KARKUMA - 7
KARKUMA sudah semakin lega menerima kenyataan pemergian orang tua Labot yang dikasihinya itu. Bagaimana pun, ketika berbual-bual dengan pokok-pokok bunga di halaman rumahnya lewat petang itu, dia ternampak Dongga masuk ke rumah Nanang. Hatinya berasa seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Jika sekali Dongga ke situ, atau sekali-sekala, masih tidak hairan, tetapi apabila setiap hari dia ke rumah Nanang, ia menimbulkan kecurigaan di hati Karkuma. Masuk hari ini sudah sebelas hari berturut-turut Dongga ke situ. Karkuma hairan dan mengesyaki ini pasti ada kaitan dengan Ketua Jameng. Perkara ini sudah menjadi perbualan hampir semua jiran tertangga terutama sekali Mak Mandeh dan menantunya, Saruni.

Selama ini Mandeh memang tidak sukakan Nanang. Dia mengesyaki Nanang meletakkan sesuatu dalam minuman jus nenas putih yang menyebabkan Sirehpani pengsan tempoh hari. Mandeh yakin kerana sejak peristiwa itu, Nanang langsung tidak menjenguk Sirehpani. Dan sejak itu juga, Mandeh mengintip segala gerak-geri Nanang. Dalam pada itu, dia perlu berhati-hati dengan semua jiran-jirannya, bimbang kalau mereka ketahui di rumahnya ada Al-Qufli, orang perantauan.

Karkuma jiran terdekatnya pun tidak tahu. Cekal juga wanita yang bernama Mandeh ini. Mandeh ada seorang kakak bernama Wandeh, yang merantau jauh ke negara Yemen, berkahwin dengan orang sana dan menetap dengan suaminya di Al- Mukalla, Yemen. Al-Qufli ialah kenalan suami Wandeh, berasal dari sana juga.

Rindunya Wandeh untuk pulang ke Pulau Nabui tetapi kisah silamnya tidak mengizinkan dia kembali. Hampir 30 tahun dahulu, Wandeh adalah salah seorang pemberontak, menentang polisi kerajaan yang tidak membenarkan rakyat tempatan berkahwin dengan orang dagang. Demi cinta, Wandeh lari meninggalkan tanah air ke negeri orang. Jika dia didapati berpijak semula ke Pulau Nabui, dia pasti dihukum bunuh. Maka untuk mengubat rindunya pada keluarga, Wandeh mengamanahkan Al-Qufli ke rumah adiknya Mandeh, satu-satu keluarganya yang masih ada.

Al-Qufli ibnu Al-Jabaar, 56 tahun, seorang sufi. Beliau merantau di merata-rata negara menyebarkan ajaran Arshi iaitu penganut yang percayakan Tuhan, bukan berhala, dan Tuhan berada di langit. Kini Al-Qufli merantau ke daerah Asia Tenggara, termasuk Jajahan Nabui atas tujuan sama. Kebetulan Al-Qufli fasih bertutur berbagai bahasa, termasuk berbahasa Nabui dan tahu budaya Nabui yang dipelajarinya daripada Wandeh di Yemen.

Tuk Pagai pula bukan sembarangan orang, orang tua ini adalah bekas hulubalang istana, 25 tahun yang lalu. Tuk Pagai sering menemani maharaja berburu di hutan dan sudah berekor-ekor harimau mati di tangannya. Teggal anaknya, bekerja di Istana Bijinga sebagai tukang kebun di bawah asuhan Karkuma. Karkuma banyak menurunkan ilmu tukang kebun kepada Teggal sewaktu bekerja di Bangkir Ghadabi.

Nama-nama pokok, keturunan pokok, kegemaran pokok, cara-cara menyuburkan pokok, cara mengahwinkan pokok, cara melebatkan buah dan bunga di pokok dan macam-macam lagi adalah kelebihan Karkuma yang diperturunkan kepada Teggal. Tumbuh-tumbuhan hidup dan ada perasaan, katanya.

Setiap petang Karkuma berada di laman rumah Tuk Pagai, melayan pokok-pokok bunga di situ sambil sesekali memerhati ke arah rumah Nanang, kalau-kalau dia dapat membaca apa yang sedang berlaku di dalam rumah Nanang. Tetapi kesudahannya, apa yang berlaku di dalam rumah Tuk Pagai pula yang menarik perhatian Karkuma.

Tuk Pagai sering menasihati isterinya, Mandeh supaya jangan terlalu jaga tepi kain orang. Tetapi pada petang itu, apabila topik perbualan mencetuskan isu Nanang dan Warak Dongga, Tuk Pagai seakan-akan menelan semula kata-katanya. Sedang mereka minum petang, Tuk Pagai tertanya-tanya, Saban nengar Warak Dongga bertandang di pondok Nanang belakangan inen..hemm

Isyy, usah dijaga tepi kain orang... Mandeh tersengih menyindir suaminya dalam gurauan.

Pesan guru Qufli, kalu cakap usah bolak-balik, Dianya marah, kata Tuk Pagai sambil tersenyum pada isterinya, kemudian memandang Al-Qufli di sebelahnya.

Al-Qufli membalas senyum sambil mengangguk. Saruni pun tumpang tersenyum.

Teggal belum pulang. Dia memang sering pulang lewat, maklumlah masih baharu bekerja di Istana Bijinga. Tumpuan harus diberi sepenuhnya pada taman bunga istana hingga taman di rumah sendiri tidak terurus.

Mandeh, hidup kami tambah bahagia, sejak guru Qufli ada, ya dak Kata Tuk Pagai sambil mencuci tangan di mangkuk pencuci tangan.

Hmmm...ya, tenang jawab Mandeh.

Saruni mengangguk setuju pendapat ibu dan ayah mertuanya, bahawa mereka sekeluarga makin bahagia sejak kehadiran Al-Qufli di rumah mereka. Kemudian dia tersenyum-senyum hendak berkata sesuatu yang tersimpan di hatinya.

Emak...ada hal yang ingin daku cakap kepada emak. Saruni berdiam seketika sambil tersenyum. Tuk Pagai dan Mandeh terkedu-kedu. Daku mengandung, kata Saruni. Berita kehamilan Saruni amat mengembirakan mereka.

Betul nen, wahai anak ku Tanya Mandeh dengan penuh teruja.

Mmm...udah tiga kali berlalunya bulan purnama. Kata Saruni.

Mandeh tersenyum gembira. Tuk Pagai tiba-tiba bangun membuka langkah, seperti bersilat, sesekali menari pun ada, sambil berdondang sayang tanda gembira. Riuh rendah sepasang suami isteri yang bakal jadi nenek dan datuk.

Lama juga Al-Qufli dan Saruni menanti mereka senyap. Dan mereka tersengih sampai ke telinga memandang wajah satu-satunya menantu yang mereka ada. Sudah lama Tuk Pagai dan Mandeh menunggu berita hebat ini.

Apabila suasana tenang, Al-Qufli mendongak mengangkat kedua telapak tangan dan berkata, Wahai Dewa Arshi, daku memanjat kasih kepada kesaktian mu yang maha besar. Al-Qufli mengusap tangan ke mukanya.

Mangaseh guru Qufli atas air jampi utu, sejak meminumnya Saruni kini udah mengandung. Kata Tuk Pagai pada Al-Qufli sambil bersalaman dengannya.

Mangaseh, kata Mandeh pula.

Jangan daku diagungkan sebegitu rupa. Panjatkanlah rasa kaseh utu kepada Dianya, Dewa Arshi. Jawab Al-Qufli, dan kemudian beredar dari meja makan, menuju ke tempat biasa dia duduk bertafakur di ruang tamu rumah itu.

Tuk Pagai, Mandeh dan Saruni terdiam. Sebelum ini Al-Qufli memberi syarahan kepada mereka tentang agama baharu yang hendak disebarkan kepada orang-orang Nabui. Tetapi tidak pula mereka berasa seperti yang sedang mereka rasa di saat itu. Kedinginan dan tubuh mereka menjadi segar.

Namun, mereka was-was untuk menerima kepercayaan baharu tentang Tuhan yang dihujahkan oleh Al-Qufli itu. Mereka bertiga masih kuat dengan ajaran Huku yang menyembah berhala, kecuali Teggal yang makin pudar kepercayaannya terhadap ajaran Huku. Namun, kepercayaan Teggal terhadap agama yang dibawa oleh Al-Qufli masih terapung-apung untuk difahaminya.

Tiba-tiba pintu rumah Tuk Pagai bergegar di ketuk dari luar. Kuatnya bunyi menakutkan mereka anak-beranak. Jika Teggal yang baharu pulang, dia tidak pernah mengetuk pintu dengan kuat sebaliknya dia akan memanggil Saruni dengan lembut.

Al-Qufli yang sedang bertafakur, bergegas masuk tempat dia biasa bersembunyi. Sekali lagi pintu bergegar dan kali ini bunyi ketukan diikuti dengan bunyi suara; Tuk Pagai! Kuma nen yang datang, Tuk Pagai!

Lega sungguh perasaan Tuk Pagai mendengar suara Karkuma. Dia bergegas membuka pintu. Rupanya tanpa mereka sedari, dari tadi Karkuma secara tidak sengaja ada mendengar semua perbualan mereka. Walaupun samar-samar tetapi cukup untuk dia ketahui bahawa di dalam rumah Tuk Pagai ada orang yang tidak dikenali.

Hmm..apa akan halnya, Kuma Tuk Pagai menyapa di depan pintu rumahnya, hairan.

Maaf akan hamba, Tok Pagai. Agan hamba ke sini dak usah dijanggal, kata Karkuma sambil menjengah ke dalam rumah.

Mmm...sila, Tuk Pagai memberi ruang di muka pintu untuk Karkuma masuk.

Tatkala menyiram pepokok di laman Tuk Pagai, hamba dengar adanya suara riuh tawa, dari luar, Karkuma duduk bersila penuh bersemangat, sembangnya penaka kenaan dewata. Sapa gerangan beliau utu Panjang lebar Karkuma memberi penjelasan sambil bertanya.

Jenuh lidah ku untuk cakap akan hal inen, Kuma. Dikau tanya akanlah kepada Mak Mandeh, Tuk Pagai memandang Mandeh. Fikiran Mandeh celaru memikirkan bagaimana hendak menghadapi keadaan itu. Hendak menipu, dia tidak tergamak. Hendak didedahkan kebenaran, mungkin berbahaya.

Layur padahnya kalu kami bagitau Kuma pasal guru Qufli Bisik Mandeh pada suaminya.

Mendengar nama Al-Qufli disebut, Karkuma makin yakin tekaannya benar bahawa ada orang asing di rumah Tuk Pagai.

Benar akanlah hamba bersua dengannya, Tuk Pagai, pinta Karkuma sambil memandang sekeliling rumah.

Saruni sudah lama masuk ke biliknya, tidak sanggup berdepan dengan keadaan di situ. Karkuma masih menunggu jawapan Tuk Pagai tetapi orang tua itu masih terus berdiam diri.

Terpaut hati hamba kala mana mendengar labunan kenaan dewa-dewa, Karkuma menatap tepat ke wajah Tuk Pagai.

Haru-biru perasaan Tuk Pagai. Tiba-tiba kedengaran suara Teggal memanggil dari luar. Teggal baharu pulang dari tempat kerjanya di Istana Bijinga.

Sepanjang malam Teggal, Karkuma dan Al-Qufli berbual, bercerita dan berbincang tentang ajaran Arshi. Teggal nampaknya sudah mula tertarik dengan agama itu. Selama beberapa minggu Al-Qufli berada di rumahnya, Teggal mempelajari banyak perkara mengenai ajaran Arshi. Dia sangat tertarik cuma belum menghayati sepenuhnya untuk memeluk agama itu.

Misalnya idak ada patung sandaran tatkala acara sembah dewata, maka sapa yang mendengar bisik sembah dari kami Tanya Karkuma.

Dewa Arshi sendiri yang mendengar. Dianya berada nun di langit sana, Dianya nampak segala tingkah laku setiap makhluk yang berpijak di bumi, termasuk tumbuh-tumbuhan dan makhluk halus. Bersungguh-sungguh Al-Qufli memberi penjelasan, kemudian sambung berhujah, Suatu lagi kedambaannya adalah keikhlasan hati manusia. Dianya saja yang boleh nampak dan dengar keikhlasan dari dalam hati segala makhluk, Al-Qufli berhenti penuh bersemangat.

Apa utu ikhlas Karkuma bertanya.

Sifat manusia yang suci hatinya, idak mengharap balasan sesudah berbuat baik untuk manusia lain, kerana Dianya yang akan memberi habuan kepada manusia yang ikhlas. Jawab Al-Qufli penuh tenang. Si pedagang yang menumpang di rumah Tuk Pagai itu penuh ikhlas melayan kerenah Karkuma.

Tapi kalu idak nampak apa-apa antara kami dengan dewa di langit, dari mana datang akannya untung nasib kami Idak mentak kami hadap Dewa Arshi kalu idak nampak dianya di depan mata Karkuma bertanya lagi dengan bersungguh-sungguhnya.

Dikau dak akan nampak Dianya dengan mata, tapi dikau boleh lihat Dianya dengan jiwa, yakin Dianya ada dekat mana-mana dikau mau Dianya berada. Al-Qufli habiskan kata-katanya di situ dengan perlahan dan penuh kesabaran. Teggal yang asyik tercengang-cengang, kagum mendengar soalan Karkuma.

Mudahnya Dewa Arshi bagi apa yang diminta Ada lagi pertanyaan dari Karkuma rupa-rupanya.

Ya, pada manusia yang berhati mulia. Sesungguhnya Dewa Arshi utu agam memberi, jawab Al-Qufli pula, beriya-iya meyakinkan Karkuma.

Boleh gamaknya dengan mudah utu daku tanam keikhlasan dihati daku untuk Dianya Tanya Karkuma dengan penuh kemusykilan.

Manusia lahir dengan adanya hati, yang dikawal oleh dirinya sendiri. Kendatipun baik atawa jahat, Al-Qufli jawab dengan tenang tanpa sedikit pun berasa jemu dengan pertanyaan bertalu-talu Karkuma.

Masih banyak yang belum daku reti pasal ajaran Arshi, tapi labunan Aba Kuma dengan guru Qufli tadi, membuat daku tambah reti. Teggal berkata dengan penuh teruja.

Al-Qufli mengangkat kedua tangannya lalu diusap ke muka, tanda bersyukur. Kemudian dia bangun dan berkata; Semoga keikhlasan datang menjenguk ke hati kalian untuk sambut ajaran Arshi. Dan jikalah diizin akan daku untuk berundur dari sini dulu, ya Dia bersalaman dengan mereka, dan beredar masuk ke bilik tidurnya.

Karkuma terpukau dengan keindahan budi Al-Qufli dan bahasanya. Indah budi guru Qufli, sama dengan cakapannya, ya Tenggal kata Karkuma sambil dia berpandangan dengan Teggal seketika sebelum dia pun bangun dari tempat duduknya minta diri untuk pulang dengan penuh budi bahasa.

Izin akan daku untuk berundur dari sini dulu, ya Tersengih-sengih Teggal menyambut salam dari Karkuma. Banyak perkara baharu mereka pelajari dari Al-Qufli melalui perbualan mereka yang berlarutan hingga menjelang pagi.

Esok kami sambung mengaji, ya Aba Kuma! Ucap Teggal mengiringi Karkuma ke pintu.

Bahagia hendaknya, dikau yang bakal jadi ayah. Balas Karkuma sambil tersenyum kepada Teggal. Tiba-tiba Teggal berbisik sesuatu pada Karkuma, Tengok sana! Wajah Teggal terkejut sambil menuding ke arah rumah Nanang. Karkuma pun menoleh.

Jom! Kami intai, Karkuma tarik lengan Teggal, mereka sembunyi di tepi rumah Tuk Pagai, menghadap rumah Nanang.

Mereka nampak Dongga dan Langkus memimpin Ketua Jameng masuk rumah Nanang.

Cakah tekaan ku, ada petaka di pondok Nanang utu bersabib dengan Jameng. Pernah emak labun akan hal Warak Dongga selalu bertandang di sana, bisik Teggal pada Karkuma, sambil tekun memerhati rumah Nanang.

Domplangan nampaknya Ketua Jameng. Patut daku intai dema. Idak belabik Ketua Jameng diusung segitu. Kejan hati ku ingin tau. Karkuma mendesak.

Berjaga-jaga, Aba Kuma, Teggal berpesan.

Karkuma melangkah kaki dari rumah Tok Pagai, perlahan-lahan sambil sembunyi-sembunyi menuju ke rumah Nanang. Dia memberanikan dirinya kerana bertekad untuk mengikuti segala perkembangan Jameng. Dia masih ingat, sejak Ketua Jameng tidak benarkan dia bertemu Ketua Labot sebelum orang tua itu mati, dan setelah orang tua itu mati pun, Jameng tetap mengharamkan dia daripada melihat mayat Ketua Labot. Bukan itu sahaja, Jameng juga melontarkan kata-kata nista serta penghinaan pada dirinya dan menghalau dia dari bangkir seperti anjing.

Dari pekarangan rumah Nanang, Karkuma mengintip tingkah laku Jameng, Dongga, Langkus dan Nanang. Tidak menjadi masalah baginya mengintai dan mendengar perbualan mereka di dalam rumah yang dinding rumahnya hanya diperbuat dari kayu belebas dan daun nipah. Lagipun, di tengah malam sunyi begitu tentunya segala bunyi akan jelas kedengaran, baik dari dalam rumah atau dari luar rumah.

Karkuma mengintip penuh berhati-hati tanpa disedari oleh mereka yang berada dalam rumah Nanang itu. Tidak semua gelagat mereka dapat dilihat melalui lubang kecil di dinding, tetapi hampir semua perbualan mereka dapat didengar walaupun ada bunyi bising cengkerik dan sesekali bunyi burung belatuk tetapi itu semua tidak mengganggu Karkuma. Lebih dua jam Karkuma mundar-mandir di setiap sudut luar rumah Nanang. Setiap detik perbualan didengarnya dengan tenang. Banyak rahsia kejahatan Ketua Jameng terbongkar.

Rahsia bahawa Jameng mengupah Hakap dan Balungga meracun semua pokok-pokok di Taman Bangkir Ghadabi turut terbongkar. Kesudahannya, Balungga jadilah orang merempat. Hakap yang cuba melawan Jameng akhirnya disihir menjadi manusia jadi-jadian keldai.

Rahsia Ketua Labot diberi minum racun hingga maut juga terbongkar ke telinga Karkuma malam itu. Pedih hati dan telinga Karkuma mendengar nasib Ketua Labot. Tetapi kemudian, ada lagi rahsia besar terbongkar yang lebih memedihkan perasaan Karkuma, iaitu tentang isterinya. Rupanya Sirehpani turut jadi mangsa aniaya Jameng.

Jameng rupanya ialah pemuda yang meminang Sirehpani tetapi ditolak kerana Sirehpani lebih dahulu telah bertunang dengan Karkuma. Sejak saat itu, Jameng mengupah Nanang buatkan minuman beracun untuk diberi minum kepada Sirehpani. Tujuannya ialah untuk merosakkan saluran peranakan supaya Sirehpani tidak boleh hamil. Itulah dendam kesumat Jameng terhadap Karkuma dan Sireh sejak mereka menjadi suami isteri. Mati hidup balik, Jameng tidak akan biarkan mereka hidup bahagia.

Memang tepat sekali sangkaan Mandeh bahawa Nanang meletakkan racun di dalam minuman Sirehpani tempoh hari hingga dia pengsan sakit perut.

Menitis air mata Karkuma mengenangkan nasib Sirehpani yang selama ini dianiaya Nanang, sahabat karibnya.

Aduhai...idak patut adanya daku intai persetua utu tadi, ghair kesal sudahannya. Bisik Karkuma di dalam hatinya yang sedang luka bagai diguris-guris sembilu.

Karkuma tersandar pada tiang rumah, memaksa dirinya menelan segala penderitaan. Batinnya menjerit-jerit. Tetapi dia puas kerana persoalan mengapa Dongga berulang-alik ke rumah Nanang selama ini sudah terjawab.

Padan muka Jameng dicekik racun dewek, bisik Karkuma lagi. Dan baharu dia ketahui, Nanang selama ini sebenarnya bukan sahaja pakar masak tetapi juga pakar membuat racun dan pelbagai ubat guna-guna yang jahat.

Jameng gembira arahannya selesai dilaksanakan, dihulurnya upah lumayan berupa secangkir wang emas dan secangkir wang perak kepada Nanang.

Esoknya pagi-pagi lagi Karkuma sudah ceritakan kepada Sirehpani peristiwa di rumah Nanang malam tadi. Bersungguh-sungguh dia ceritakan satu persatu, segala-gala yang dia dengar. Termengah-mengah nafas Sirehpani mendengar cerita yang sangat memeranjatkan itu. Sungguh tidak disangka Nanang memberinya minum racun selama ini.

Yayi dak akan lagi bagi izin si Nanang berpijak kakinya di rumah kami inen, luah Sirehpani yang marah dan kemudiannya menangis teresak-esak seperti orang kena sampuk.

Apa kenanya wahai kekasih ku nangis Tanya Karkuma cemas.

Yayi terharu. Mangaseh pada sang dewata bagi yayi sorang laki yang baik, tersedu-sedan Sirehpani memeluk suaminya.

Karkuma yang turut rasa terharu dan berkata, Mangaseh pada yayi sebab terima awok yang sebegininya. Kata-kata Karkuma itu telah mengukir senyuman pada bibir Sirehpani, dan kegembiraan pada wajahnya.

Girang adanya hati awok, tengok yayi tersenyum, kata Karkuma yang juga gembira dan rasa cemburu terhadap pemuda yang pernah menambat hati Sirehpani kira-kira 20 tahun dahulu, kini dalam sekelip mata hilang. Sekarang dia percaya Sirehpani tidak pernah menyintai mana-mana lelaki selain dia.

Mula harinen, kami lupa akanlah segala yang pahit, ambil yang manis. Awok tau di mana ada yang manis. Kata Karkuma

Di mana Tanya Sirehpani tersenyum manja.

Mari yayi ikut awok. Karkuma berpimpinan tangan mengajak Sirehpani menuju ke rumah Tuk Pagai. Hairan juga Sirehpani dengan apa yang Karkuma maksudkan di rumah Tuk Pagai ada cerita manis.

Setelah berada di rumah Tuk Pagai dan berkenalan dengan Al-Qufli baharulah Sirehpani mengerti. Ketika mereka sampai Al-Qufli berada di atas sebuah tikar kecil di suatu sudut rumah menghadap dinding, sedang bertafakur mengikut ajaran Arshi. Karkuma hendak menegur Al-Qufli tetapi Tuk Pagai berpesan jangan ditegur dahulu.

Karkuma perhatikan gerak geri Al-Qufli dengan teliti, hingga beliau selesai bertafakur. Kemudian Al-Qufli pun menjelaskan kepada Karkuma, apa yang dilakukannya sebentar tadi ialah cara bersembahyang mengikut ajaran Arshi.

Pabila selesai segala kalimat sumpah diucap tika bertafakur, maka mohonlah apa yang dihajati, kerana takkala utu segalanya ghair antara dikau dengan Dewa Arshi. Satu penjelasan daripada Al-Qufli mengenai cara sembahyang dan sekali gus menjawab semua soalan dari Karkuma.

Karkuma semakin tertarik dengan kefahaman ajaran Arshi, tetapi masih belum bersedia mempercayai sepenuhnya. Dalam pada itu, hatinya juga sudah mula mempersoalkan kebenaran ajaran Huku yang dianutnya selama ini. Sedikit sebanyak kejahatan Warak Jameng dan warak-warak Huku lain, mengganggu fikirannya.

Karkuma berbisik di dalam hatinya, Apa salahnya Ajaran Arshi Dianya menyuruh penganutnya berbuat baik. Setelah puas berfikir, Karkuma pun mengajak Sirehpani beredar dari rumah Tuk Pagai.

Pada sebelah petang, Karkuma bersendirian bertandang lagi ke rumah Tuk Pagai. Dia serius ingin mendalami ajaran Arshi dari Al-Qufli. Nampaknya mereka berdua semakin tertarik dengan agama itu. Sedikit sebanyak Tuk Pagai dan Mak Mandeh juga semakin memahami kehendak ajaran itu. Cuma apabila mereka cuba membandingkannya dengan ajaran Huku, mereka keliru mengenai keikhlasan yang dituntut oleh ajaran Arshi.

Bagi mereka ajaran Arshi tidak ada keajaiban, tidak ada sihirnya, tidak ada tahyulnya, tidak ada apa-apa yang menakjubkan kecuali bahawa Tuhan di langit Maha Kaya dan boleh memberi segala kenikmatan pada manusia di bumi. Mereka masih menuntut supaya diadakan bukti untuk menerima ajaran Arshi dengan hati yang rela.

Kalu ada bukti depan mata, tentunya dan-dan manusia akan terima ajaran Arshi, maka adakah keikhlasan tika utu. Al-Qufli terangkan dengan jelas, cuba renungkan antara batu dan Dewa Arshi, kami nampak batu, tapi batu dak nampak kami. Dewa Arshi kami dak nampak, tetapi Dianya terlihat melalui hati kami, Tercengang Karkuma, Teggal dan Tuk Pagai mendengar kata-kata itu dari Al-Qufli yang sentiasa kelihatan tenang.

Kemudiannya Al-Qufli berkata dengan lembut dan lebih teratur, mengkema ingat, tika Maharaja Sutan Ghazid masih hidup, Mahligai Bijinga nantiasa bercahaya, tetapi sesudah maharaja utu mati, seluruh Pulau Nabui hilang seri. Kendatipun Sutan Lembayung diganti jadi Maharaja, tetapi suasana Pulau Nabui terus kelam...apa sebabnya Karkuma, Teggal dan Tuk Pagai hanya memandang antara satu sama lain tanpa berkata apa-apa.

Maka Al-Qufli pun menyambung lagi hujahnya, kerana kepimpinan Maharaja Sutan Lembayung kuku besi, idak seperti mendiang ayahnya yang saksama. Rakyat tentu hidup gembira kalu penghulunya ikhlas menyalur semangat kedamaian untuk rakyat dan negerinya. Tapi kini Pulau Nabui pudar, padahal Sutan Lembayung Maharaja yang perkasa, dan warak-warak pun berbilang Al-Qufli memandang ke arah mereka satu persatu menunggu jawapan.

Sebab kepimpinan Sutan Lembayung serta Ketua Warak Jameng idak ada keikhlasan. Dema idak ada semangat kedamaian untuk rakyat dan negerinya. Jawab Karkuma dengan berani. Teggal dan Tuk Pagai hanya tersenyum.

Betul, kata Al-Qufli. Mereka berehat sebentar meneguk minuman masing-masing, kemudian Al-Qufli menyambung hujahnya yang masih ada, Dalam ajaran Arshi, selain semagat, cahaya juga datangnya dari Dewa Arshi. Di perantaraan langit dan bumi ada alam semesta yang perjalanannya diatur oleh cahaya. Cahaya Arshi yang melemparkan jauhari kehidupan di muka bumi inen. Tiba-tiba Al-Qufli tersedak beberapa kali, hingga membimbang mereka yang ada di situ.

Maafkan daku... sambung Al-Qufli dan belum sempat sesiapa bertanya, dia berhujah lagi, Sejak berzaman makhluk yang dipanggil manusia sering berubah-ubah kepercayaan terhadap ilmu ketuhanan. Idak ada salahnya kalu penduduk Nabui inginkan perubahan mulai sekarang. Sekelumit cahaya Arshi telah termateri di dalam sinar matahari dan terus menuju ke cahaya bulan, yang wujud sebelum lahirnya manusia. Al-Qufli tarik nafas lega setelah kesemuanya diperjelaskan dengan tenang dan terang. Karkuma, Teggal dan Tuk Pagai terpegun. Keyakinan terhadap ajaran Arshi makin tergambar pada wajah mereka. Walaupun susunan bahasa Al-Qufli agak berbeza sedikit dari yang biasa tetapi mereka faham setiap maksud perkataan Al-Qufli itu.