TORA DATANG LAGI - 67
Antara semua permainan-permainan yang menjadi kegemaran untuk bermain, permainan kejar-kejar merupakan permainan yang paling mudah untuk dimainkan di manamana dan bila-bila sahaja. Ketika permainan-permainan lain mempunyai pelbagai peraturan, peralatan dan cara permainan yang leceh dan melambatkan, permainan kejarkejar adalah lebih cepat dan ringkas untuk dimainkan.

Permainan kejar-kejar boleh dimainkan 2 orang atau lebih. Semakin ramai pemain yang bermain, semakin rancak permainan dan ianya jarang dilihat dimainkan dengan hanya 2 orang pemain. Jika pun kelihatan, mungkin dia bukan sedang bermain kejar-kejar tetapi hanya mengejar rakannya atas urusan lain. Marah kerana melukis bentuk hati dan menulis namanya dengan perempuan lain di papan hitam mungkin.

Cara untuk bermain permainan kejar-kejar adalah:

Seorang pemain akan diundi untuk menjadi pengejar. Parameter kawasan akan ditentukan bagi memudahkan kerja mengejar dan dicari.

Pemain lain perlu melarikan diri dan mengelak dari disentuh oleh pengejar. Pemain boleh bersembunyi dan berselindung di sebalik apa-apa halangan.

Tugas pengejar adalah mengejar dan menyentuh kesemua pemain sehinggalah kesemua pemain telah duduk.

Pengejar boleh menyentuh mana-mana saja bahagian pada anggota badan pemain lain. Walaupun berlainan jantina.

Pemain yang dapat dikejar perlu duduk mencangkung sebelum disentuh pengejar bagi mengelakkan dari menjadi pengejar seterusnya. Pemain yang dapat disentuh oleh pelajar tanpa sempat duduk akan menjadi pengejar seterusnya.

Pemain yang sempat duduk akan disentuh oleh pengejar. Pemain yang telah disentuh itu tidak boleh bangun dan perlu duduk di situ sehinggalah disentuh semula oleh mana-mana pemain lain yang masih tidak disentuh. Pemain yang sudah duduk dan disentuh semula pemain lain akan dapat bangun dan berlari semula.

Pengejar yang telah berjaya menyentuh kesemua pemain akan berdiri di tengah-tengah dan membuat kiraan 1,2,3. Pemain yang terakhir atau paling terhegeh-hegeh bangun akan menjadi pengejar yang seterusnya.

Antara permainan lain yang turut mudah dimainkan seperti permainan kejar-kejar adalah permainan sembunyi-sembunyi/ nyorok-nyorok. Bezanya, ia tidak perlu dikejar, tiada duduk-duduk dan tiada sentuhan. Pemain hanya perlu bersembunyi dan mengelak daripada dijumpai. Pemain yang pertama dijumpai akan menjadi pencari yang seterusnya.

Perkara paling lahanat sekali di dalam permainan kejar-kejar atau sembunyisembunyi, adalah pemain keluar dari parameter dan lari balik rumah makan nasik kemudian tidur depan TV.