SIDANG SERANGGA - 6
PROFESOR Doktor Mentadak Mentadu, dari mulanya sudah pasti bahawa usaha hendak menyatukan kaum serangga bagi menentang kebuasan manusia yang telah membuat dan akan membuat berbagai-bagai jenis racun serangga untuk membasmi dan menghapuskan segala jenis serangga, bukanlah satu usaha yang mudah, sebab, seperti manusia dan juga haiwan-haiwan, kaum serangga juga terbahagi kepada berbagai-bagai golongan. Ada golongan atasan, seperti lebah dan tebuan, ada golongan bangsawan, seperti ramarama, ada golongan pertengahan, seperti bermacammacam jenis belalang, dan ada golongan bawahan, seperti lalat dan langau, berbagai-bagai jenis semut, nyamuk, pepijat, penyengat, kerawai, ulat-ulat dan anai-anai. Dalam berbagai-bagai golongan dan jenis-jenis kaum serangga, seperti halnya dalam golongan-golongan manusia, ada anasir-anasir yang mudah menyeleweng yang bermuka dua, yang dengki khianat dan ramai yang bodoh bahlul.

Namun demikian, Profesor Mentadak Mentadu bukan mudah berputus asa, mudah kecewa.

Perangainya memanglah lemah lembut, tetapi hatinya keras dan otaknya bergeliga. Pada hematnya taman kecil dekat Restoran Rakyat di bandar raya Kuala Lumpur itu adalah satu tempat yang amat baik untuk dijadikan pusat perisik bagi mengkaji dan mengetahui segala macam perancangan manusia bagi menghapuskan kaum serangga.

Seperti bangsa Amerika ada CIA dan MAFIA dan bangsa Rusia ada KGB dan para saintisnya bagi membuat alat-alat senjata untuk menentang musuhmusuhnya maka dalam kaum serangga juga ada cerdik pandainya.

Lapan ekor lelabah bara yang berbadan besar, yang merah kepalanya, bengis rupanya telah dipanggil oleh Profesor Doktor Mentadak Mentadu datang ke taman kecil itu.

Tempat ini sangat sesuai sebagai pusat pengintipan! kata ulama kaum serangga itu.

Di belakang kita ada Bank Negara, Bank Rakyat, dan jauh sedikit di belakang kita ini ada berbagaibagai Jabatan Kerajaan. Di depan kita ada Jabatan Penerangan, jam besar, Masjid Jamek, Wisma Batik. Di sebelah kiri kita ada ibu pejabat bandar raya, ibu pejabat LLN. Tempat ini juga berhampiran dengan stesen kereta api, Masjid Negara, Kelab Sultan Sulaiman, Jalan Tun Perak dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, kedai-kedai, hotel-hotel dan pusat-pusat beli-belah dan juga panggung-panggung wayang. Kelapan-lapan ekor lelabah bara itu mendengar dengan teliti.

Dalam perut kamu ada benang-benang halus yang kaum kamu, segala jenis labah-labah, gunakan untuk membuat jejaring untuk menjerat segala macam benda yang terbang dan merayap untuk makanan kamu. Tetapi benang-benang halus itu juga boleh digunakan untuk merakamkan suara, baik suara manusia, mahupun suara segala jenis binatang, khasnya serangga-serangga. Dengan memberi sejenis ubat atau kimia untuk dimakan oleh kamu maka benang-benang halus dalam perut kamu itu boleh dijadikan alat perakam suara, sejenis komputer atau micro-chip. Kamu rentanglah benang-benang halus itu di tempat-tempat penting yang saya sudah sebutkan itu, dan satu daripadanya di taman kecil tetapi indah ini, demikian Profesor Doktor Mentadak Mentadu menerangkan.

Diringkaskan ceritanya maka pusat perisikan itu mulalah bertugas. Satu daripada lapan lelabah bara itu telah merentang benang hikmatnya, sejenis talian telefon dan telegraf, radio dan televisyen yang termoden dalam dunia, pada bangunan ibu pejabat bandar raya, satu di Masjid Jamek, satu di Bank Negara, satu di Bank Bumiputera di Jalan Melaka, satu di Kompleks Pertama, satu di ibu pejabat Mara dan satu lagi di Bangunan Persekutuan, yang di depannya ada Bank Pertanian dan tidak jauh dari situ ialah British Council atau pusat penerangan British.

Pada malam yang pertama, lelabah bara yang bertugas khas di Taman Kecil dekat Restoran Rakyat itu telah dapat merakamkan perbualan sepasang merpati (Melayu) seperti berikut:

Siti, kalau kita gunakan orang-orang ternama, kita isi borang-borang meminjam wang daripada agensi kerajaan dengan menggunakan orang-orang itu, kita sain nama-nama mereka itu, dan kita minta pegawaipegawai kita yang rasuah meluluskan permohonanpermohonan itu dengan janji bagi dua, bagaimana agaknya Bolehkah kita cuba

Nama-nama siapa yang kita nak gunakan tanya Siti, seorang kerani di perbadanan yang punya ramai pegawai-pegawai itu.

Katakanlah nama Pak Sako, pegawai itu mencadangkan.

Jangan, encik, jangan. Apa sudah jadi kepada beberapa orang pegawai Risda, Majuternak dan lainlain. Nanti susah kita. Lagipun Pak Sako itu bukan sebarang orang. Encik ingat dia tu bodoh ke kata

Siti.

Habis macam mana kita nak cari duit Gaji kita tidak cukup, kereta kita kena tukar, dari Honda Civic kepada Honda Accord. Rumah nak dibeli, mana tahan menyewa rumah mahal di Damansara Utama tu. Sekali-sekala kita nak makan angin ke Cameron Highland, ke Genting Highland. Mana nak cukup duit kita

Hai, abang begitu handsome, lawak, kacak, segak; takkanlah abang tak pandai mencari wang dengan cara-cara lain Satu caranya ialah abang cuba minta tukar ke agensi-agensi kerajaan yang lain di mana barangkali lebih mudah untuk mendapat wang banyak tanpa terang-terang menipu, kata Siti.

Tetapi, bang, soal yang lebih besar dan mustahak atau very urgent ialah bila lagi abang nak menghantar cincin meminang saya Berapa lama lagikah saya mesti menunggu, menanti, bergantung tidak bertali Duit saya sudah banyak abang talikan Bila abang nak bayar balik kata lagi Siti yang ingin bersuamikan seorang pemuda yang lawa, yang ada pangkat, yang pandai bawa kereta laju-laju.

Alaa, sebelum berumah tangga bukankah elok kita enjoy puas-puas dulu Kalau dah kahwin, dah ada anak, macam mana kita boleh enjoy lagi. I love youlah Siti, with all my heart. Dont you believe me

Perbualan tengah malam di taman kecil itu semuanya sudah dapat dirakamkan oleh talian sakti yang direntang pada satu pokok rendang di situ. Talian itu disedut semula oleh lelabah bara A ke dalam perutnya untuk diabadikan.

Talian B yang direntang pada pokok-pokok di depan Kompleks Pertama itu pula merakamkan suarasuara yang berkecamuk. Di antaranya ialah:

Joe, untuk kita mahu enjoy malam ini di mana boleh dapat tiga empat straw Dah lama kita tidak high Joe.

Rakan Joe yang bergelar Bob, tetapi kedua-duanya pemuda Melayu yang menganggur, berkata: Aci yang tinggal di Lorong Limau, dekat pawagam P. Ramlee itu barangkali ada menyimpan barang tu.

Dia dah tidak ada di situ lagi; dah pindah atau sudah kena cekup oleh polis. Sekarang kempen antidadah sedang dijalankan dengan rancak. Awak tak ingatkah, Bob kata Joe.

Tetapi kalau mahu ganja saya boleh beritahu awak Bob, saya ada tahu satu tempat di Sentul, kata lagi Joe.

Di sudut tepi pasar raya yang dekat dengan Bangunan Ibu Pejabat Mara itu pula ada tiga orang lagi beliabelia Melayu yang sedang berbisik-bisik. Itu pun dapat dirakam juga oleh talian B.

Macam mana kita boleh dapat duit untuk menonton filem Pengantin 83 yang ditayangkan di panggung Colesieum malam ini, Robert

Yang bertanya itu bergelar Dicky, pakar curi barangbarang di super market.

Awak sudah janji ke dengan mak we awak, Dicky kata Robert.

Aku sekarang ada mak we barulah, kata Dicky dengan bangga. Dia bekerja di sebuah syarikat finance, tetapi gajinya tak banyak. Rupanya, aduuh, mak! Hampir-hampir serupa dengan Dayang Sulu. Dia berjanji nak belanja aku, tengok show pukul 9.00 nanti. Tapi aku malulah nak makan belanja dialah, baru kenal takkan nak makan belanja dia, kata lagi Dicky.

Kalau payah sangat nak dapat batang malam ini kita beli Roche-B saja pun cukuplah. Mana-mana kedai singse pun ada jual benda itu, kata Robert.

Tetapi maklumat-maklumat yang sangat penting darihal gelagat manusia dalam Malaysia yang sudah mula maju dan moden, tetapi sedang mengalami keadaan meleset ialah suara-suara yang dapat dirakamkan oleh lelabah bara C yang merentangkan benang saktinya di tingkat lima. Bangunan ibu pejabat Mara, di sebelah Kompleks Pertama itu.

Awak, Pak Karim (bukan nama betulnya) sudah tak bayar hutang awak lima bulan dah. Kalau tidak bayar dalam tempoh dua minggu dari sekarang teksi awak terpaksalah kami tarik balik permitnya. Seorang pegawai Mara memberitahu Pak Karim.

Minta ampun, minta maaflah, tuan. Jalan-jalan dalam bandar raya ini selalu sangat jem, tuan. Semakin susah nak cari sewa, tuan. Saya punya ramai anak, tuan. Empat orang bersekolah, kata Pak Karim, meminta tempoh membayar hutangnya kepada Mara.

Saya dapat tahu awak baru kahwin seorang lagi. Betulkah begitu, Pak Karim kata pegawai itu. Pak Karim tidak menjawab.

Kami juga menerima laporan-laporan yang mengatakan Pak Karim gemar sangat menonton gambar-gambar lucah melalui video-tape. Betulkah begitu, Pak Karim tanya lagi pegawai Mara itu.

Aci sumpah, tuan. Laporan-laporan itu bohong belaka, tuan. Pemandu-pemandu lain dengki kepada saya, tuan, sebab saya kahwin dengan pelayan bar di Jalan Ipoh tu. Dia punya pendapatan banyak tuan. Duit tip saja dia boleh dapat berpuluh-puluh ringgit pada satu malam. Saya tahulah, tuan, sebab saya yang menghantar dia pergi kerja, dan saya juga yang menjemput dia balik pada tiap-tiap malam, Pak Karim bersumpah.

Ada lagi laporan mengenai diri awak, Pak Karim, iaitu pada tiap-tiap malam sebelum awak menjemput isteri muda awak di bar itu awak suka mengintai pondan-pondan di depan Hotel Kowloon di Jalan Tuanku Abdul Rahman itu, betul atau tidak, Pak Karim Menyoal lagi pegawai Mara itu.

Itu saya mengakulah, tuan, sebab maklum sayalah saja punya isteri muda, dan kerana itu saya perlukan pendorong syahwat, kata Pak Karim tersengihsengih, nampak gigi emasnya dua batang. Itu hal peribadi awak, tetapi kalau awak tidak selesaikan hutang awak dalam tempoh dua minggu dari sekarang, teksi awak akan kami tarik, kami simpan dalam workshop Mara. Demikian pegawai itu memberi amaran.