Perbezaan permainan bola sepak kampung dengan permainan bola sepak sebenar adalah pada undang-undang yang kurang diperketatkan. Selain jumlah pemain yang tidak tetap, pemain juga bebas untuk keluar masuk dan diganti oleh sesiapa sahaja. Peraturan seperti offside juga tidak diambil kira. Oleh kerana itulah kita akan berpeluang melihat pemain yang duduk berbual dengan penjaga gol pihak lawannya sambil menunggu bola dihantar kepadanya. Pemain ini digelar curi ayam.
Usai menonton rancangan kartun kegemaran pada pukul 5 petang, setiap orang akan bergegas keluar rumah dan berkumpul di padang untuk dibahagikan kepada dua kumpulan. Pemakaian kasut bola tidaklah menjadi satu kewajipan malahan lebih selesa bermain apabila kesemua bermain secara kaki ayam. Sesetengah orang bermain dengan memakai shin guard supaya sedikit sedap menendang bola.
Kasut bola menjadi sesuatu yang sukar untuk diperolehi berikutan harganya yang dikira mahal ketika itu, kecualilah jika anak cikgu. Selalunya, hanya pemain yang bermain mewakili sekolah sahaja akan mempunyai kasut bola yang dibeli oleh ibu bapa. Oleh kerana itu, pemain yang bermain dengan memakai kasut bola rata-ratanya adalah bintang sekolah dan menjadi tonggak kemenangan selain disegani semua. Kasut kicap adalah alternatif kasut bola yang paling murah untuk dimiliki pada yang bukan bintang dan anak cikgu. Sesetengah orang yang berhati kembara waja akan memakai kasut sekolah bermain bola sepak tanpa mempedulikan langsung nasib mendatang.
Keluasan permainan bola sepak kampung ini adalah lebih kecil berbanding keluasan sebenar. Selipar akan digunakan untuk membuat garis sempadan luar dan dalam. Selipar juga digunakan untuk dijadikan tiang gol.
Sebelum memulakan permainan, setiap pasukan akan berbincang posisi yang akan dimainkan oleh setiap ahli pasukannya. Antara kriteria yang dipilih untuk setiap posisi pemain adalah seperti berikut:
Penjaga gol = Pemain paling gemuk/tinggi
Pertahanan = Pemain paling kasar/sepak cucuk
Sayap = Pemain lari paling laju/fit
Penyerang = Pemain paling kacak/jambu
Kapten = Tuan bola/Ketua kelas di sekolah
Jurulatih = Pemain kaki bangku
Budak Milo = Adik pemain bola
Oleh kerana permainan dimainkan tanpa had masa yang ditetapkan, separuh masa pertama dan kedua juga turut tiada. Permainan akan terus berlangsung sehinggalah kedengaran azan Maghrib dilaungkan di surau/masjid berdekatan. Laungan azan dijadikan penanda bahawa permainan telah tamat dan Doraemon sedang main kat televisyen.
Biar kalah main bola, jangan terlepas tengok Doraemon.