TORA DATANG LAGI - 68
Adiwira bertopeng sangat menjadi kegilaan kepada semua kanak-kanak. Pelbagai rancangan adiwira bertopeng berebut-rebut ditayangkan stesen-stesen televisyen ketika itu. Walaupun menampilkan konsep yang hampir sama saja setiap satunya, kanak-kanak akan tetap teruja untuk menonton setiap satunya.

Adiwira bertopeng ketika itu lebih dipelopori dari negara Jepun. Sesetengah adiwira bertopeng terbitan Jepun turut diterbitkan semula di dalam versi Barat. Perbezaan ketara adiwira bertopeng dari Jepun dengan negara Barat adalah adiwira Jepun ratanya berjuang secara berkumpulan sementara adiwira Barat berjuang bersendirian. Walaupun begitu, terdapat sebilangan kecil adiwira Jepun yang berjuang secara bersendirian juga.

Pada peringkat awal penerbitan adiwira bertopeng Jepun, ianya berjuang bersendirian tanpa mendapat bantuan dari siapa-siapa. Peringkat seterusnya, adiwira bertopeng ditukar menjadi sekumpulan penyelamat yang terdiri daripada 5 atau 6 individu dan turut mendapat bantuan lain seperti robot bersaiz gergasi.

Adiwira bertopeng dalam kehidupan normal mereka selalunya hanyalah remaja biasa yang gemar bermain kasut roda dan menikmati burger dan air Pepsi. Mereka dipilih kerana mempunyai hati nurani setulus kain putih selain mempunyai asas di dalam seni mempertahankan diri.

Mereka dipilih oleh satu kuasa baik yang mahu menentang kuasa jahat yang muncul untuk menguasai dunia.

Selain dihiasi dengan sut yang menarik lengkap dengan topeng kepala fancy, adiwira selalunya turut dilengkapi dengan senjata dan kenderaan yang berkuasa tak patut.

Antara adiwira bertopeng yang menjadi kegemaran kanakkanak adalah:

Suria Perkasa Hitam (Masked Rider Black)

Polis Angkasa Gaban (Space Cop Gavan)

Flashman

Maskman

Jetman

Cybercop

Mighty Morphin Power Rangers

Malaysia juga pernah menghasilkan adiwira bertopeng yang dinamakan Chempiang atau Badin, nama manusianya. Selepas Chempiang, muncul pula Orang Terbang atau Suparman, nama manusianya. Seperti mana nama mereka, adiwira-adiwira bertopeng ciptaan tempatan ini sememangnya gagal baik dari sudut sut, aksi pertarungan dan membawa ke jalan cerita.

Pada tahun 1999, animasi adiwira bertopeng Keluang Man telah dihasilkan. Tanpa rasa bersalah, ianya secara terangterangan mencuri ilham sut, side-kick dan juga musuhmusuh adiwira bertopeng Barat iaitu Batman. Walaupun dihasilkan dengan menggunakan grafik ala Microsoft Point, ianya sangat mendapat sambutan hebat dek jalan cerita yang agak menarik disamping menyelitkan dialog-dialog komedi.

Setahun sebelum keluarnya Keluang Man, sebuah filem animasi adiwira telah dihasilkan iaitu Silat Lagenda. Walaupun tidak bertopeng, jelas sekali ianya sangat dipengaruhi oleh adiwira bertopeng Jepun di dalam formasi 5 orang. Ianya mengisahkan perjuangan 5 orang pemuda lengkap dengan warna, sut dan senjata masing-masing dan diilhamkan dari Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi.

Selepas Keluang Man, muncul beberapa lagi adiwira bertopeng tempatan dan seperti biasa, kekal camngang.