Mencari Kiblat Cinta - 78
Namun dingin dari udara tersebut langsung tidak mampu mententeramkan perasaannya yang berkecamuk. Sengaja dia menolak untuk dihantar pulang oleh Aliff. Lagipun pengalamannya hampir setengah jam bersama anak muda itu sudah cukup lama untuk dia mengukur siapa dirinya.

Tak mungkin lelaki itu Naufal! Danira menggelengkan kepala. Cuba menolak prasangka itu dari terus bertamu di fikirannya. Mereka hanya seiras, tak lebih dari itu. Dan dia terlalu terdesak untuk menemui Naufal sehingga menyimpul yang bukan-bukan.

Keluhannya meniti keluar dari bibir. Kepalanya kini disandarkan di pelapik kusyen. Kelopak matanya terpejam rapat. Wajah Aliff terus bermain-main di birai mata. Renungan dan senyuman anak muda itu terus bermukim di fikirannya meskipun dia cuba bersikeras menganggap lelaki itu Aliff dan bukannya Naufal yang dirinduinya.

Dalam sebak jiwa yang dirasainya, dia bermain-main dengan rantai yang tersarung di lehernya. Usai mengusap-usap rantai tersebut, tiba-tiba kelopak matanya terbuka luas. Ya ALLAH! Rantai ni! Bagaimana dia boleh terlupa dengan rantai pemberian ayahnya

Naufal pun ada rantai macam ni. Ayah dah tempah satu untuk Naufal.

Kata-kata ayahnya suatu ketika dahulu mengamit dalam ingatan. Sungguh dia hampir terlupa tentang kewujudan rantai itu.

Malulah Naufal nak pakai rantai ni. Macam perempuan. Nanti semua kawan-kawan Naufal kat sekolah gelakkan Naufal. Dia masih ingat rungutan adiknya itu suatu ketika dahulu.

Ayah tak paksa Naufal pakai pun. Ayah cuma minta Naufal simpan rantai ni baik-baik. Jangan ditinggalkan merata-rata macam ni, tak elok. Ini rantai pemberian arwah ayah Naufal. Kita harus jaga rantai ni baik-baik. Pesannya pada Naufal.

Rantai Naufal cuma rantai biasa aje, tak berharga apa-apa pun. Bukan macam rantai kakak. Itu rantai emas. Ayah memang tak sayangkan Naufal. Kalau kakak, semuanya dia bagi yang elok-elok. Kalau Naufal, dia bagi benda-benda buruk.

Ya ALLAH Naufal, kenapa cakap macam ni pada ayah Ayah sayangkan kita berdua. Ayah tempah rantai ni khas untuk kita berdua. Ini tanda kasih sayang ayah pada kita. Lagipun Naufal lelaki, mana boleh pakai rantai emas. Berdosa! Dia cuba memujuk anak muda belasan tahun itu baik-baik. Kedegilan Naufal harus dilentur sebelum hati anak muda itu semakin keras.

Ah malas nak layan kakak ni. Asyik berleter je macam mak nenek. Naufal nak keluar jumpa kawan. Anak muda itu bingkas bangun. Namun belum sempat langkah Naufal sampai ke pintu, tangannya terlebih dahulu menangkap pergelangan tangan adiknya.

Ambil rantai ni dulu. Simpan elok-elok. Dia menghulurkan rantai di tangannya ke arah Naufal.

Anak muda itu mendengus kasar. Tanpa berkata apa-apa, Naufal segera mengambil rantai tersebut lalu disimpan di dalam poket seluarnya.

Danira menepuk kepalanya tanpa disedari. Aduh! Macamana dia boleh terlupa dengan kewujudan rantai itu Sedangkan rantai itulah pengikat hubungan antaranya dengan Naufal. Itu sahaja petunjuk yang boleh membuktikan identiti adiknya. Tiba-tiba dia terfikir sesuatu. Apakah Aliff memiliki rantai yang sama seperti yang dimilikinya Tapi bagaimana mahu mengesahkan semua ini Patutkah dia bertanya pada Filman bila lelaki itu pulang nanti

******

Filman tergesa-gesa mencari tempat parkir di hadapan Hotel Four Point Sheraton. Hari ini dia ada temujanji dengan beberapa individu melibatkan kes yang sedang diuruskannya. Zikri salah seorang peguamcara yang sepatutnya menemaninya terpaksa membatalkan perjalanan di saat-saat akhir kerana masalah keluarga yang tak boleh dielakkan.

Sewaktu berbincang di coffee house hotel itu, sesekali dia melamun sendiri. Hatinya sering memikirkan tentang Melia yang menyambut hari ulangtahun tanpa kehadirannya. Entah bagaimanalah sambutan hari jadi Melia di taska Sissy Kindergarden Apakah Melly gembira Apakah anak itu mendapat banyak hadiah Bertubi-tubi soalan itu bermain di fikirannya.

Apabila perbincangannya berlarutan sehingga ke jam yang berikutnya, Filman mula tidak senang duduk. Dia meminta diri untuk keluar sebentar. Mujurlah lelaki-lelaki yang berurusan dengannya tidak banyak soal. Kesempatan ini digunakan sebaiknya untuk menghubungi Melia. Dia pasti Melia tentunya masih berada di taska itu. Harapannya biarlah Danira yang menjawab panggilannya. Tapi apabila dia mendengar suara Lynn di corong telefon, Filman mengeluh hampa.

Lynn, saya nak bercakap dengan Melly. Tolong panggilkan dia sebentar. Pinta Filman pada Lynn yang menjawab panggilan. Tak lama kemudian, suara yang dirindui-rinduinya muncul di corong telefon.

Hello sayang, ini papa. Melly buat apa tu

Diam.

Oh tengah main. Sorrylah semalam papa tak sempat call, sibuk sangat! Papa rindu sangat kat Melly. Macam mana dengan birthday party semalam Seronok

Diam. Kali ini lebih lama dari tadi. Suara keletah Melia bercerita itu ini membuatkan dia ketawa kecil.

Hmm..baguslah tu. Esok papa balik. Nanti papa belikan hadiah untuk sayang. Dia berjanji. Suara Melia bersorak riang membuatkan dia tergelak lagi. Hui budak ni, pantang dengar dapat hadiah.

bersambung

Bab akan datang :

Apakah yang akan dilakukan Danira untuk membuktikan Aliff adalah Naufal