SEKALI lagi Kudin kembali ke Kampung Pinang Patah. Kali ini bersama Ana Dahlia dan Kuyah. Semalam dia sudah beri cuti seminggu pada Ana Dahlia dan Kuyah. Kuyah dibawa sekali kerana ingin menemukan dengan nenek yang sudah lama terpisah dengan cucu perempuannya sejak dulu. Ana Dahlia pula dikenalkan sebagai kekasihnya dan bakal isteri, kononnya. Kudin senyum sendiri. Dia jeling Ana Dahlia di sebelah yang masih melemparkan pandangannya ke arah luar, melihat keindahan sawah padi yang menghijau. Dia pandang pula pada Kuyah yang berada di tempat duduk belakang, juga asyik melihat suasana kampung.
Kereta Honda City dipandu perlahan melalui jalan merah yang hanya muat untuk sebuah kenderaan saja. Rumahnya yang terletak di hujung kampung terpaksa melalui jalan merah itu. Kalau berjalan kaki, boleh saja menyeberang sawah padi mengikuti laluan batas-batas sawah.
"Kita dah sampai." Kudin berhentikan keretanya di laman rumah yang agak luas.
Ana Dahlia masih melihat sekitar situ. Sekali lagi dia menjejakkan kaki ke kampung itu. Dia jeling Kudin di sebelah yang tersenyum kepadanya. Macamlah manis sangat senyuman tu! Dia mengalih pandangannya ke arah sawah semula.
"Tak nak turun ke" Kudin pandang Ana Dahlia yang leka melihat sawah padi dari tadi. Jakun!
Ana Dahlia berpaling. Dia senyum. Pintu dibuka perlahan dan dia mula mengambil beg pakaiannya di dalam bonet kereta. Kuyah turut mengambil beg pakaiannya dan melangkah ke arah anjung rumah. Angin sepoi bertiup begitu menyamankan.
Kudin turut mengambil beg dan menapak ke anjung rumah. Salam diberi beberapa kali. Tidak lama kemudian muncul Nek Tom di muka pintu.
"Kudin! Rindunya nenek!!" Terus saja Nek Tom mendakap erat tubuh cucunya.
Kudin terkulat-kulat bila dipeluk nenek. Dia jeling Ana Dahlia yang sudah tergelak di situ. Kuyah pula diam dari tadi. Melopong melihat Nek Tom.
"Err..nek, Kudin ada bawa kawan. Ni, Ana Dahlia dan itu Kuyah." Kudin perkenalkan kepada neneknya.
Nek Tom sengih lebar. Dia bersalam dengan Ana Dahlia dan juga Kuyah. Kemudian dia melihat Kudin yang turut senyum.
"Amboi kamu ni Kudin. Semua anak dara kamu angkut!" Nek Tom sengih lagi.
Kudin sengih sambil garu kepala.
"Ni, dua orang ni calon isteri kamu ke apa" Nek Tom senyum lagi.
Ana Dahlia tergamam. Dia pandang Kudin yang sudah berubah rona mukanya. Sudah kemerahan. Dia pandang pula gadis pembancuh kopi. Kuyah dilihat dari tadi asyik memandang Nek Tom tak berkelip. Sejak di KL lagi, dia ingin bertanya Kudin tentang hal gadis itu tapi terpaksa dilupakan dulu. Dia tidak mahu Kudin salah faham nanti. Yalah..kononnya nak bawa dia jumpa nenek dan kenalkan sebagai kekasih tapi bawa juga sekali gadis pembancuh kopi tu. Tentu Kudin ingat dia cemburu.
"Sorang je nek..yang tu!" Kudin tuding ke arah Ana Dahlia.
Kali ini Ana Dahlia pula sudah merona merah mukanya. Dia kena juga senyum dan mengiakan. Itu syarat yang Kudin suruh tunaikan. Terpaksa ikut jika tidak mahu penyamarannya dan penyiasatannya terbongkar nanti. Ah! Bukannya lama. Sebulan saja!
"Oh..yang ni" Nek Tom tanya pula pasal Kuyah.
"Nek..kita orang baru saja sampai. Penat tak hilang lagi ni. Kita cerita nanti ya." Kudin mula mengajak Ana Dahlia dan Kuyah masuk ke dalam rumah.
Kuyah dan Ana Dahlia mula masuk ke dalam rumah dan duduk di tikar mengkuang. Di ruang tamu itu, hanya ada dua buah kerusi rotan dan sebuah almari. Tiada televisyen dan radio. Rumah pula dibuat daripada kayu. Jendela stail lama.
"Berehatlah dulu. Nanti Nek Tom buat air ya." Nek Tom ke dapur.
Ana Dahlia memerhati sekitar ruang tamu. Semua barang lama. Tiada perabot mewah, tiada karpet tebal dan juga tiada alat elektrik. Matanya beralih pula pada sebuah meja di tepi dinding. Ada sebuah foto lama yang dibingkai di situ. Dia bingkas bangun dan mendekati meja itu. Foto itu diperhatikan seketika.
"Itu foto mak dan ayah saya."
Ana Dahlia terkejut. Kudin sudah berada di sebelahnya.
Kuyah turut bangun dan menghampiri Kudin dan Ana Dahlia di situ. Dia amati foto itu. Air matanya mengalir laju. Itulah foto kenangan mak dan ayah .Dulu dia juga ada foto itu yang masih disimpan sehingga kini.
"Kuyah...kenapa ni" Ana Dahlia pegang bahu Kuyah yang sudah menangis.
Kudin mula peluk Kuyah. Dia faham perasaan adiknya yang mudah tersentuh bila melihat foto arwah kedua ibu bapa mereka. Kuyah pernah hidup dengan arwah mak dan kenal siapa arwah ayah mereka sedangkan dirinya tidak kenal langsung siapa mak dan ayahnya. Nenek tidak pernah hendak cerita semua itu.
Ana Dahlia tergamam melihat Kudin memeluk gadis itu. Dia mengalihkan pandangannya ke arah lain. Kenapa dengan aku ni Cemburu ke
"Err..maaf, saya teringat saja.." Kuyah lepaskan pelukan Kudin tadi. Dia pandang Ana Dahlia yang sudah pandang ke arah lain. Tentu gadis itu cemburu. Yalah..siapa yang tidak cemburu bila kekasih hati peluk gadis lain. Setakat hari ini, Ana Dahlia memang tidak tahu dia adik Kudin.
Nek Tom kembali dengan tiga cawan kopi panas dan sepinggan kuih karipap. Mereka bertiga mula menikmati juadah ringan itu. Nek Tom asyik melihat Ana Dahlia dari tadi. Dia senyum sendiri. Matanya beralih pula pada Kuyah. Ada iras seseorang.
"Err..anak ni macam ada rupa anak nenek.." Nek Tom perhatikan lagi Kuyah. Memang ada iras anaknya, Sarimah yang berkahwin dengan Tengku Muzafar.
Kuyah senyum. Ikutkan hati dia nak peluk Nek Tom masa itu juga. Itulah pertama kali dia kenal dengan nenek sendiri.
"Nek..sebenarnya..ni cucu nenek juga. Dia adik Kudin..nama dia Tengku Safiyah." Akhirnya Kudin mula buka rahsia.
Ana Dahlia pantas menoleh ke arah Kudin. Adik Patutlah tadi beria Kudin peluk Kuyah.
"Cucu nenek Patutlah nenek tengok ada iras mak kamu." Tubuh Kuyah dipeluk erat. Nek Tom sudah sebak. Melihat Kuyah samalah dia melihat anaknya yang sudah hilang entah ke mana. Sejak bernikah dengan Tengku Muzafar, Sarimah seperti menghilangkan diri, tidak pernah pulang ke rumah.
"Nenek!!" Kuyah mula menangis di bahu Nek Tom. Terasa kini dia sudah ada saudara yang menyayanginya. Dulu, dia jumpa abang Kudin dan sekarang pula, Nek Tom.
"Kudin..maafkan nenek kerana tidak pernah beritahu Kudin pasal mak ayah Kudin. Nenek sebenarnya malu pada orang kampung.
Mereka tuduh mak kamu gila harta bila bernikah dengan Tengku Muzafar. Mak kamu pula tidak sanggup dihina dan dia tidak pernah pulang selepas itu. Tapi satu hari dia pulang ke rumah, menangis teresak-esak. Rupanya dia sudah bercerai dengan Tengku Muzafar tu dan masa tu dia bawa kamu ke sini. Dia serahkan pada nenek. Masa tu, mak kamu sudah mengandungkan anak kedua. Lepas itu, mak kamu tidak pulang sehingga sekarang. Kuyah..kenapa mak tak datang sekali" Nek Tom pandang Kuyah yang sudah reda esakannya.
"Nenek..mak dah tak ada." Kuyah peluk lagi Nek Tom.
Kudin hanya diam dari tadi. Dia juga tidak sangka akan berjumpa semula dengan adik kandungnya sendiri. Setelah hampir tiga puluh tahun, baru kini dia berjumpa adik sendiri. Itupun setelah ayah meninggal dunia.
Ana Dahlia juga turut merasa hiba dan sebak dan faham perasaan Kuyah ketika ini. Sekian lama terpisah dan tak pernah kenal nenek sendiri, tiba-tiba dapat peluang berjumpa begini, siapa yang tidak sebak.
"Dah la..berehat dulu. Malam nanti kita makan tapi kat sini kena masak sendiri tau. Sayur petik je dari belakang rumah ni. Nanti nenek suruh Kudin tangkap ayam. Kita makan lauk ayam malam ni." Nek Tom cium pipi Kuyah. Dia bersyukur kerana bertemu semula dengan cucu perempuannya.
"Yang ni siapa nama tadi" Nek Tom pandang pula ke arah Ana Dahlia yang diam dari tadi. Dah tua macam ni selalu tak ingat.
"Ana Dahlia nek. Panggil Ana saja." Ana Dahlia berbahasa.
"Hmm..cantik. Bila nak langsung nikahnya"
Ana Dahlia tergamam. Dia pandang Kudin. Kudin dilihat sudah terkebil-kebil di situ.
"Err...nek, nak tangkap ayam berapa ekor" Kudin cuba alih topik.
"Dua ekor!" Nek Tom sengih. Faham sangat dengan sikap Kudin. Bila tak nak jawab tu, cepat saja ubah topik.
Malam itu, mereka berempat menikmati hidangan makan malam bersama. Usai makan dan solat Isyak, Kudin berehat di anjung rumah mengambil angin malam yang bertiup lembut.
"Abang...Kuyah nak tinggal dengan nenek boleh tak" Kuyah duduk sebelah Kudin.
"Macam mana dengan..." Kudin bisik ke telinga Kuyah.
"Oh..tu la. Tak apa..bila semua sudah selesai, Kuyah nak tinggal sini, boleh tak" Kuyah pandang lagi Kudin.
"Boleh." Kudin kenyit mata, matanya sudah menghala ke arah Ana Dahlia.
Ana Dahlia tergamam.
"Saya bukan kenyit mata kat awaklah." Kudin ketawa kecil.
Ana Dahlia mencebik. Perasan betul mamat ni. Aku berlakon ni pun dah cukup baik! Dia mula berfikir, alang-alang dah datang kampung Pinang Patah ni, esok dia akan mula menyiasat. Hari itu dia hanya sempat menyiasat dan mendapat maklumat dari beberapa orang kampung saja. Dia perlu tahu siapa yang mencuri mayat itu.
SENAH yang berada di laman rumah Kudin masih diam membisu di situ. Dia tidak jadi melangkah masuk ke dalam rumah Nek Tom. Dari bawah pokok kelapa di depan rumah Nek Tom, dia nampak jelas Kudin bersembang dengan dua orang perempuan. Tadi dia beria ingin bertemu dengan Kudin sebaik mendengar Pak Mail bercerita hal Kudin yang sudah pulang ke kampung.
"Hish! Siapa pulak minah dua orang tu Kacau daun betullah!" Senah masih di tepi basikalnya. Dia mengetap bibir.
Senah perhatikan kereta kelabu Kudin di laman rumah. Jadi, memang betullah Kudin sudah kaya raya.
"Huh! Baru jadi kaya, dah angkut perempuan balik! Tak apa..aku akan usahakan sampai dapat!" Senah mula kayuh basikal dan meninggalkan laman rumah Kudin.
LAJU Senah mengayuh basikalnya menuju ke rumah Mak Jemah. Hatinya sudah bengkak! Geram! Kayuhannya semakin laju dalam kegelapan malam itu. Dia sudah biasa dengan jalan-jalan di kampungnya. Jadi dia tidak ada masalah untuk ke sana ke mari walaupun pada waktu malam. Ah! Pedulikan apa orang kampung cakap.
Tiba di rumah Mak Jemah, Senah melaung memanggil nama Mak Jemah. Dia lihat di depan anjung rumah Mak Jemah lampu gasolin bernyala. Bermakna Mak Jemah ada di rumah. Sekali lagi dia melaung nama Mak Jemah.
"Hish! Orang tua ni! Dah sakit tekak aku laung nama dia, mana pulak dia ni" Senah laung lagi. Tidak bersahut.
Senah senyum sebaik melihat pintu dikuak. Terjongol Mak Jemah di muka pintu dengan rambut agak tidak terurus. Agak mengerbang. Senah mula fikir yang bukan-bukan. Mak Jemah hanya pakai kain sarung batik dan baju kurung kedah. Berlainan sekali bila keluar berjalan-jalan. Pakai kebaya ketat, bibir merah dengan gincu, rambut pula disanggul tinggi sambil membawa bakul kecil.
"Ada apa Senah kau datang rumah aku malam-malam ni" Mak Jemah laung dari muka pintu.
"Kut ya pun, ajak la saya naik dulu!" Tanpa disuruh, pantas saja Senah melangkah masuk ke dalam rumah Mak Jemah. Basikalnya disandarkan di tepi tangga.
"Alah, buat apa aku nak jemput kau masuk, kau sendiri yang tak malu masuk rumah aku." Mak Jeman sengih. Pintu dibuka semakin lebar.
Senah duduk di atas kerusi rotan yang sudah agak lama dan lusuh. Terkopak sana sini. Dia betulkan duduknya bimbang tercucuk bilah rotan yang terkeluar dari anyaman asalnya. Berterabur.
"Ni, Mak Jemah! Abang Kudin!" Senah melepaskan penat seketika. Mengahnya masih belum hilang.
"Kenapa dengan Kudin"
"Dia dah balik! Tapi bukan dia sorang je, dia bawa sekali perempuan. Bukan sorang tapi dua!" Senah mengetap bibir.
"Perempuan" Mak Jemah turut duduk di sebelah Senah. Digaru punggungnya yang sudah tercucuk bilah rotan.
"Ya, macam mana ni Mak Jemah Saya sayang abang Kudin tu. Perempuan-perempuan tu memang nak sakitkan hati sayalah!" Sekali lagi Senah mencebik.
"Habis, kau nak aku buat apa" Mak Jemah sandar di kerusi rotannya yang sudah berlubang besar.
"Tolonglah saya Mak Jemah. Buatlah apa-apa pun, janji abang Kudin tu suka kat saya. Setahu saya, Mak Jemah kan pandai buat semua tu" Senah kenyit mata.
"Buat apa" Muka Mak Jemah sudah pucat. Dia berpura-pura tidak tahu dan kalih pandangannya ke arah lain. Pandangan mata Senah tadi sudah seperti ingin mengorek rahsianya selama ini.
Senah senyum. Inilah peluangnya untuk tahu apa yang orang tua buat selama ini. Dari dulu dia musykil dengan tindak tanduk Mak Jemah yang berhati-hati bila berkata-kata walaupun segala berita datang darinya juga. Rumah Mak Jemah juga jauh dari rumah penduduk lain. Jarang Mak Jemah terima tetamu.
"Alah Mak Jemah ni, tak faham pulak. Boleh buatkan saya minyak senyonyong" Senah sengih.
"Haish! Tak kuasa aku nak buat benda mengarut tuh! Kau ingat aku ni Tok Moh Cinta ke apa" Mak Jemah mencebik.
"Tak pun..ubah penampilan saya ni. Tadi saya tengok, perempuan di rumah abang Kudin tu, lain benar lagaknya. Boleh tak Mak Jemah" Senah pujuk Mak Jemah yang sudah tersenyum-senyum.
"Kenapa senyum Senah garu kepala.
"Nak ubah macam mana lagi Dulu aku dah ajar kau pakai macam aku. Pakai kebaya biar nampak bentuk badan lentik tu, rambut disanggul, pakai gincu. Ni tidak! Kau tetap dengan baju kurung selebeh kau tu! Dah tu, rambut kau tocang dua! Jantan mana yang nak!" Mak Jemah sengih lagi.
Senah turut senyum. Memang dia selesa dengan cara seperti itu.
"Kali ni aku tolong kau. Nanti kejap." Mak Jemah bingkas bangun dan beredar ke bilik.
Senah sudah tersenyum lebar di ruang tamu. Dia hanya memerhati Mak Jemah masuk ke dalam bilik. Sementara menunggu orang tua tu dalam bilik, Senah mengambil peluang melihat-lihat sekitar ruang tamu Mak Jemah. Banyak barangan lama dan sudah agak berhabuk. Matanya tertancap pada sebuah cermin antik yang berukir di sekelilingnya tergantung di satu sudut. Lama dia memerhati cermin itu yang pada hemahnya cukup besar. Boleh nampak seluruh tubuh!
"Hmm..pelik betul cermin tu.." Senah menghampiri cermin itu dan mula melihat imej dirinya sendiri. Dia senyum. Terasa muka dan badannya bak model dan peragawati.
"Hmm..pelik ni. Cantik la pulak aku ni. Kenapa abang Kudin tak suka aku" Senah perhati lagi imej dirinya di dalam cermin itu. Tiba-tiba dia merasa ada satu keanehan berlaku. Imej dirinya dalam cermin itu sudah berubah rupa.
Seolah sedang merenung tajam ke arahnya. Cepat-cepat dia beredar dari situ dan duduk semula di kerusi.
"Seram aku. Mana dia dapat cermin pelik tu" Mata Senah masih pada cermin tadi. Dia pandang pula ke arah lain. Ada satu bilik yang di muka pintunya diletakkan kain kuning dan kain merah diselempangkan kiri dan kanan di pintu bilik itu.
"Bilik apa pulak tu" Senah berkerut kening. Teringat karung guni yang dia nampak dulu di bawah rumah Mak Jemah. Tak apa, selepas ini dia akan mengintai lagi.
Mak Jemah keluar dari biliknya dan menghampiri Senah yang masih duduk di situ. Dia senyum meleret.
"Nah! Kau pakai ni!" Mak Jemah menghulurkan sepasang kebaya merah, gincu, penyucuk sanggul dan juga tiga kuntum bunga melur.
"Err..pakai semua ni ke" Senah garu kepala.
"Ya. Dan kau kena yakin. Balik nanti, kau mandi dan pakai baju tu, gincu dan bunga melur tu..kau tengok kat depan cermin. Nanti kau akan rasa puas hati." Mak Jemah menjelaskan kepada Senah.
"Err..tapi kan dah malam. Esok jelah.." Senah masih ragu-ragu.
"Tulah kau! Aku nak tolong, kau pulak terkebil-kebil macam tu. Ni yang malas aku nak tolong perempuan macam kau ni!" Mak Jemah mencebik.
"Yalah! Nanti saya buat apa yang Mak Jemah suruh tadi." Senah muncung.
"Macam tulah." Mak Jemah sengih.
"Tapi...berkesan ke nanti Maksud saya, abang Kudin akan sukakan saya ke nanti" Senah garu lagi kepalanya.
"Kau pakai dulu. Memanglah benda ni ambil masa sikit. Takkan hari ni makan ubat, esok dah sembuh" Mak Jemah jeling Senah yang seperti ragu-ragu.
Senah sengih. Dia mula minta diri.
Mak Jemah hanya memerhati Senah tersenyum-senyum menuruni anak tangga rumahnya. Dia mula tutup pintu. Nampaknya Senah sudah memudahkan kerjanya. Tidak perlu mencari perempuan lain lagi. Mak Jemah senyum meleret.
Senah masih berada di tepi tangga. Baju yang diberi oleh Mak Jemah tadi diletakkan dalam bakul basikal. Dia pandang ke arah pintu tadi. Pintu itu sudah ditutup. Perlahan Senah menapak ke bawah rumah Mak Jemah. Dia mencari-cari karung guni yang dilihat dulu.
"Mana pulak karung guni tu" Meliar matanya mencari.
"Oi! Senah! Kau buat apa lagi kat bawah rumah aku tu"
Tersentak Senah mendengar suara Mak Jemah. "Ma..macam mana dia tahu aku ada kat sini"
Senah sudah pucat mukanya. Dia terus kayuh basikal dan meninggalkan kawasan rumah Mak Jemah.
DARI satu sudut, di bawah pokok kelapa, Zarina memerhati perlakuan Senah di rumah Mak Jemah. Dia menghampiri rumah Mak Jemah perlahan-lahan. Dia cuba mencari karung guni itu lagi di segenap ceruk. Nampaknya karung guni itu sudah tidak ada di situ.
"Haih..macam mana aku nak cari ni Takkan nak tanya orang tua sewel tu" Zarina mencebik.
Tiba-tiba angin bertiup kencang seketika. Pokok bunga di kawasan rumah Mak jemah bergoyang-goyang. Zarina menahan matanya yang terasa pedih dek termasuk habuk yang dibawa angin kuat tadi. Bila dia buka mata, dia terkaku di situ. Terkejut melihat apa yang berada di depan matanya. Satu susuk tubuh yang seiras wajahnya dan sama dengan baju yang dipakainya. Dia genyeh mata berkali-kali.
"Kau siapa" Zarina beranikan diri bertanya.
Susuk tubuh itu diam dan merenung tajam ke arah Zarina.
Zarina seolah kena pukau. Kakinya tidak berganjak dari situ. Dia lihat susuk tubuh itu lagi. Sama sepertinya, baju kebaya merah, rambut disanggul dan ada bunga melur yang diselit di kiri rambut. Pelanduk dua serupa ke Susuk tubuh itu dilihat sudah bertukar menjadi kepulan asap dan terbang ke udara. Dia segera melangkah laju meninggalkan kawasan rumah Mak Jemah bila terasa kakinya sudah boleh bergerak.