa umpatan.

Tetapi kerana gadis itu lebih tahu apa yang dia tuju, saya hanya mendengar dan kadang-kadang tersenyum sendirian. Sebab saya sendiri lebih kurang sama di tempatnya. Semenjak zaman sekolah lagi sampailah ke IPTA. Bergerak sendirian lebih membuat saya selesa dan urusan saya terasa mudah untuk segera diselesaikan. Orang-orang mengumpat dan meletak persepsi yang pelbagai, untuk apa saya peduli kalau semua itu tak mendorong saya untuk berpotensi Sedangkan racun lisan selalu menjadi pembunuh utama sebuah semangat.

Maha baiknya Allah, akhirnya saya berpeluang bertemu dan berbual dengan gadis tersebut setelah beberapa bulan dia tamat belajar. Macam-macam peristiwa zaman belajarnya diceritakan kepada saya. Ragam rakan sekelas, pensyarah dan segala tugastugasan yang menjadikannya tak sempat untuk peduli hal-hal yang remeh. Sampailah dia menjawab persoalan saya tentang apa yang dia peroleh dan dapat capai setelah lalui semua itu.

Pertama, sebelum majlis konvokesyen dia telah pun mendapat tempat dalam dunia pekerjaan. Rezeki dia untuk mendapatkan kerjaya lebih awal setelah tamat sahaja sesi pembelajarannya. Kedua, pinjaman PTPTN dia terus bersih, tak perlu bayar sebab dia berjaya mendapat kelas pertama. Ditukar menjadi biasiswa sepenuhnya. Ketiga, bila tibanya majlis konvokesyen, dia mengambil cuti kerja sedangkan rakan-rakan yang lain hanya tersenyum cuti menganggur.

Dalam majlis konvokesyen itu jugalah dia menerima dua anugerah sebagai tokoh mahasiswa. Pertama, Hadiah Salleh Ibrahim dan kedua, Hadiah Syed Kechik. Tesisnya dipilih sebagai tesis yang terbaik. Memang benar pun, sebab sehinggakan batch saya juga masih berterusan para pelajar merujuk tesisnya.

Nampak dia berseorangan, tapi diramaikan dengan pembelaan daripada Tuhan. Kelompok tak selamanya menjanjikan peduli. Bila kita bersangka baik dengan Allah, betapa kita harus tahu malu untuk bersangka buruk pada makhluk yang menghargai ujian hidup.