TORA DATANG LAGI - 74
Ketika itu, hampir kesemua jam dinding menggunakan jam jenis jarum. Malahan amatlah sukar hendak melihat jam digital, selain dari yang dipakai di tangan. Kerana belum mendapat pelajaran tentang membaca waktu jam, kanakkanak yang sudah mengenali nombor-nombor mempunyai kaedah tersendiri dalam membaca waktu jam, tanpa mengetahui langsung berapakah waktu sebenarnya.

Jika waktu ketika itu adalah 9.30, kanak-kanak akan menyebut, Jarum pendek nombor 9, jarum panjang nombor 6. Jika pukul 4.47, sebutannya adalah, Jarum pendek antara nombor 4 dan 5, jarum panjang antara nombor 9 dan 10.

Selain menggunakan kaedah tersebut apabila disoal, kanakkanak turut menghafal waktu rancangan di televisyen dengan menggunakan formula tersebut.

Cerita Suria Perkasa Hitam, jarum pendek pukul 4, jarum panjang pukul 12.

Disebabkan kesukaran dan ketidakfahaman konsep sesebuah jam jarum, setiap kanak-kanak lebih menggemari jam tangan digital yang dikira lebih mudah untuk mengetahui waktu. Jam digital juga lebih nampak moden kerana mempunyai lampu dan juga bunyi. Walaupun begitu, sesiapa yang memakai jam tangan jarum akan dipandang tinggi dan sering dianggap sebagai seorang yang matang dan abang-abang.

Memakai jam tangan datang ke sekolah merupakan suatu perbuatan yang menaikkan reputasi di mata pelajar lain. Oleh kerana itu, hampir ke semua ketua kelas dan pengawas memakai jam tangan.