TRAVELOG FAGHUZI - 6
Jakarta, Indonesia

Do they not travel through the land, so that their hearts (and mind) may thus learn wisdom and their ears may thus learn Truly it is not their eyes that are blind, but their hearts, which are within the bosoms,

that grow blind.

- Al Hajj 22:46

Pagi 16 Disember, sekali lagi aku bangun awal sebelum alarm berbunyi. Aku sudah dapat biasakan diri dengan suasana baru. Kalau mak bapak aku ada pasti mereka terkejut dengan prestasi aku. Hari ini kami akan bertolak ke Bandung. Pagi ini juga kelihatan lebih ramai wajah-wajah baru orang bule (orang putih dialek Indonesia) yang sedang bersarapan. Tiada lagi kelibat Stefan.

Usai bersarapan serta check-out di kaunter receptionist, Haeri kembali ke bilik untuk mengemas barang. Aku melepak di ruangan tengah. Kami akan keluar dari premis ini pada jam 2 petang nanti. Aku tak perlu kemas apa memandangkan tak keluarkan segala macam benda dari backpack. Maka aku bersantai menghisap rokok sahaja.

Ketika ini matahari sudah tegak di atas kepala. Mujur meja yang aku lepak ini masih terlindung di balik teduhan bumbung. Namun orang bule yang lain masih kekal di meja masing-masing. Mungkin mereka memang suka berjemur. Sinaran matahari itu bagaikan sesuatu yang indah mengenai kulit putih mereka yang bertukar menjadi kemerah-merahan.

Sedang aku duduk termenung itu, aku disapa oleh seorang gadis bule. Is this seat occupied tanyanya merujuk kerusi di depan aku. Mungkin kerana aku seorang dan meja-meja yang lain sudah dipenuhi orang, dia bertanya kepada aku. No, you can have a seat. Do you mind that I am smoking aku membalas dengan bersopan. I dont mind, balasnya tersenyum.

Bila jumpa orang baru, seperti biasalah perbualan pertama adalah perbualan tipikal. Gadis itu bernama Sabrina Siebenstein. Berasal dari Frankfurt, Jerman. Rambut bewarna kuning keemasan. Mengembara untuk tempoh 6 bulan ke seluruh ceruk Asia Tenggara dan ini merupakan hari terakhirnya. Seperti aku juga, dia mengembara setelah menamatkan pengajian dalam jurusan pilihannya. Sambil itu, dia bangun memasak mi segera. Dapur hanya terletak bersebelahan meja kami. Haeri keluar dan lepak bersama juga. Masing-masing juga memperkenalkan diri.

Sabrina juga akan bertolak pulang ke Frankfurt pada petang ini. Sambil memasak dia berkongsi pengalamannya bersama kami tentang pengembaraannya yang sampai ke Kalimantan. Pengalamannya duduk bersama dengan keluarga Dayak di pedalaman hutan Kalimantan. Diceritakan yang dia duduk di dalam bot sahaja bersama keluarga Dayak terbabit. Sabrina yang juga seorang vegetarian berkata dia terpaksa mengorbankan dietnya bagi menghormati keluarga Dayak yang telah menyediakan makanan tradisi berupa babi panggang. Selama seminggu dia bersama keluarga Dayak. Walaupun berbeza bahasa, ia tak menghalang mereka berhubung. Bahasa isyarat digunakan untuk berkomunikasi, malah Sabrina berasa itu satu pengalaman berharga buatnya. Pada masa yang sama juga dia menyatakan kebimbangannya terhadap kualiti air sungai yang menjadi sumber air buat keluarga Dayak di kawasan itu. Air sungai itu dicemari merkuri yang merbahaya. Dia graduan jurusan pengurusan dan pengajian air, maka tidak peliklah dia tahu serba-sedikit tentang air yang tercemar. Di sini aku melihat dia mementingkan nilai kemanusiaan tanpa mengira bangsa dan agama. Beberapa gambar juga ditunjukkan kepada kami.

Are you guys Muslim tanya Sabrina. Kami mengangguk.

You balas Haeri mudah.

I am Protestant, Sabrina menjawab.

Actually, what is the differences between Catholic and Protestant aku bertanya pula. Memang selama ini teringin juga nak tahu apa perbezaan antara dua mazhab Kristian ini. Malah dua mazhab ini juga mempunyai konflik di antara satu sama lain di sesetengah tempat seperti di Ireland. Malah api permusuhan mazhab ini juga melarat sehingga melibatkan dua kelab gergasi bolasepak Scotland, Glasgow Celtic dan Glasgow Rangers. Daripada apa aku baca ada kaitan dengan dua mazhab ini. Permusuhan mazhab ini tak ubah seperti perbalahan Islam Sunni dan juga Islam Syiah. Hmm... from my view, not much differences. I think, it just us, Protestant, when we go to the church, we usually sing and dance while saying our pray. Meanwhile, the Catholic just read the pray more formally and we are more casually. Begitulah serba sedikit penjelasan dari pandangan Sabrina. Mungkin betul, mungkin tidak tapi siapa aku nak menghakimi kebenarannya. Dia yang beragama tersebut dan bukannya aku. Kalau aku nak tahu juga, aku sendiri kena buat kajian lanjut. Namun aku juga tidak pelik kerana aku tengok cerita-cerita di dalam filem ada menunjukkan gereja yang menyanyi dan menari dalam upacara keagamaan dan ada gereja yang seakan bersifat majlis formal.

Sedar tak sedar, sudah jam 2 petang. Tiada lagi kelibat orang-orang bule yang melepak tadi. Masing-masing dengan aktiviti barangkali. Kami pun meminta diri untuk ke stesen keretapi. Teksi yang ditunggu Sabrina juga sudah sampai. Sebuah lambaian selamat tinggal dilambaikan antara kami bertiga. Kami bergegas ke bilik untuk mengambil backpack kami dan menyarung kasut. Aku memakai knee guard memandangkan lutut aku pernah cedera ketika bermain futsal satu ketika dulu. Tak pernah operate walaupun ada rakanku mengatakan aku perlu melakukan pembedahan kerana takut akan kesan jangka masa panjang. Aku tak ada insuran, maka aku tangguhkan dulu.

Tom tiada ketika kami meninggalkan hostel. Kami hanya mengirimkan salam sahaja kepadanya melalui pekerjanya. Sebuah senyuman terkuntum sesama kami sambil salah seorang pekerja premis itu mengucapkan selamat. Maka berjalanlah kami ke busway untuk menuju ke Stesen MONAS. Itulah laluan untuk ke Stasiun Gambir. Kami akan menaiki keretapi di situ untuk ke Bandung. Sebuah provinsi yang lain.

Sampai saja di stesen MONAS, kelihatan ramai kelibat orang berkumpul di dataran itu walaupun hari ini hari Isnin. Terdapat segelintir yang memegang sepanduk dan bendera sambil kedengaran suara penuh semangat keluar dari corong pembesar suara. Ramai anggota polis juga berkawal di situ membentuk sebuah barisan. Sebuah demonstrasi. Kami menghampiri kelompok yang sedang berdemonstrasi. Menurut salah seorang warga tempatan, ini adalah demonstrasi kesatuan pekerja yang menuntut gaji mereka. Kami lepak sebentar untuk membunuh masamasa terluang sebelum jam menghampiri 3.55 pm. Waktu di mana kami perlu menaiki keretapi. Waktu ini lagu-lagu seperti Workers Song dari Dropkick Murphys, Oppression dari Carburetor Dung, Hentikan Penindasan dari Dum Dum Tak dan Shitworker dari Brayok seakan bermain di minda. Playlist ilusi. Beberapa gambar diambil sebagai kenangan. Mungkin gambar demonstrasi boleh diletakkan di dalam TripAdvisor sebagai aktiviti yang boleh dilakukan di Jakarta. Namun kami tak mahu masuk campur lebih-lebih memandangkan kami warga asing. Tetapi pada masa yang sama berharap mereka berjaya dalam perjuangan menuntut hak mereka.

Tanpa berlengah, kami meneruskan perjalanan ke Stasiun Gambir. Namanya saja gambir namun tiada gambir kelihatan dijual ketika membeli tiket tempoh hari. Tapi itu tidak menjadi isu. Dalam perjalanan, kami didatangi seorang pakcik tua. Kelihatan anak kecilnya terbaring di kerusi yang berada di tepian jalan di samping beberapa beg pakaian yang sudah berusia. Pakaian anaknya juga lusuh. Muka pakcik itu seakan terdesak. Ketika dari jauh lagi kami melihat pakcik itu mundar-mandir menghampiri setiap orang yang melalui di jalanan itu.

Nak, tolong saya nak. Saya dirampok dan kini enggak punya uang (wang). Anak saya kelaparan dan kami juga enggak punya uang untuk pulang ke rumah, pakcik itu merayu. Di dalam hati ini tiba-tiba terbit rasa sedih dan simpati. Haeri juga rasa begitu berdasarkan pengamatan aku kepada gerak badannya. Aku dan Haeri pun menyelongkar beg sandang kecil yang tersangkut di hadapan kami untuk mengambil dompet.

Kami enggak punya banyak uang pak. Hanya ini aja yang termampu, kata aku sambil mengambil duit Haeri untuk dicampurkan dengan duit aku lalu dihulurkan kepada pakcik yang malang itu. Terdapat juga kesan lebam dan luka yang masih segar di muka dan tangannya. Mungkin kesan bergelut dengan perompak. Pakaian compang-camping. Terfikir aku di dalam hati, keadaan pakcik ini yang compangcamping pun dirompaknya. Mungkin keadaan di sini begitu terdesak barangkali. Jurang antara kaya dan miskin terlalu besar seperti yang telah kami perhatikan di Jakarta.

Terlalu besar nilai yang diberi ini nak, pakcik malang itu membalas dan ingin memulangkan sedikit duit. Enggak apa pak. Ambil saja buat apa yang perlu, untuk anak dan untuk diri pak. Dikit aja yang boleh kami bantu, Haeri menolak tangan pakcik yang mahu memulangkan sedikit duit kami beri.

Terima kasih nak. Terima kasih! Mudah-mudahan Tuhan memberkati kalian berdua. Tuhan saja yang mampu membalas jasa baik kalian. Terima kasih! pakcik itu berulang kali mengucapkan terima kasih sambil berlinang air matanya.

Mungkin terasa sebak kerana ada yang sudi menghulur bantuan di kala terdesak. Dia terus memeluk anaknya yang kelihatan tidak bermaya. Dikucup pipi anak perempuannya yang masih kecil itu penuh dengan kasih sayang.

Nia, ucap terima kasih kepada mereka yang baik hati ini. Aku bisa membeli makanan untuk kamu dan kita boleh pulang ke kampung halaman, ujar pakcik itu kepada anaknya sambil mengesat air mata.

Terima kasih kerna menolong papaku. Moga perjalanan kalian baik-baik aja, ujar anak kecil itu yang bersuara tidak larat sambil mengukir senyuman di bibir. Senyuman terharu ikhlas dilemparkan oleh anak kecik yang naif. Pakcik itu merangkul anaknya, memeluk pundaknya dan menangis. Kemudian kami pun berlalu pergi. Kasih seorang bapa kepada anaknya tidak kira di mana. Teringat pula kepada emak dan abah di rumah dan apa pengorbanan yang dilakukan kepada aku ketika aku masih kecil. Aku rasa seperti masih belum berjasa kepada mereka. Dapatkah aku buat mereka bangga atau adakah aku akan menjadi seorang anak derhaka Aku tak tahu. Semenjak usia meningkat ini, banyak konflik terjadi di antara aku dengan mereka. Namun tak pernah terlintas niat di hati hendak derhaka. Aku cuma mahu buat mereka bangga dengan cara aku sendiri walaupun cara aku itu tidak dipersetujui.

Takpe ke bagi duit banyak tu kat pakcik tu tiba-tiba Haeri meluahkan persoalan yang bermain di fikirannya. Aku faham apa dia nak sampaikan. Mungkin kerana pengalaman di Malaysia yang melihat orang meminta sedekah satu sindiket. Malah ada yang lebih teruk sanggup berpura-pura sakit, cacat dan sebagainya untuk meraih simpati masyarakat. Haeri mahu sumbangannya benar-benar sampai kepada yang memerlukan.

Takpelah. Yang penting ikhlas. Kita tolong yang mana mampu je. Nak sedapkan hati, kalau pakcik tu guna untuk apa yang patut, halal je lah duit tu, Haeri menjawab sendiri persoalan dia. Kita jangan terlalu berharap dengan apa kita dapat sedangkan kita masih belum cukup memberi. Akhirnya, kami sampai ke Stasiun Gambir. Masa masih lagi berbaki 25 minit sebelum keretapi bertolak. Indomaret di stesen kami singgah untuk membeli sedikit makanan sebagai alas perut. Stok rokok juga dibeli. Lalu kami beransur keluar dari Indomaret untuk sekeping sandwich dan merokok. Haeri juga sudah banyak merokok semenjak datang ke Indonesia. Seakan naik pangkat dari social smoker kepada seorang perokok sedikit tegar. Kedengaran di corong pembesar suara memanggil para penumpang ke Bandung agar bersiap sedia di terminal yang dikehendaki. Kami bergegas menghabiskan rokok dan terus ke terminal tersebut.

Memasuki gerabak keretapi, aku lihat keadaan di dalam gerabak. Bersih. Jangkaan bodoh aku meleset mengenai kelas ekonomi. Aku sangkakan perlu berhimpit di dalam gerabak seperti di India, rupanya tidak. Ini semua dakyah filem yang menunjukkan sesuatu yang tidak berapa tepat. Keretapi pun memulakan perjalanan. Aku lihat lagi ke sekeliling. Terdapat tanda dilarang merokok dan sekiranya ditangkap akan dikenakan denda. Perjalanan tiga jam aku tidak boleh merokok. Memang gila. Indonesia merupakan antara negara yang ramai jumlah perokoknya. Kini mereka sedang menguatkuasakan undang-undang untuk kawasan larangan merokok. Penguatkuasaan undang-undang dilakukan secara berperingkat. Dan sekarang termaktub larangan merokok serta-merta di dalam pengangkutan awam. Haeri mencucuk earphone untuk mendengar lagu dari henfon. Sayup-sayup kedengaran bunyi lagu Road Tripping dari Red Hot Chili Peppers dari earphonenya. Terasa fucked up pula aku terlupa membawa earphone. Namun Haeri mempunyai earphone lebih dan meminjamkan kepada aku. Earphone dicucuk ke lubang telinga dan aku memainkan lagu the Blind Pianist dari band Toxictoy untuk menemani aku.