Asrama kami dipanggil sebagai Mahallah. Jadi, setiap pelajar tiada pilihan lain selain tinggal di bilik yang ditetapkan di Mahallah m a s i n g - m a s i n g .
Memandangkan semua pelajar tinggal di dalam kampus dan kemudahan pengangkutan awam pada waktu itu amatlah menyedihkan, aku nampak peluang untuk buat bisnes dalam perkhidmatan pengangkutan. Dalam kepala, aku cuma nampak peluang buat bisnes kereta sapu dan kereta sewa sahaja. Tetapi pada waktu itu, aku belum ada kereta.
Motosikal pun aku tak ada.
Aku mula buat kajian sendiri di kampus. Aku tanya kawan-kawan dan senior yang aku kenali pada waktu itu. Aku minta mereka bagi pendapat tentang potensi bisnes dan idea aku. Risikonya juga besar, perniagaan kereta sewa yang dijalankan di dalam kampus adalah bisnes haram. Sekiranya apa-apa terjadi di jalan raya, ia menjadi tangungjawa penyewa itu sendiri dan kita sebagai pemilik kenderaan akan turut terasa tempias peningnya. Tapi aku memang nekad, apa nak jadi-jadilah. Selepas berjumpa dengan seorang sahabat merangkap abang aku bernama Mad Pon, aku setuju untuk mengeluarkan sebuah kereta Perodua Kancil 660 Manual.
Mad Pon sebenarnya senior di dalam blok yang sama dengan aku. Memang aku senang betul berkawan dengan dia. Beliau ini orang Penang yang bijak juga, boleh tahan geliga kepala otaknya. Dia menyewakan Perodua Kancil dan kereta kawan-kawan lain yang dipajak kepada pelajar foreigner sahaja. Aku pelik juga dan apabila aku bertanya, ini jawapannya.
Hang tau dak, kita bila berniaga kereta sewa ni kena bijak. Kalau hang nak harap orang kita menyewa, bila masa kita nak buat duit Sewa sejam-sejam, ada setengah tu mai nak sewa setengah jam. Mana berbaloi, tegas Mad Pon sungguh-sungguh.
Bila kita bagi sewa kat student foreigner, depa akan ambil bulan-bulan. Kereta Perodua Kancil itu aku bayar sebulan RM300, aku bagi sewa RM1,200. Aku ada untung banyak lagi. Tu kan income hang tiap-tiap bulan. Aku bagi harga siap servis tukar minyak hitam. Aku buat sendiri saja, senang. Lagi jimat dan untung! Berdesing telinga aku kena sekolah.
Memang betul, aku hanya nampak kereta Perodua Kancil dia yang warna putih itu sebulan sekali sahaja. Itupun masa orang yang menyewa itu datang jumpa Mad Pon untuk serah duit dan tukar minyak hitam. Patutlah aku tengok beliau ini macam tak mahu keluar dari kampus, tak habis-habis belajar! Beliau membina keyakinan pelanggan dengan status super senior di sini. Baru aku faham mengapa ada pelajar universiti yang lambat habis belajar, mereka sebenarnya lebih bijak.
Jadi, selepas puas kena sekolah dengan Mad Pon, aku tekad untuk balik kampung dan jumpa mama. Aku cakap aku hendak keluarkan sebuah kereta Perodua Kancil bagi tujuan memudahkan pergerakan aku di kampus. Alasan ini dikira logik juga sebabnya kampus itu sangatlah luas dan aku memang tak sanggup hendak berjalan dari hujung ke hujung. Dan aku bagitau juga pada Mama, apabila sudah kereta aku akan menyewakan kereta ini kepada kawan-kawan di kampus. Dengan pendapatan sewa itulah aku akan gunakan untuk bayar pinjaman kepada bank. Kali ini urusan aku jadi mudah, Mama akur. Beliau jadi penjamin untuk aku.
Inilah antara nikmat paling besar yang pernah aku nikmati pada awal usia 20-an iaitu memiliki sebuah kereta atas nama sendiri. Disebabkan kedua-dua orang tua aku bekerja sebagai penjawat awam, maka urusan aku untuk membuat pinjaman bank menjadi sangat mudah. Tak sampai dua minggu, aku memandu dengan penuh bergaya di atas jalan raya bersama sebuah Perodua baharu. Cuba kau bayangkan, betapa macho-nya aku memandu dari Pulau Pinang menuju ke ibu kota untuk pertama kali. Best gila.
Mad Pon adalah orang pertama yang aku beritahu tentang perkara ini. Dia macam abang kandung aku sendiri. Dan dalam minggu pertama itu jugalah aku mula mencetak begitu banyak iklan kereta sewa untuk ditampal semua dinding yang ada di dalam kampus dan asrama. Aku minta tolong seorang sister, panggilan untuk pelajar perempuan di UIA bernama Rina untuk membantu aku menampal iklan, seterusnya menjadi ejen aku di dalam asrama perempuan. Beruntung sekali aku ada ramai peminat wanita pada waktu itu, memudahkan urusan aku.
Tidak sampai tujuh hari selepas menampal iklan, telefon aku mula jadi macam jam loceng. Berbunyi tanda SMS masuk untuk pertanyaan sewa. Mengapa begitu ramai yang mahu menyewa Kereta aku menawarkan pakej promosi gila-gila. Sewa seminggu, free satu hari. Sewa sebulan, free lima hari. Mana tak gila bakal penyewa kereta aku tengok Dan aku memang syak, yang paling ramai berkehendak ialah pelajar-pelajar foreigner dari negara Arab. Mereka ini memang banyak duit. Inilah antara kelebihan belajar sambil berniaga di UIA, taraf international itu menjadikan kami mempunyai segolongan pelanggan yang premium.
Banyak lagi sambungannya perjalanan kereta sewa aku ini. Bagaimana daripada hanya sebuah kereta menjadikan kepada begitu banyak kereta. Dan bagaimana secara tiba-tiba aku berasa begitu perit akibat kerugian dari bisnes kereta sewa ini. Sabarlah ya, aku akan tulis dalam buku yang akan datang.