Apa ni Soal Danira ingin tahu. Sampul surat itu tidak segera diambil. Hatinya masih diulit keraguan untuk mengutipnya sementelah dia langsung tidak faham untuk apa sampul putih itu diserahkan padanya. Apa isinya
Saya lupa nak bagi duit untuk majlis Melly. Saya harap duit tu cukup untuk majlis tu nanti. Beritahu Filman.
Danira terdiam. Perlahan-lahan dia mengambil sampul surat di hadapannya lalu membelek-belek isinya. Terdapat sejumlah wang di dalamnya. Secara rawak, Danira mencongak mungkin ada beberapa ratus di dalam sampul surat tersebut.
Danira gunalah duit tu untuk beli barang-barang keperluan majlis tu nanti. Kalau boleh pakai sampai habis, tak perlu berjimat cermat. Ujar Filman lagi.
Tapi duit ni banyak sangat Encik Filman. Saya bercadang dengan Kak Mila nak buatkan kek harijadi untuk Melly. Itupun kalau Encik Filman setuju. Beritahu Danira.
Filman terdiam. Airmukanya segera berubah.
Danira mula merasa tidak sedap hati. Sikap membisu Filman membuatkan dia mula diterpa pelbagai tanda tanya. Aku silap cakapkah
Saya tahu kek buatan saya ni mungkin tak sedap atau cantik macam kek-kek yang dijual di kedai. Tak mengapalah. Kalau Encik Filman tak suka, saya beli ajelah kek tu di kedai. Putus Danira akhirnya. Sangkanya Filman tidak suka dengan cadangannya.
Takbukan macam tu. Filman mengangkat wajahnya. Danira tercengang.
Saya cuma tak sangka yang Danira sanggup buatkan kek untuk harijadi Melly. Sejak Melly lahir sehingga sekarang, tak pernah ada sesiapa pun yang sanggup buatkan dia kek harijadi. Mamanya sendiri pun tak pernah! Sebut Filman dengan wajah muram.
Danira terpegun. Tatapan mata Filman membuatkan fikirannya kembali resah. Sorotan mata lelaki itu yang penuh kesedihan entah mengapa menggamit simpatinya.
Saya sukakan Melly, Encik Filman. Dia anak yang baik, dan hanya ini yang mampu saya lakukan untuk dia. Ujar Danira. Dia tidak mahu lelaki itu tersalah anggap bahawa dia dengan sengaja mahu merebut tugas yang sepatutnya dilakukan ibu Melia.
Filman hanya mampu tersenyum hambar.
Tentu mama Melly cantik orangnya. Tiba-tiba Danira menyambung bicara.
Filman terdiam. Senyuman yang tertenggek di bibirnya segera menghilang dalam sekelip mata. Wajah Danira yang ikhlas memuji ditatap lama. Dia tahu Danira tidak tahu apa-apa tentang sejarah hidupnya. Kerana itu Danira berbicara begitu. Filman mahu mengatakan sesuatu, namun muncul seorang pelayan membawakan makanan sekaligus mematikan hasrat hatinya.
Makanlah. Saya tahu Danira kata dah kenyang tadi, tapi jamahlah sikit. Roti canai kat sini sedap. Saya selalu singgah makan di sini setiap kali saya ambil Melly di taska. Ujar Filman.
Danira tidak mampu berkata apa-apa. Memang dia sudah makan tadi. Namun menghidu aroma kuah kari yang menyelerakan, tiba-tiba perutnya berkeroncong semula. Roti canai telur itu disentuh sedikit lalu dibawa ke mulutnya.
Sedap Tanya Filman tersenyum.
Danira mengunyah perlahan lalu menganggukkan kepala.
Kan betul saya cakap tadi, roti canai kat kedai ni sedap. Gumam Filman. Danira malas mahu menyampuk. Secubit roti canai dicecah lalu disua lagi ke mulutnya. Dia benar-benar menghayati keenakan roti canai yang masih panas berwap di hadapannya.
Danira. Tiba-tiba Filman memanggil.
Danira mendongak.
Mata Filman sudah tertancap wajahnya. Dia pula sekadar menunggu Filman memulakan bicara.
Fasal hal tempohari
Dada Danira tiba-tiba berbahang. Kata-kata Filman entah kenapa membuatkan dia resah. Jangan-jangan lelaki itu mahu berbicara hal tempohari !
Saya tahu Danira masih terkejut dengan apa yang saya katakan tempohari. Percayalah, saya tak pernah seberani itu berterus-terang dengan seorang gadis yang saya temui dalam masa singkat. Tapi saya ikhlas. Bisik Filman lembut.
Encik Filman tak tahu siapa saya Danira semakin resah.
Pentingkah Soal Filman.
Danira terkedu. Dia tidak mengerti maksud kata-kata Filman kali ini.
Saya hanya tahu yang saya menyukai gadis di hadapan saya kali ini. Gadis yang melayan anak perempuan saya dengan ikhlas, melebihi apa yang dilakukan oleh mama Melly sendiri. Saya bukan mahu mencari pengganti mama Melly. Saya hanya mahu mencari apa yang hilang dalam diri saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dan Danira buat saya merasa seperti ingin mencintai seseorang semula. Akui Filman tulus.
******
Danira terharu. Pandangannya dilempar ke arah Filman. Anak mata lelaki itu juga menatap tepat ke dalam matanya. Dan pandangan mereka bertaut lama tanpa disedari. Dia benci mahu mengaku bahawa pandangan Filman melontarkan satu perasaan aneh dalam dirinya.
Bibirnya diketap rapat. Sungguh dia tidak mampu menolak perasaan yang hadir dalam dirinya. Ya Allah Kenapa begitu sukar untuk menghalang perasaannya terhadap Filman tumbuh subur
bersambung
Bab akan datang:
Apakah yang menghalang Danira untuk menerima Filman dalam hidupnya