Patung-patung askar ini boleh dibeli dalam satu set lengkap di dalam satu bungkusan. Terdapat juga set yang lebih mahal yang dilengkapi dengan kereta kebal, lori, khemah askar dan pelbagai kelengkapan perang yang lain.
Permainan patung askar adalah permainan yang perlu dimainkan dengan imaginasi yang tinggi. Setiap askar akan disusun di dalam formasi dan digerakkan satu persatu mengikut jalan cerita yang direka-reka. Untuk menambahkan warna, patung permainan lain akan turut digunakan di dalam permainan perang ini. Selalunya, patung permainan binatang atau raksasa akan digunakan sebagai pihak musuh. Permainan boleh dimainkan berseorangan atau bersama member seorang lagi. Permainan ini boleh dimainkan indoor atau outdoor mengikut imaginasi liar masing-masing. Bermain di atas tanah atau pasir bagaimanapun memberi suasana yang lebih real dan mahal ke atas jalan cerita permainan.
Selain patung askar ini, terdapat satu lagi patung askar yang selalunya diberi percuma di dalam keropok. Patung askar ini berupa seorang askar yang sedang terjun menggunakan payung terjun. Payung terjun yang disediakan diperbuat dari plastik yang telah sedia diikat dengan benang dan disambung terus pada patung askar tersebut.
Patung askar tadi akan dilemparkan ke udara dan dibiarkan melayang perlahan-lahan jatuh ke bawah. Semakin tinggi patung askar dilepaskan, semakin lama patung askar tadi akan melayang-layang turun. Oleh kerana tidak mempunyai senapang, patung ini tiada fungsi lain dalam berperang selain tugas naik turun payung terjun.