TORA DATANG LAGI - 8
Pondok telefon awam selalunya diletakkan di kawasan tumpuan ramai seperti kedai, kawasan perumahan dan kawasan pengajian. Dengan warna kuning hitam dan simbol gagang telefon pada bahagian cermin sisinya, pondok telefon awam amat mudah dikesan dari jauh lagi.

Terdapat telefon awam yang menggunakan syiling dan ada yang menggunakan kad. Kad telefon awam adalah sejenis kad prabayar yang boleh dibeli untuk digunakan pada manamana telefon awam.

Walaupun tujuan asal penciptaan telefon awam adalah untuk kegunaan awam atau kecemasan, telefon awam lebih dikenali sebagai port menelefon dan berbual panjang dengan kekasih hati. Selain dapat mengelakkan bil telefon rumah menjadi mahal, dalam masa yang sama dapat mengelak dari kantoi dengan ibu-bapa.

Untuk bergayut, duit syiling akan dikumpulkan molek-molek sebelum dibawa pergi ke telefon awam. Telefon awam yang menjadi

target selalunya adalah jenis yang tidak ramai orang. Ini kerana sangatlah tidak sedap untuk bergayut jika terdapat ramai orang sedang beratur di belakang. Selain mendatangkan rasa marah orang lain, pastilah segan rasanya mengungkap madah-madah cinta di hadapan pengguna telefon awam yang duk beratur.

Nilai syiling yang perlu bergantung kepada jarak dan kod negeri yang dipanggil. Tidak diketahui dari mana datangnya cerita, hampir kesemua kaki gayut mempercayai dengan menekan punat * dan # serentak sewaktu menggunakan

telefon akan dapat memanjangkan sedikit hayat percakapan. Walaupun tidak logik, ramai juga yang buat. Yang mati-mati tidak percaya pun senyap-senyap buat juga.

Dipercayai terdapat 100 cara untuk menggunakan telefon awam secara untung tidak rugi. Salah satunya adalah dengan mengetuk duit syiling 20 sen sehingga leper. Lumrah robot buat kerja, duit syiling leper ini akan dikesan sebagai syiling 50 sen dan sudah untung 30 sen di situ.

Antara cara yang lebih MacGyver adalah dengan menebuk lubang kecil pada duit syiling RM1. Seutas benang akan diikat kuat pada lubang yang ditebuk. Sementara sebelah tangan memegang benang, duit syiling tadi dimasukkan ke dalam telefon dan dilepaskan turun secara perlahan-lahan. Apabila naik sahaja nilai kredit RM1 pada skrin, benang akan dimainkan. Duit syiling akan ditarik dan dilepas berulang kali sehinggalah nilai kredit pada skrin sudah cukup banyak untuk bergayut. Duit syiling dan benang akan ditarik keluar semula dan disimpan untuk sesi bergayut yang lain di kemudian hari.