SANG PENGUASA - 7
Saya sentiasa memberikan contoh-contoh yang bersesuaian apabila berbicara mengenai kerajaan, penguasa dan negara supaya kita mampu menempuhi jalan yang pernah dilalui oleh orang lain. Namun, tidak semua dapat mengikuti jejak langkah itu. Kita juga belum tentu dapat hasil yang baik walaupun jejak langkah itu dapat diikuti. Orang yang bijaksana selayaknya mengikuti jejak langkah yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh hebat. Walaupun tidak dapat mencapai hasil sehebat mereka, sekurang-kurangnya mendapat sebahagian daripada apa yang mereka capai. Jadilah seperti pemanah bijak yang dilatih untuk memanah sasaran jauh. Mengenali kekuatan panahannya dan membidik lebih tinggi dari sasaran. Membidik lebih tinggi bukan untuk mendapatkan sasaran yang lebih tinggi, tetapi untuk menepati sasaran.

Ukuran masalah yang dihadapi oleh penguasa baru dalam memerintah wilayah-wilayah baru bergantung pada kekuatannya sendiri. Kejayaan menjadi penguasa baru dalam suatu wilayah mengandaikan sama ada kekuatan ataupun nasib baik ataupun kedua-duanya sekali yang mengecilkan masalah. Walau bagaimanapun, penguasa yang tidak terlalu bergantung pada nasib mampu mendirikan kekuatan yang lebih kukuh. Lebih mudah apabila penguasa itu tidak memegang mana-mana wilayah selain wilayah yang baru itu.

Terdapat beberapa orang berjaya hanya bergantung pada kekuatannya sendiri seperti Musa, Cyrus, Romulus, Theseus, dan beberapa yang lain. Musa sangat taat mematuhi perintah Tuhan walaupun dia disanjungi kerana mampu bercakap dengan Tuhan. Cyrus dan mereka yang mendirikan kerajaan juga patut dikagumi. Apabila ditinjau kelakuan dan cara mereka, tidak jauh beza dengan apa yang pernah dilakukan oleh Musa.

Kita perhatikan, mereka tidak bergantung apa-apa pada nasib selain daripada peluang. Peluang tersebut digunakan untuk mencapai matlamat dalam kehidupan mereka. Tanpa peluang, kekuatan mereka adalah sia-sia. Sekiranya ada peluang tanpa kekuatan juga sia-sia. Musa mencari peluang untuk mencari bangsa Israel yang ditindas di Mesir untuk membebaskan perhambaan dan mengetuai mereka keluar dari Mesir. Romulus mencari peluang meninggalkan Alba supaya dapat mengasaskan dan menjadi Raja Rom. Cyrus mencari peluang berinteraksi dengan rakyat Parsi yang tidak berpuas dengan Kerajaan Medes supaya keamanan dapat berkekalan. Theseus tidak dapat menunjukkan kemahirannya sekiranya dia tidak bertemu dengan orang Athens yang melarikan diri. Kemampuan mencari peluang, menjadikan tokoh-tokoh ini dimuliakan dan disanjungi.

Mereka yang menggunakan kemampuan seperti di atas akan mempunyai masalah untuk mendapatkan suatu wilayah tetapi mudah untuk memeliharanya. Masalah itu sebahagiannya muncul apabila terpaksa memperkenalkan undang-undang dan peraturan baru untuk mengekalkan keamanan. Pemimpin patut sedar, tiada yang lebih sulit dan lebih bahaya daripada memperkenalkan undang-undang baru. Pemimpin sebegini akan mempunyai musuh yang lebih gemar dengan undang-undang lama. Orang yang mendapat kelebihan daripada undang-undang lama akan memberikan sokongan kepada musuh. Ketegangan ini muncul kerana tidak percaya kepada rakyat. Tidak percaya rakyat akan menerima perkara baru melainkan sudah terbukti ia berkesan. Apabila golongan konservatif mula menyerang, pelindungnya pula mempertahankannya dalam keadaan masih belum percaya dengan undang-undang tersebut sepenuhnya. Maka, pemerintah akan berada dalam keadaan bahaya.

Untuk membincangkan hal ini dengan lebih lanjut, terlebih dahulu kita perlu mengenal pasti sama ada reformer ini boleh bergantung pada diri sendiri, ataupun perlu bergantung pada orang lain. Kenal pasti juga sama ada reformer ini perlu merayu untuk melakukan pembaharuan, ataupun dia boleh memaksa orang lain menurutinya. Sekiranya dia perlu merayu, maka dia gagal . Sekiranya dia mampu memaksa, maka sangat sukar untuk dia gagal. Sifat setiap manusia tidak sama. Tidak susah untuk merayu supaya mereka menyetujui sebuah pembaharuan. Tetapi sukar untuk mengekalkan mereka dengan pendirian itu. Maka, persediaan perlu dibuat supaya mereka dapat dipaksa untuk menerima pembaharuan.

Musa, Cyrus, Theseus dan Romulus tidak akan mampu mempertahankan konstitusi yang didirikan tanpa kekuatan seperti yang berlaku kepada Fra Giroloamo Savonarola. Dia menemui kegagalan apabila rakyat mula tidak percayakan pembaharuan yang dibawa. Dia tidak mempunyai kekuatan untuk mengekalkan dan memaksa rakyat untuk mempercayainya semula. Justeru, kekuatan amat diperlukan untuk menghadapi masalah dalam memperkenalkan sebuah pembaharuan. Setelah pelbagai masalah dapat dihadapi dan musuh dapat ditumbangkan, mereka akan dimuliakan dan terus berkuasa.

Saya mahu menambah contoh lain supaya kita dapat buat perbandingan. Hiero dari Syracuse menjadi penguasa bukan kerana nasibnya yang baik tetapi dengan peluang yang dicari. Rakyat Syracuse yang ditindas memilih Hiero sebagai kapten mereka. Seterusnya, dia dilantik menjadi penguasa wilayah itu. Dia telah melakukan banyak kebaikan ketika menjadi rakyat biasa. Setelah menjadi penguasa, Hiero melucutkan pasukan tentera lama, mewujudkan yang baru. Memutuskan persekutuan lama dan menjalinkan persekutuan yang baru. Walaupun dia mempunyai kesukaran untuk melakukan pembaharuan ini, tetapi mudah untuk dia mempertahankan kuasanya setelah pembaharuan dapat dibuat.