RETRO BOLA SEPAK - 7
Seperti yang kita sedia maklum, dua legenda bola sepak ini Diego

Armando Maradona dan Mokhtar Dahari -- pernah bertemu dalam satu perlawanan di Malaysia (malah, sebelum Maradona terkenal pada Piala Dunia 1986). Peristiwa yang kini dianggap bersejarah ini adalah perlawanan persahabatan yang membabitkan pasukan Jemputan Selangor XI yang diketuai oleh Supermokh (Mokhtar Dahari) dengan kelab terkenal Argentina, Boca Juniors, yang diketuai oleh Diego Maradona ketika itu.

Dilangsungkan pada 12hb Januari 1982, Boca Juniors FC bertandang ke Stadium Merdeka dengan status digeruni iaitu juara Liga Metropolitano Argentina 1981.

Sebelum ke Malaysia, Boca Juniors FC telah mengadakan pertemuan dengan El Savador FC di Los Angeles (menang 2-0) dan Seiko FC di Hong Kong (juga menang 2-0).

Meskipun sekadar seketika sahaja, kedatangan skuad lagenda dari Argentina yang terkenal dengan gelaran Los Xeneizes; La Mitad Mas Uno; Azul y Oro dan El campen del siglo XXI itu tetap meninggalkan kesan

yang besar dalam jiwa dan sanubari peminat bola sepak tempatan.

Perlawanan yang dihadiri oleh kurang-lebih 23,000 orang penonton ini dikenang sebagai antara detik terpenting dalam peristiwa bola sepak dan sukan Malaysia. Perlawanan ini telah dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebagai salah-satu daripada siri perlawanan persahabatan, untuk persediaan skuad Selangor FA, yang mempunyai misi besar untuk menjuarai Piala Malaysia 1982. Malah, FAS menjanjikan ganjaran untuk menyaksikan Piala Dunia 1982 kepada anggota skuad Selangor FA, jika berjaya mencapai sasaran: menjuarai Piala Malaysia 1982.

Kehadiran Diego Maradona bukan sahaja mengundang minat yang membuncah dalam jiwa para peminat, tetapi juga cabaran yang besar kepada barisan pertahanan Jemputan Selangor. Hal yang demikian, pihak FAS telah menjemput dua orang jaguh Asia Tenggara iaitu lagenda Singapura, Fandi Ahmad dan lagenda Thailand, Piyapong Pue-On untuk berdepan Boca Juniors FC. Piyapong Pue-On merupakan antara pemain terawal Thailand yang beraksi dalam Liga Semi-Pro Malaysia pada akhir 80an. Beraksi dengan Pahang FA, beliau merupakan pemain yang seangkatan dengan Boonphob Praput, Vichek Kongmak, Anan Punsang (Kelantan FA) dan Phradupan Jarunya (Perlis FA). Selain itu, Jemputan Selangor turut diperkuatkan oleh kehadiran lagenda Malaysia dari Melaka FA, iaitu Towkay Soh Chin Aun (kini Datuk).

Tatkala Fandi dan Piyapong digandingkan sebagai trio penyerang Jemputan Selangor XI bersama Supermokh, Soh Chin Aun dan Santokh Singh pula ditugaskan untuk mengemudi benteng pertahanan. Reduan Abdullah yang menggunakan jersi nombor 6, mengawal barisan tengah, manakala R. Arumugam setia menjaga pintu gol Selangor.

Pada babak awal permainan, Jemputan Selangor mengasak gawang Boca Juniors secara bertubi-tubi. Hasilnya, penyerang muda Singapura, Fandi Ahmad, berjaya menewaskan Carlos Alberto Rodriguez pada minit ke-4. Kejayaan Fandi memperdaya Rodriguez yang digelar La Pantera itu, disambut dengan sorakan meriah penyokong tuan rumah.

Kemudian, pada minit ke-17, Maradona mula mengancam pintu gol Selangor, menerusi percubaannya yang terkena palang gol. Selanjutnya, pada minit ke-19, Carlos Cacho Cordoba yang memakai jersi nombor 3, membuat jaringan tepat di bahagian sudut gol Selangor, sebelum Boca mula menguasai perlawanan tersebut. Tidak seperti corak permainan Eropah yang menerapkan hantaran jauh, Boca mempamerkan hantaran pendek dan penguasaan bola. Apabila pemain Jemputan Selangor cuba menyerang, barisan pertahanan Boca bertahan secara padat dan mantap, menyebabkan sukar untuk Selangor melakukan sebarang gerakan bahaya.

Legenda Selangor dan Malaysia, The Spiderman R. Arumugam beraksi cemerlang sepanjang babak pertama perlawanan, sebelum ditewaskan lagenda dunia, Diego Armando Maradona yang berjaya melepasi perangkap offside, pada minit ke-60. Selain La Pantera Rodriguez, Cacho Cordoba dan Maradona, skuad Boca Juniors FC turut dibarisi oleh Hughie Alves, Pasucci, Ruggeri, Benitez Krasouski, Marito Zanabria, Gareca, dan Perotti Mono. Selain Boca Juniors FC, Selangor FA turut berhadapan dengan beberapa pasukan lain seperti Young Boys of Berne FC dan Zurich Grasshoppers FC dari Switzerland serta Matsushita FC (Jepun) dalam siri perlawanan persahabatan yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Selepas menentang Jemputan Selangor, skuad Boca Juniors meninggalkan Kuala Lumpur dan menaiki penerbangan selama 10 jam untuk ke Tokyo dan Kobe yang ketika itu sedang mengalami musim sejuk. Mereka berada di Jepun dari 16 hingga 24hb Januari 1982, untuk perlawanan persahabatan dengan skuad Jepun yang berkesudahan dengan tiga kemenangan berturut-turut (1-1, 3-2 dan 0-1).

Kemudian, Maradona dan rakan-rakannya bertemu dengan Club America FC, di mana mereka menang 2-1, sebelum mengakhiri siri Jelajah Dunia Boca Juniors 1982 dengan berdepan Comunicaciones FC (Boca menang 1-0).