RETRO BOLA SEPAK - 6
30hb Mei 1978

Tahun 1978 mencatatkan beberapa sejarah menarik untuk skuad negara. Antaranya ialah jaringan Supermokh pada 30hb Mei 1978 -- untuk Malaysia, sewaktu menentang skuad England B. Mokhtar berlari dari tengah padang, melepasi beberapa pemain

England B iaitu David

Needham (pemain Nottingham Forest FC) dan Alan Philip Kennedy.

Selepas berjaya melepasi Needham dan Kennedy, Supermokh melepaskan satu rembatan kencang dengan kaki kanannya dari jarak 30 meter pada minit ke-32, menewaskan penjaga gol Manchester City FC, Joe Corrigan. Joseph Thomas Joe Corrigan merupakan salah-seorang anggota skuad Manchester city FC yang memenangi

Piala Eropah dan Piala Liga Inggeris. Beliau mewakili England pada 1976 sewaktu menentang Itali dan merupakan anggota skuad Piala Dunia 1982 England. Namun, beliau gagal menempatkan dirinya selaku penjaga gol utama England, kerana terpaksa bersaing dengan Ray Clemence dan Peter Shilton.

Gol Supermokh tersebut -- yang digambarkan sendiri oleh Supermokh sebagai jaringan kedua terbaiknya -- berjaya menghapuskan kelebihan awal yang dimiliki oleh England B, menerusi gol jaringan Alan Kennedy pada minit ke-14. Alan Kennedy yang ketika itu beraksi untuk Newcastle United FC, membuat 158 kali penampilan dengan Newcastle, sebelum dibeli oleh Liverpool FC pada bulan Ogos 1978, dengan yuran perpindahan sebanyak 330,000 untuk menggantikan Alec Lindsay di bahagian pertahanan kiri. Di Liverpool FC, Kennedy bermain sebanyak 251 kali perlawanan liga dan menjaringkan 15 gol untuk The Reds.

Supermokh, ketika itu juruteknik PKNS di Petaling Jaya, dengan ketinggian 5 kaki 7 inci, badan yang berotot dan sasa, menggenggam tangan dan merembat sepadu mungkin ketika jaringan tersebut dilakukan. Beliau yang menerima hantaran daripada Dollah Ali, berjaya menjaringkan gol tersebut meskipun ketika itu berada dalam keadaan tidak seimbang kerana diasak hebat oleh David Needham dari belakang. Jaringan ini merupakan jaringan ke17 Supermokh, selepas menjaringkan 15 gol untuk Selangor FA dalam kempen (Liga) Piala Malaysia 1978, dan satu gol sewaktu menerima kunjungan Mohun Bagan FC beberapa hari sebelumnya.

Paul Mariner yang turut beraksi pada malam bersejarah tersebut pernah beraksi untuk England dalam Kejohanan Eropah 1980 dan Piala Dunia 1982. Beliau yang diberikan banyak publisiti oleh media Malaysia, bagaimanapun dikekang hebat oleh pertahanan Malaysia sehingga gagal menyerlah. Selain daripada Mariner, Gordon Hill yang turut beraksi menentang Malaysia, menulis dalam kolumnya The Gordon Hill Column yang dimuatkan dalam majalah Shoot, menyatakan bahawa gol tersebut dijaringkan oleh a bloke called hero Mokhtar (seorang lelaki yang digelar hero Mokhtar).

Hill yang turut beraksi menentang Mokhtar dan rakan-rakan, ketika itu beraksi untuk Derby County FC. Hill juga pernah beraksi untuk Manchester United, Millwall dan Queens Park Rangers. Turut beraksi dalam perlawanan tersebut ialah Paul Mariner, yang mana ketika itu merupakan pemain bimbingan Robson di Ipswich Town FC, sebelum menyertai Arsenal FC dan Porstmouth FC.

Pengurus England B, Sir Bobby Robson memuji Supermokh dan jaringan tersebut, di samping menyatakan bahawa tidak ada masalah untuk Supermokh menyertai mana-mana kelab di England. Ketika tiba di Malaysia, Robson baru sahaja memenangi Piala FA bersama Ipswich Town FC, apabila Persatuan Bola Sepak England meminta beliau untuk membimbing pasukan England B ke Kuala Lumpur. Robson juga dilaporkan pernah menawarkan Supermokh untuk menyertai Ipswich Town, selain kelab Manchester City FC yang dikatakan pernah menawarkan kontrak kepada Supermokh. Tetapi, tawaran ini ditolak dengan baik oleh Supermokh atas beberapa faktor.

Perlawanan ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah pasukan England B ke Malaysia, New Zealand dan Singapura pada tahun 1978. Skuad England B dilatih oleh Pengurus Ipswich Town FC ketika itu, Bobby Robson. Meskipun ini adalah skuad England B, beberapa pemain utama England seperti Corrigan, Hill, Hollins, Mariner, Richards dan Talbot turut menyertai skuad tersebut dalam siri jelajah ke Malaysia. Anderson dan Kennedy juga kemudiannya beraksi untuk skuad utama England.

Selepas Malaysia, England B bertemu Trans tours FC di Chistchurch (seri 2-2) dan Otago FC di Dunedin (menang 6-0). Selanjutnya, England B menentang skuad New Zealand sebanyak tiga kali di Chistchurch (menang 4-0); Wellington (menang 3-1) dan di Auckland (menang 4-0). Akhir sekali, skuad England B menewaskan skuad Singapura, 8-0 pada 18hb Jun 1978.

Secara keseluruhan, Supermokh berjaya melakukan tiga percubaan tepat ke pintu gol England B, dengan dua daripadanya hasil hantaran Yahya Jusoh dari sebelah kiri padang. Selain Supermokh, pemain yang beraksi cemerlang pada malam tersebut ialah Rashid Hassan, Soh Chin Aun, Santokh Singh dan Shukor Salleh. Tatkala seluruh negara masih membincangkan perlawanan epik ini di kedai-kedai kopi, Supermokh dan skuad Selangor FA terus menjalani latihan pada 1hb Jun 1978, sebagai persiapan untuk satu lagi perlawanan epik Final Piala Malaysia 1978 menentang Singapura FA.

"

Pengurus England B,

Sir Bobby Robson memuji Supermokh dan jaringan tersebut, di samping menyatakan bahawa tidak ada masalah untuk Supermokh menyertai mana-mana kelab di

England."

MALAYSIA lawan ENGLAND B:

Tempat:

Stadium Merdeka, Kuala Lumpur;

Jumlah penonton: 45, 000 orang;

Keputusan:

Malaysia - 1 (Mokhtar Dahari)

England B - 1 (Alan Kennedy);

Pemain Malaysia: Rashid Hassan, Jamal Nasir, Yahya Jusoh, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Shukor Salleh, Abdah Alif, Yip Chee Keong, Nasir Ibrahim, Mokhtar Dahari, Abdullah Ali;

Pemain England B: Joe Corrigan (Manchester City) , Viv Anderson (Nottingham Forest), Alan Kennedy (Newcastle United), Brian Talbot

(Ipswich Town), Steve Sims (Leicester City), Glenn Roeder (Orient), David Needham (Nottingham Forest), John Hollins (Queens Park Rangers), Gary Owen (Manchester City), Steve Daley (Wolverhampton Wanderers), Paul Mariner (Ipswich Town), John Richards (Wolverhampton Wanderers), David Geddis (Luton Town), Gordon Hill (Derby County);

Pengadil: S. Kathiravale.