KARKUMA - 8
Berita Tuk Pagai menyembunyikan orang dagang di rumah tersebar di seluruh Kampung Seruntum. Pada masa sama pula, sejak kebelakangan ini Kerajaan Pulau Nabui menghadapi masalah ancaman lanun dan percerobohan anasir asing di pelabuhan. Ramai pedagang cuba mengelak daripada membayar cukai kepada kerajaan. Ini kerana sejak Maharaja Sutan Lembayung memerintah Pulau Nabui, cukai dagang di pelabuhan dinaikkan pada kadar yang tidak wajar. Ramai masyarakat tempatan didapati memberi perlindungan kepada orang dagang bersembunyi di rumah mereka.

Kini kerajaan mengambil tindakan dengan menjatuhkan hukuman berat kepada mereka yang didapati bersubahat menyembunyikan orang dagang. Sesiapa didapati bersubahat dengan orang dagang maka seluruh ahli keluarga mereka akan dihukum. Hukumannya ialah dihumban ke dalam kurungan bui atau di pancung di hadapan Berhala Dewata Garuda Chandi.

Pengumuman mengenai undang-undang baharu yang bertujuan menghalang orang dagang bersembunyi di Pulau Nabui disebarkan ke seluruh daerah oleh panglima istana.

Ia menjadi berita yang sangat menakutkan rakyat Pulau Nabui. Sejak pengumuman undang-undang baharu tersebar, berkuranglah masyarakat tempatan yang bersubahat menyembunyikan orang dagang.

Ditambah pula dengan berita terbaharu, satu keluarga terdiri dari enam orang tertangkap dan mereka menerima hukuman pancung. Zalimnya undang-undang itu apabila semua enam beranak dipancung sekali gus, padahal yang bersalah hanyalah ayah mereka. Lebih menyedihkan antara yang dipancung itu ialah anak kecil berumur lima tahun!

Mengeluh panjang Karkuma mendengar berita itu. Al-Qufli mengalir air mata. Teggal pula meluahkan rasa marah, Apa kenanya anak kecil utu dibunuh juga Zalim nengar Sutan Lembayung! Ya amat kejam. Sahut Al-Qufli kepiluan.

Malam itu, Karkuma makin memahami makna keikhlasan dan kemuliaan. Apa ertinya mempunyai agama, jika tiada kepercayaan kepada Tuhan, dan berlaku kekejaman sesama manusia

Pulang dari rumah Tuk Pagai pada malam itu, Karkuma bingung memikirkan kekejaman yang menjadi-jadi dalam Kerajaan Pulau Nabui.

Ini menguatkan lagi hatinya untuk meninggalkan ajaran Huku yang sudah tidak memberi keyakinan pada dirinya. Hatinya terbuka memeluk ajaran Arshi. Baharu sahaja tadi dia berlajar melafaz sumpah niat seandainya sudah bersedia memeluk ajaran itu. Sedang dia cuba melafazkan sumpah niat itu, dia ternampak tiga panglima istana berkuda menuju masuk ke laman rumah Tuk Pagai.

Karkuma dengan sekencang-kencangnya berlari menuju ke belakang rumah Tuk Pagai. Dia memanggil-manggil dari pintu belakang rumah untuk memberitahu Tuk Pagai mengenai kehadiran tiga panglima istana berkuda. Belum sempat Karkuma membuka mulut, yang terbuka adalah pintu belakang rumah Tuk Pagai.

Tuk Pagai dan Al-Qufli bergegas turun tangga.

Kuma Elok nengar mika datang, tolongi daku sorok akan guru Qufli, lekas! Kata Tuk Pagai dalam keadaan cemas.

Ya! Karkuma menyambut tangan Al-Qufli. Suasana malam yang gelap gulita sedikit pun tidak menggelapkan mata Karkuma dan Al-Qufli untuk menghalang mereka bergegas memasuki semak belakang rumah Tuk Pagai, dan kemudiannya mereka menyusup ke kawasan hutan kecil di belakang rumah Karkuma.

Kawasan yang disemaki pelbagai jenis tumbuhan lembab hutan tropika itu terdapat pohon keladi gajah yang ketinggiannya melebihi paras pinggang orang dewasa. Karkuma menyuruh Al-Qufli bersembunyi di celah pohon keladi gajah yang daunnya sangat lebar, selebar pintu rumah. Karkuma berpesan pada Al-Qufli agar jangan beralih tempat, selagi dia tidak disuruh keluar dari celah pohon itu.

Yang paling utama, daun keladi gajah ditakuti oleh orang yang mempunyai ilmu sihir hitam. Karkuma tahu, setiap panglima istana memiliki ilmu sihir dan pantang bagi mereka mendekati pohon keladi gajah kerana daun keladi gajah terkandung getah. Getah pohon ini jika terkena pada tubuh si pemilik ilmu sihir hitam, boleh sisihkan sihir yang mereka miliki dan menyebabkan kepanasan hingga kulit tubuh melecur dan kemungkinan membawa maut.

Betul tekaan Karkuma, selang beberapa nafas sahaja, kedengaran ketukan keras pintu rumah dari luar. Tiga panglima istana dengan rangginya meredah masuk apabila pintu dibuka tanpa meminta izin terlebih dahulu. Biadap sungguh perangai mereka, bisik hati Karkuma. Setiap penjuru rumah diperiksa, bukan sahaja di dalam, tetapi juga di kawasan luar rumah. Seorang panglima menghampiri tempat Al-Qufli bersembunyi.

Karkuma berasa cemas tetapi dicekalkan hatinya. Dia membuang perasaan takut jauh-jauh dan mengeluarkan ketenangan pada wajahnya agar tiga panglima itu tidak mengesyaki apa-apa. Panglima itu menerjah dedaun semak dengan pedangnya.

Al-Qufli ketakutan mendengar terjahan pedang panglima yang memangkas ranting dan pokok-pokok kecil, tetapi dia tidak berganjak dari tempat persembunyian kerana memegang pesanan Karkuma.

Sewaktu panglima tersebut tercantas sehelai daun keladi gajah, bukan sahaja Al-Qufli cemas kerana cantasan itu dekat dengannya, sebaliknya panglima itu pula berada dalam ketakutan yang amat sangat. Dengan wajah pucat, berpeluh-peluh dan menggigil tidak tentu arah, panglima itu bergegas tinggalkan belukar keladi gajah.

Benarlah panglima istana memiliki ilmu sihir hitam dan mereka takut terkena getah keladi. Tanpa berlengah panglima bertiga itu dengan lajunya menunggang kuda beredar dari rumah Karkuma.

Awal Subuh keesokannya, kedengaran pintu belakang rumah Karkuma diketuk dari luar.

Sila akanlah masuk Tuk Pagai, Teggal kata Karkuma selepas membuka daun pintu rumahnya.

Pada wajah anak-beranak itu tergambar kegelisahan yang amat sangat. Menyedari keadaan itu, Karkuma menegur.

Tok Pagai nampaknya bermuram. Ada apa

Guru Qufli apa beritanya Sedih bercampur bimbang nada suara Tuk Pagai. Karkuma tersenyum.

Jom, kami pergi menengoknya, kata Karkuma dengan tenang sambil mereka menuju ke kawasan semak di belakang rumah.

Tuk Pagai dan Teggal yang kelihatan seperti kebingungan mengikuti sahaja Karkuma. Dalam samar-samar Subuh, Karkuma meredah semak hutan kecil di belakang rumahnya itu. Apabila sampai di tempat serumpun keladi gajah, Karkuma memanggil Al-Qufli perlahan-lahan tetapi tidak berjawab. Tuk Pagai dan Teggal bimbang dan mereka tertanya-tanya, di sinikah Al-Qufli disembunyikan oleh Karkuma

Karkuma menyelak-nyelak beberapa helai daun keladi gajah. Dia yakin di situlah tempat Qufli disuruh bersembunyi, di kawasan tanah subur yang dipenuhi dengan pohon keladi gajah yang segar dan lebar-lebarnya daunnya. Padanlah Qufli boleh bersembunyi di situ, ditambah pelbagai tumbuhan hutan lain di sekeliling.

Al-Qufli ditemui terbaring, lena bertikarkan sehelai daun keladi gajah. Tuk Pagai tersengih. Karkuma menjelaskan kepada mereka mengapa Al-Qufli disembunyikan di celah pohon keladi gajah dan bagaimana panglima bertiga semalam itu ketakutan apabila melihat pohon keladi gajah. Dan mengapa dia membiarkan Al-Qufli bermalam bersendirian di tempat persembunyiannya di dalam hutan kecil di belakang rumahnya itu.

Kalu kejan nengar guru Qufli keluar dari belukar inen, hamba gusar mentak panglima istana utu datang lagi ke sini, kata Karkuma.

Agar guru Qufli damai di sini, ya. Teggal berkata sambil menghulur tangan pada Al-Qufli. Mangaseh. Jawab Al-Qufli, menyambut tangan Teggal. Gembiranya hati mereka melihat Al-Qufli yang sangat dihormati itu selamat. Tidak terhingga penghargaan diberi oleh Tuk Pagai kepada Karkuma kerana menyelamatkan Al-Qufli dan keluarganya daripada dihukum bunuh oleh kerajaan.

Tersentap jantung ku tatkala tiga panglima istana utu datang kelmarin. Mujur dikau penyelamatnya. Mangaseh Karkuma, kata Tuk Pagai pada Karkuma. Diikuti dengan ucapan terima kasih juga daripada Teggal dan Al-Qufli.

Rawan hati hamba, Karkuma memandang wajah mereka bertiga dan berkata lagi, Usah diucap mangaseh pada hamba. Marilah rasa kasih utu kami ucapkan kepada Dewa Arshi. Hamba percaya, kabeh pertolongan nen datangnya dari Dianya, penaka yang guru Qufli ucapkan. Karkuma lega.

Gembira Al-Qufli mendengarnya. Tuk Pagai dan Teggal pula terpegun, mereka mengerti dan bersetuju dengan kata-kata Karkuma itu. Mereka juga terpegun dengan cara Karkuma berkata-kata, seolah terikut-ikut dengan cara dan bahasa Al-Qufli berkata-kata.

Dan atas perihal mangaseh utu, kelmarin udah ku sampaikan rasa kaseh ku kepada Dewa Arshi, kini daku ingin sampaikan pula kepada mika, Karkuma. Hakikatnya dapat ku rasa mika udah menyambut Dewa Arshi di dalam hati mika, Al-Qufli tersenyum meletakkan jari telunjuknya ke dada Karkuma dan berkata lagi, Daku dengarkannya dari situ.

Al-Qufli merenung Karkuma sedalam-dalamnya, seolah-olah ada sinar pada wajahnya. Sinar baharu yang membawa harapan kepada ajaran Arshi untuk berkembang ke seluruh Pulau Nabui.

Daku bersumpah berpaksi akan jiwa dengan raga ku, mengaku percaya kepada Dewa Arshi, Karkuma menadah kedua belah tangannya ketika mengikrarkan sumpah yakin itu. Dan secara langsung tandanya dia telah menjadi penganut ajaran Arshi.

Al-Qufli sangat gembira. Dia juga menadah kedua tangannya ke langit. Tuk Pagai dan Teggal tercengang tetapi tidak terkejut mendengar Karkuma melafazkan sumpah itu. Kemudian apabila mereka tunduk ke bumi, mereka terkejut yang amat sangat apabila melihat berderet pokok-pokok kunyit yang terdapat di sekeliling tempat Karkuma berdiri, bersujud menghala arah kaki Karkuma.

Jika angin meniup sekali pun, mustahil pokok-pokok kunyit itu boleh bersujud pada satu arah, iaitu arah tengah di mana kaki Karkuma berpijak. Seakan-akan kaki Karkuma kiblat bagi pokok-pokok kunyit itu. Ajaib!

Hesh, ajaibnya...apa sedang terjadi di depan mata ku inen, bisik Tuk Pagai.

Wahhh! Ubi-ubinya berjongolan dari tanah, Teggal berkata dengan penuh ghairah.

Pokok apakah inen Tanya Tuk Pagai. Mereka memandang ke arah Karkuma.

Inen pokok kunyit, jawab Karkuma dengan yakin. Kelihatan pokok-pokok kunyit yang berada jauh dari tempat Karkuma berdiri juga turut satu persatu sujud ke arah Karkuma.

Sungguh menakjubkan. Karkuma sendiri terketar-ketar dibuatnya. Teggal cuba menegakkan sebahagian dari pokok kunyit itu, tetapi apabila dilepaskan, pokok-pokok itu bersujud semula.

Al-Qufli pula nampak tenang dan tersenyum lembut sambil berkata, Usah terperanjat, atawa takut wahai sedara-sedara ku, Al-Qufli memandang wajah Tuk Pagai dan Teggal yang masih kehairanan dengan tindak-tanduk pokok kunyit sebaik sahaja Karkuma melafazkan pengakuan menjadi penganut ajaran Arshi.

Mengkema pernah memohon berkehendak akan bukti kekuasaan Dewa Arshi, sebelum mempercaya akan adanya Dia Tanya Al-Qufli. Teggal dan Tuk Pagai mengangguk.

Al-Qufli tenang berkata lagi, Inen dianya! Serenta Karkuma ikhlas mempercayai kepada Dianya, Dia lahar membuka bukti buat Karkuma. Percaya tanpa minta bukti, utu ikhlas. Tapi kalu minta bukti baru percaya, utu bukan ikhlas.

Teggal dan Tuk Pagai mengangguk. Nampaknya kali ini mereka benar-benar faham. Karkuma semakin tenang. Mengertilah dia bahawa keikhlasan akan muncul di dalam hati seseorang dengan sendirinya. Dan begitulah Tuhan di langit, manusia tidak perlu mendesak Tuhan tunjukkan bukti kekuasaannya. Tuhan akan tunjukkan kekuasaannya bila-bila masa dia suka, bagaimana dia mahu dan di mana sahaja dikehendakinya, kerana kekuasaan Tuhan Arshi adalah keikhlasan penganut-penganutnya.

Keajaiban pokok kunyit sujud pada kaki Karkuma telah benar-benar memberi kesedaran kepada mereka yang ada di situ. Malah ini keajaiban sangat luar biasa yang tidak pernah dialami oleh Al-Qufli sendiri.

Ketika Subuh sampai ke penghujungnya, matahari pagi mula memancari kehidupan dan menyuluh bukit bukau di sekeliling Kampung Seruntum. Al-Qufli dengan bangganya mengisytiharkan Karkuma sebagai bangsa Nabui pertama menjadi penganut ajaran Arshi, di bumi Nabui.

Di awal pagi itu, mereka berbincang mengenai keselamatan semua. Tuk Pagai, Teggal dan Karkuma membuat keputusan supaya Al-Qufli menetap di rumah Karkuma. Dikhuatiri panglima istana pada bila-bila masa sahaja akan kembali menyerbu rumah Tuk Pagai kerana kabar angin mengenai Al-Qufli berada di rumahnya sudah tersebar luas.

Mereka yang menjadi tukang penyebar berita itu ialah Warak Dongga. Beliau pernah ternampak Al-Qufli di rumah Tuk Pagai ketika dia bertandang di rumah Nanang mengambil penawar racun untuk Jameng.

Ya, di rumah nen penaka senang guru Qufli menyorok pada pepokok keladi gajah, andai ada panglima istana datang lagi. Kata Tenggal.

Tuk Pagai teringat sesuatu. Berkerut dahinya berfikir, dan berkata, Patutlah bunuh hukumannya kepada barang sapa yang menanam pokok utu di Pulau Nabui.

Tapi bila pula adanya pepokok keladi gajah utu di belakang rumah dikau Tanya Tuk Pagai dengan serius pada Karkuma.

Hamba kurang periksa, tau-tau pepokok inen udah ada. Mentak nen datangnya dari Dianya, jawab Karkuma. Al-Qufli senyum mendengar jawapan itu.

Pada malamnya, Sirehpani dan seluruh keluarga Tuk Pagai telah mengangkat sumpah menjadi penganut ajaran Arshi.

Kini menjadikan Karkuma, Sirehpani, Tuk Pagai, Mandeh, Teggal dan Saruni adalah enam orang Nabui terawal yang dengan rasmi menjadi penganut ajaran Arshi di Pulau Nabui. Sejak itu, mereka bersungguh-sungguh mempelajari segala yang dituntut oleh ajaran Arshi. Dan sehingga mereka sudah benar-benar mendalami ajaran itu, baharulah mereka izinkan Al-Qufli berhijrah ke negara lain untuk terus mengembangkan ajaran Arshi.

Dalam pada itu mereka sedar, sesuatu harus dilakukan untuk mempengaruhi masyarakat Nabui menganut ajaran Arshi. Itu bererti perjuangan besar yang hebat harus mereka tempuh. Dan banyaklah kenikmatan dan ganjaran yang akan mereka peroleh dari Tuhan langit.

Sukarnya mereka fikirkan bagaimana hendak menyebarkan ajaran Arshi, tetapi sebenarnya lebih sukar untuk memastikan rahsia Al-Qufli berada di rumah Karkuma tidak diketahui oleh pihak kerajaan. Kerana hukuman yang menanti mereka jika pekara itu terbongkar, sudah pasti seberat-berat hukuman. Tidak lain dan tidak bukan, pancung kepala.

Lebih mencemaskan Karkuma apabila panglima istana mengetahui bahawa di belakang rumah dia ada banyak pohon keladi gajah. Karkuma yakin panglima-panglima istana itu akan datang kembali untuk menghapuskan pohon-pohon keladi gajah tersebut.