Selain tidak memahami kenapa Ultraman akan jadi tidak kuat selepas lampu di badan berkelip, perkara ghaib juga antara perkara yang kurang difahami oleh kanakkanak. Terutama sekali melibatkan hal-hal ketuhanan. Jadi setiap ibu-bapa mengambil inisiatif awal dengan bertanggapan adalah memadai untuk mengajar anak-anak supaya mengetahui dan mempercayai kekuasaan Allah dalam menjatuhkan hukuman kepada setiap makhluknya yang melakukan kesalahan.
Terdidik dan dibesarkan dengan pemahaman sebegitu, semua kanak-kanak mula mempercayai kemampuan Allah untuk membalas segala perbuatan tidak elok kepada setiap makhluknya. Oleh itu, setiap perkara atau objek yang tidak mahu dicuri, diganggu ataupun dipermainkan akan dikalimahkan dengan kalimah Alif Lam Lam Ha secara lisan malahan juga turut diolok-olok dengan menulis kalimah tersebut menggunakan jari.
Alif Lam Lam Ha, siapa makan ayam goreng aku, dia masuk neraka.
Alif Lam Lam Ha, siapa duduk atas kerusi aku, punggung dia naik bisul.
Alif Lam Lam Ha, siapa curi pensel aku, balik sekolah dia eksiden.
Dipercayai dengan meletakkan kalimah tersebut pada setiap ayat, ianya akan menakutkan sesiapa sahaja yang bersalah. Selain digunakan untuk menakutkan pesalah, ianya juga bagi memberikan lebih penegasan dan kegarangan pada ayat tersebut. Peliknya, perbuatan bersalah ini tidak boleh diampunkan cukup dengan sekadar memulangkan semula atau meminta maaf. Kalimah tadi akan dirayu supaya dipadamkan secara olok-olok agar Allah tidak akan menjatuhkan hukuman mengikut seperti yang dikatakan.
Aku minta maaf, Hanim. Aku tak sengaja terambik pensel kau tadi. Nah, aku pulangkan. Kau padam la balik Alif Lam Lam Ha kau tulis tadi tu. Aku takut nak balik sekolah ni