Dhiya membuktikan jika berkehendak sesuatu dia akan berusaha keras melampaui semangat survival orang dewasa. Apabila aku mula berniaga usaha sama dengan Dhiya, aku tidak menjangka kami akan bermula dengan serius. Kerana aku sendiri bermula dengan main-main atas desakan ibuku. Dalam banyak keadaan, kita selalu mengambil mudah nilai sesuatu kepada orang lain. Tetapi kali ini aku tidak berani memandang enteng apabila Dhiya membuat senarai panjang barang-barang yang mahu dimilikinya.
Begitu juga dengan perniagaan kami. Selepas
Dhiya membuat analisis modal dan projeksi keuntungan dengan bantuan Lim, kami membuat satu pelan jangka panjang. Apa yang harus dijual, proses pengeluaran dan lokasi jualan. Kami membuat keputusan untuk mengeluarkan resepi popiah Melayu air tangan ibuku daripada senarai. Kami meminimumkan resepi untuk memfokuskan jualan dan cuma membuat dua jenis kuih.
Cucur udang ibuku yang mengerutup rangup dan terkenal itu masih di dalam senarai dan resepi baru akan dibuat Dhiya bersama ibunya. Popiah nyonya. Popiah ini seperti namanya. Resepinya diambil daripada sebuah keluarga Cina Jalan Bunga Raya. Antara sebab kami tidak lagi membuat popiah ala Melayu kerana sejarah popiah itu sendiri berasal daripada tanah besar keluarga kebanyakan Fujian and Chaozhou. Maka Dhiya memberi usul supaya mengikut resepi asal. Aku terus setuju. Hormat dengan pendapat Dhiya, aku menyedari betapa pentingnya perkahwinan budaya dan gaya hidup di bandar pelbagai bangsa ini.
Memandangkan Dhiya mahu mengekalkan resepi asal, Lim memperkenalkan kami kepada seorang lelaki Cina yang hanya membuka gerai di Jalan Bunga Raya. Menurut Lim popiahnya paling terkenal di situ. Kami hanya menurut Lim tanpa menyedari selepas bertahun-tahun kemudian, popiahnya itu bukan sahaja paling terkenal di situ, malah seluruh Malaysia walaupun masih lagi berteduh di gerai kecil. Kalau kau ke seberang Madam Kings, kau akan bertemu lelaki ini atau warisnya membuat popiah nyonya dengan tekun teliti kerana pada hari ini, popiah istimewanya itu bernilai mahal sehingga RM 3.50 setiap satu. Kami memanggilnya Uncle Chen.
Sekali lagi aku takjub apabila Lim meminta lelaki itu mengajarkan kami bagaimana membuat popiah itu, lelaki itu dengan senyum ikhlas senang hati mengajar.
Malah memanggil kami dengan kata aluan yang hangat sekali.
Mari anak-anak. Mari. Lama sudah wa tunggu lu olang datang. Duduk sini! Chen lantas menarik beberapa bangku untuk kami duduk mengelilingi sambil melihat demonstrasi.
Aku dan Dhiya memandang sesama sendiri. Aneh sekali. Lim mungkin belajar kuasa menyihir seperti Dhiya dan boleh meminta sesiapa pun menolongnya. Seolah-olah menyatakan bahawa peniaga sepertinya tiada perlu rahsia berkongsi keindahan rasa makanan. Mungkin juga dia tahu kami anak Melayu bagaimanapun terpaksa meminda resepi istimewanya yang diletakkan sedikit bumbu asli daging babi. Tetapi kami sedar, prejudis terhadap babi dan mata sepetnya tidak boleh menjadi batu penghalang menimba ilmu dan menjalin semangat setiakawan.
Hakikatnya, sehingga itu aku dan Dhiya langsung tidak menyedari rentetan pertolongan mendadak daripada penduduk Cina Hokkien seberang sungai bukanlah kebetulan semata-mata. Mereka rupa-rupanya telah mendengar pertolongan Dhiya kepada keluarga Geok dan dengan pantas kisah luar biasa itu berlegar di sekitar mereka. Jika Dhiya menyedari pertolongan kecilnya dianggap begitu besar di kalangan komuniti Hokkien, pasti dia tidak akan memandang enteng kebolehannya itu. Begitulah manusia. Sama ada mereka Hokkien, Baba atau apa saja, kebaikan harus berlaku di atas kebaikan. Dan mereka di Jalan
Bunga Raya itu bangsa yang sememangnya diajar untuk menjelaskan hutang.
Lelaki itu dengan ramah menunjukkan dengan pantas bagaimana membuat kuih dengan resepi yang diwarisinya lebih tujuh keturunan. Bermula dengan cara membuat kulit popiah daripada tepung gandum dengan nipis lembut. Chen mengambil adunan bulat tepung dan menempelkannya ke atas kuali leper beberapa kali sehinggga melekat di permukaannya sekeping kulit bulat popiah. Sebenarnya bahagian ini yang paling sukar. Memerlukan skil tinggi dan rutin latihan berkali-kali. Aku terkedu melihatnya. Dhiya malah menelan air liur. Membayangkan bagaimana dia harus membuat kulit popiah secantik, senipis itu. Dan esok dia harus mula berniaga.
Kemudian sosnya. Ini paling mudah. Dengan campuran cili dan sos Hoisin serta kurma kisar untuk memberi manis sejati direneh api perlahan. Sedikit garam dan gula penambah rasa. Dhiya mengangguk-angguk faham. Kini giliran bahagian yang paling penting. Intinya. Uncle Chen lincah menumis bawang putih dan merah sehingga keperangan dan memasukkan sengkuang Cina yang diparut. Kemudian dituruti udang dan sedikit sos perasa. Setelah lembut diangkat.
Nah. Sekarang masa menghidangkannya. Kulit lembut gebu dibentang. Chen menyapu sos yang kaya dan likat di permukaannya. Kemudian meletakkan daun salad sebelum intinya. Penambah rasanya bukan main banyak ramuan. Bahagian ini paling tidak dapatku tahan. Pantas Chen menabur udang kering goreng, tofu dipotong kecil, sedikit taugeh, bawang goreng, telur dadar yang dipotong halus dan daun bawang. Mata berbinar beserta mulutku menganga. Kecur lidah. Lim senyum mengejek mahu ketawa. Lucu dengan ekspresi melongoku dan menepuk-nepuk bahu menyabarkan. Dhiya masih tekun mengangguk tanda faham. Chen menggulung popiah dan meletakkan sos sekali lagi sebelum menabur di atasnya kacang tumbuk dan bijan panggang.
Tidak tertahan mulutku mahu merasa.
Tanganku sudah mahu mencapai satu. Membayangkan enak dan lengkap rasa popiah nyonya di dalam mulutku. Antara pedas, lemak, masam, masin dan manis bercampur tekstur rangup, lembut dan segar sayur. Uncle Chen malah meminta kami membawa balik sebagai bekal. Ringan mulutku mahu bersetuju tetapi Lim dengan pantas menolak sopan dan menunduk sedikit tanda hormat. Dia menjengilkan matanya kepadaku dan menarik kuat tanganku berjalan pulang. Dhiya gontai sambil menggaru-garu kepalanya.
Seraya berjalan, Lim laju menampar belakang kepalaku.
Mana boleh makan! Uncle Chen biasa campur babi. Itu pun tak tahu
Tak tahan, Lim! Siap ada udang, telur, tofu. Sedap tu! Ini darurat!
Banyaklah kau darurat. Kau bukan kebulur tak cukup makan!
Sinar mata Dhiya tidaklah menyala-nyala seperti kebiasaan. Malah menerawang. Lim menegur.
Yang kau ni kenapa
Susah Lim! Remeh. Bahannya pun banyak betul. Boleh ke aku berniaga esok Dhiya terus menggaru kepala.
Mata Lim bersinar memberi cadangan;
Adi teringin nak makan. Kau tak tahu nak buat.
Macam ni. Hari ni juga kita beli barang. Belajar buat di rumah kau, Dhiya!
Kami memandang sesama sendiri. Senyum mengulum. Ya. Apa saja untuk Rowney.
Ini babak penting dalam fasa persahabatan kami. Tuhan menyaksikan segala. Kau akan melihat Lim buat pertama kalinya berlari-lari anak bersamaku dan Dhiya melintasi jambatan besar dan menjejak kaki ke tanah Kampung Morten. Kami terus berlari riang di Persiaran Datuk Othman hingga ke birai pintu rumah Dhiya. Di situ kami menyelesaikan perkara pokok dalam berniaga. Modal. Dhiya mencari simpanannya daripada hari raya lalu di bawah tilam dan menunjukkan kepadaku. Cuma RM3.90. Lim mengeluarkan duit daripada poketnya. Tambah lagi dengan RM4.80. Aku masih termangu-mangu. Antara mahu atau tidak. Dhiya dan Lim memandang dengan mata penuh tagih dan harapan.
Aku mendongak. Meminta mereka menunggu sebentar. Tidak sampai beberapa minit aku kembali dengan nafas pendek kepenatan dan menyembunyikan sesuatu dibelakangku.
Apa di belakang kau tu, Adi Lim sudah tidak sabar.
Aku mengeluarkannya. Tabung ayam seramik itu walaupun hodoh amat telah menyimpan keringat lelahku berbulan-bulan. Simpanan upah menolong ibuku menjual kuih seharian. Dhiya dan Lim dalam terkejut melihat dengan menahan nafas terkedu. Tanpa fikir panjang, aku menghempaskan tabung daif ke lantai dan memuntahkan segala siling berkeping-keping termasuk duit kertas merah, hijau dan biru. Bukankah Tuhan itu Maha Penyayang
Dan aku melihat mata Dhiya bening merembeskan air mata. Dalam esaknya itu Dhiya mengucapkannya dengan lurus dan luhur,
Aku sayang kau, Adi!
***
Ibu Dhiya di rumah terkejut. Matanya bundar bukan main melihat kami. Bukan kerana kami membawa masuk berplastik-plastik bahan masak untuk popiah nyonya. Bukan juga hairan tertanya bagaimana kami punya modal membeli semua ini. Tetapi kerana kehadiran Lim. Dhiya tanpa teragak-agak memperkenalkan Lim daripada perkampungan seberang. Ibu Dhiya, mengulum terperanjatnya dan seperti biasa diam mengangguk-angguk senyum.
Jarang amat untuk kau melihat kelibat seorang Cina di kampung ini kecuali jika ada penjual sayur membawa barang pasar bermotor roda tiga. Justeru itu, ianya adalah reaksi normal yang bukan saja dirasakan ibu Dhiya, malah seluruh kampung. Lim walaupun dibalut canggung tetap cuba bertenang. Bersopan menyatakan hasrat menumpang dapur. Ibu Dhiya serta merta menunjukkan wajah cerah bercahaya merestui persahabatan ini. Restu itu disambut dengan perangai tidak tahu malu kami dan terus menuang tepung ke dalam besen.
Petang itu adalah pesta memasak. Kami masih lagi anak-anak yang riang menguli tepung seperti bermain tanah liat. Jika tidak kerana ibu Dhiya, aku pasti wajah baju kami sudah bergelumang dengan tepung, minyak, sos dan bawang. Perempuan itu dengan sabar memantau jika kami menuang air terlebih, terpotong kasar bawang dan malah menumis inti. Bagaimanapun, ibu Dhiya dengan sengaja membiarkan kami membuat beberapa kesilapan atas beberapa sebab pula. Supaya kami di kemudian hari belajar mengasah teknik pembikinan. Bahawa bila kami menyedari kesilapan, kami akan belajar pula tidak mengulanginya.
Oleh itu, tidak menghairankan percubaan pertama membuat popiah nyonya resepi keluarga Chen yang agung diakhiri bencana dengan popiah hodoh tebal lagi masin dilimpahi sos cair bair. Langsung tidak enak terlebih ramuan sos Hoisin. Selepas satu gigitan terpaksa, tiada siapa yang mahu memakannya.
Kami tidak peduli. Langsung tidak. Kami akan terus mencuba. Muhammad Ali sendiri sambil menunjukkan genggaman buku tangannya pernah mengatakan, betapa dia membenci latihan tetapi pantang sekali untuk mengalah. Hadapilah siksanya sekarang kerana di kemudian hari kau akan hidup sebagai juara. Juara.