Siapa lambat, dia gila!
Siapa berdiri, suka dekat Cikgu Arina!
Siapa gelak, dia kalah!
Siapa bergerak, dia pondan!
Apabila dilaungkan ungkapan-ungkapan tadi, secara automatik semua orang akan berebut hendak cepat, berebut hendak duduk, tutup mulut tidak mahu gelak dan keraskan badan takut bergerak kerana risau menjadi seperti yang diungkapkan.
Walaupun perkara ini sememangnya diketahui semua bahawa diada-adakan dan bukanlah sebenar, ianya seakan menjadi satu fobia kepada setiap orang kanak-kanak bagi mengelakkan diri diejek dan digelakkan.
P. Ramlee sendiri pernah menyindir perbuatan ini di dalam beberapa buah filemnya. Antaranya adalah filem Nujum Pak Belalang sewaktu Pak Belalang sedang menjampikan air di dalam bekas.
Siapa tak nampak, dia anak luar nikah.
Walaupun tiada siapa yang nampak, kerana takut digelar anak luar nikah kesemua orang mengangguk-angguk kepala mengatakan nampak. Siap menambahkan lagi perkara yang tidak ada. Malahan Sultan dan Permaisuri yang sepatutnya seorang yang bijak laksana juga turut terpedaya dengan ungkapan keramat ini.
Siapa tak percaya hal ini, dia pendek umur.