SANG PENGUASA - 8
Seseorang itu mudah menjadi penguasa dengan bantuan kekuasaan orang lain. Tetapi, dia akan mengalami lebih banyak masalah untuk mempertahankan kuasanya. Perkara ini telah banyak berlaku dalam kalangan penguasa Yunani terutamanya penguasa kota-kota di Ionia dan Hellespont. Darius melantik para penguasa tersebut untuk menjaga keamanan dan keagungannya. Pernah juga berlaku, rasuah dalam kalangan tentera telah menaikkan seorang maharaja.

Penguasa yang bergantung pada kekuasaan orang lain akan sering mengalami ketidakstabilan politik. Dia tidak tahu bagaimana dan tidak layak menduduki jawatan tersebut. Bagaimana kita mahu harapkan seseorang yang hidupnya biasa-biasa mampu untuk memerintah Tambahan lagi, dia tidak mampu mempertahankan kuasanya kerana tidak mempunyai kawan dan pasukan tentera yang setia. Negara yang bangkit secara tiba-tiba, tidak mempunyai dasar dan cabang yang kukuh. Apabila berlakunya serangan daripada musuh, ia akan mudah tumbang. Hanya mereka yang mempunyai kekuatan mampu bersedia dan mempertahankan apa yang diberikan kepada mereka. Seterusnya, membetulkan mana-mana kesilapan.

Saya berhasrat untuk mengemukakan dua buah contoh berkenaan perkara ini. Dua contoh tersebut adalah Francesco Sforza dan Cesare Borgia. Francesco merupakan tokoh yang hebat. Daripada rakyat biasa, beliau bangkit menjadi Duke Milan. Kekuasaan itu diperoleh dengan pelbagai masalah yang dapat dia hadapi dengan mudah. Manakala Cesare Borgia pula, yang digelar sebagai Duke Valenine, mendapat kekuasaan di Romagna dengan bantuan bapanya. Kemudian, dia hilang kuasa dengan cara yang sama walaupun dia mengambil pelbagai tindakan yang pernah dilakukan oleh penguasa bijak untuk mempertahankannya.

Mereka yang tidak mempunyai kedudukan yang kukuh sebelum mengambil kuasa, tetap akan dapat membinanya apabila mempunyai kekuatan walaupun terpaksa berkorban dan mengambil risiko. Apabila melihat kejayaan Duke Milan, kita akan nampak betapa kuatnya landasan kuasa masa depannya. Saya tidak mengenali mana-mana penguasa lain yang dapat dijadikan contoh dalam melaksanakan fahaman sebegini. Dia gagal bukanlah sebab kesilapannya, tetapi kerana nasib buruk yang luar biasa.

Alexander VI menghadapi pelbagai dugaan dalam usaha menjadikan anaknya seorang Duke yang hebat. Pada awalnya, dia melihat tiada cara lain untuk memberikan anakya sebuah kerajaan yang bukan milik Gereja. Sekiranya dia sanggup mengambil sebahagian wilayah Gereja, dia tahu Duke Milan dan orang Venetia tidak akan bersetuju. Wilayah Faenza dan Rimimi pula telah sedia di bawah perlindungan Venetia. Selain itu, Alexander VI mendapati pasukan tentera Itali, terutamanya pasukan Orsini dan Colonna, yang boleh membantunya, takut akan kekuasaan Paus. Maka wilayah-wilayah Itali patut diberikan tekanan dan kekacauan untuk memudahkannya dengan selamat mendapatkan kuasa di wilayah-wilayah mereka. Hal ini mudah untuk dilakukan oleh Alexander VI kerana dia mendapati Venetia sibuk dengan hal mengembalikan Perancis ke tangan Itali. Dia tidak menentang hal tersebut, malah menjadikan perkara itu lebih mudah dengan meleraikan perkahwinan Raja Louis.

Raja Louis memasuki Itali dengan bantuan Venetia dan keizinan Alexander VI. Sebelum dia tiba di Milan, Paus telah menemuinya di Romagna yang bakal menaikkan reputasi raja tersebut. Ketika Duke Milan memperoleh Romagna dan menewaskan Colonna, dua perkara yang menghalangnya untuk terus maju. Pertama adalah pasukannya sendiri yang tidak setia. Keduanya adalah keazaman Perancis, dengan kata lain, dia khuatiri pasukan Orsini yang membantunya akan menghalangnya untuk terus maju malah merampas apa yang mereka peroleh. Hal itu juga mungkin akan dilakukan oleh Raja Louis kepadanya.

Selepas memperoleh Faenza dan menyerang Bologna, dia mendapati pasukan Orsini terasa berat hati ketika melakukan serangan tersebut. Berkenaan Raja Louis, setelah mereka memperoleh Urbino, Duke Milan menyerang Tuscany, tetapi dihalang oleh raja itu sendiri. Sejak itu, dia tidak mahu bergantung pada mana-mana kekuatan dan kejayaan orang lain.

Tindakan pertama yang diambil oleh Duke Milan adalah melemahkan Orsini dan Colonna di Rom. Dia memberikan penghargaan, pangkat dan kekayaan kepada pengikut-pengikut mereka. Dalam masa beberapa bulan, kesetiaan mereka akan luntur, lantas memberikan sokongan kepada Duke Milan. Dia menunggu kesempatan untuk menumpaskan para pemimpin Orsini selepas meleraikan pengikut pasukan Colonna. Pihak Orsini terlalu lewat melihat matlamat Duke itu. Malah, Gereja bakal menghancurkan mereka. Lalu, Orsini mengadakan mesyuarat di Magione, Perugia. Hasilnya, pemberontakan tercetus di Urbino, rusuhan di Romagna dan pelbagai bahaya lain untuk menyerang Duke. Duke menghadapi penentangan ini dengan bantuan Perancis.

Setelah memulihkan reputasinya dengan tidak mempercayai Perancis atau mana-mana pihak kerana bimbang akan dikhianati, Duke Milan melakukan sebuah tipu muslihat. Dia bijak menyembunyikan muslihatnya sehingga Signor Paolo dari Orsini terjebak untuk berdamai. Duke memberikannya jawatan, wang, pakaian dan rumah untuk menghilangkan keraguan Paolo. Akhirnya, kekuasaan Orsini jatuh ke tangannya di Sinigaglia. Para pemimpinnya dihapuskan, para pengikutnya dijadikan rakan, dan Duke akhirnya mendirikan kuasa yang kukuh. Dia memperoleh Romagna dan wilayah Urbino, akhirnya penduduk mula berasa beruntung di bawah pemerintahannya.

Ketika Duke Milan menguasai Romagna, dia mendapati ia diperintah oleh penguasa yang lemah yang lebih rela merampas harta rakyat daripada memerintah mereka. Lebih banyak meruntuhkan perpaduan daripada menyatukan. Seterusnya menimbulkan negara yang penuh dengan pergaduhan, rompakan dan pelbagai keganasan. Maka untuk mengembalikan keamanan, pemerintah yang baik diperlukan. Duke melantik Messer Ramiro de Ocro, seorang yang kejam namun cekap, sebagai penguasa Romagna dan memberikannya kuasa penuh. Dalam masa yang singkat, lelaki itu telah mengembalikan keamanan dan perpaduan dengan kejayaan yang besar.

Duke sedar, terlalu bahaya meletakkan kuasa penuh kepada Ramiro. Maka, dia membangunkan mahkamah keadilan dan setiap kota mempunyai perwakilan masing-masing. Dia juga menyedari kezaliman yang dilakukan oleh Ramiro akan tempias kebencian pada dirinya sendiri. Untuk menjernihkan tanggapan itu pada fikiran penduduknya dan mendapatkan sokongan daripada mereka, dia menunjukkan bahawa kekejaman yang berlaku tidak datang daripada dirinya sendiri, tetapi menterinya. Seterusnya, dia merancang pembunuhan Ramiro dan meninggalkan mayatnya di Cesena. Kekejaman Ramiro berakhir, dan penduduk mula berpuas hati dan takjub.

Sekarang kita dapati, Duke Milan berada dalam keadaan berkuasa dan selamat daripada sebarang bahaya dengan kekuatan dan caranya sendiri. Dia menghapuskan persekitaran yang membawa kerugian kepadanya sekiranya dia berhasrat untuk melakukan penaklukan. Seterusnya, dia perlu memikirkan mengenai Perancis yang tidak akan menyokong hasrat tersebut. Sejak itu, dia mula mencari rakan sekutu yang baru dan melekakan Perancis dengan ekspedisi di Kerajaan Naples untuk menentang Sepanyol. Tujuannya adalah untuk memastikan dirinya sentiasa dalam keadaan selamat. Selamat untuk menentang mereka. Dia dapat mencapainya dengan pantas sepanjang Alexander hidup.

Inilah langkah-langkah yang diambil oleh Duke pada masa itu. Tetapi terdapat masa hadapan yang perlu dia bimbang. Dia khuatir mungkin hubungannya dengan pengganti Paus tidak beberapa baik. Mungkin juga pengganti tersebut akan merampas apa-apa yang dia peroleh daripada Alexander. Maka dia membuat keputusan untuk mengambil empat tindakan. Pertamanya, membunuh keluarga para penguasa yang boleh menghilangkan peluang Paus. Keduanya, menjalinkan hubungan persahabatan dengan bangsawan Rom supaya pergerakan Paus yang baru dapat dipantau melalui mereka. Ketiganya, menjadikan Kolej Kardinal memihak kepadanya.

Keempat, mendapatkan kuasa yang lebih besar sebelum Paus meninggal supaya dia dapat menghalang mana-mana serangan pertama yang dilakukan oleh Paus yang baru. Daripada empat tindakan ini, dia dapat mencapai tiga ketika kematian Alexander. Dia hampir mencapai matlamat yang keempat dengan membunuh seramai mungkin musuhnya. Namun, sebahagiannya dapat melarikan diri.

Dia mendapat sokongan bangsawan Rom dan Kolej Kardinal. Dia telah mendapat kuasa yang besar sehingga mampu menguasai Tuscany, Perugia, Piombino dan Pisa. Seterusnya, Lucca dan Sueba menyerah kepadanya kerana sebahagiannya membenci Florentines dan sebahagian lagi kerana takut. Tambahan lagi, Florentine sudah tidak mempunyai sumber kekayaan.

Alexander meninggal selepas lima tahun hidup dengan pedang. Dia hanya meninggalkan Duke wilayah Romagna, selebihnya masih dalam status rebutan antara dua pasukan musuh yang kuat. Namun, Duke mempunyai keberanian dan kemahiran yang handal. Dia telah masak pada waktu bila seseorang itu akan menang ataupun tewas. Hasil dasar yang telah dibina dalam tempoh masa yang singkat, dia tetap akan dapat melepasi pelbagai masalah sekiranya kedua-dua pasukan itu tidak dapat ditundukkan.

Landasan yang diletakkan oleh Duke kelihatan baik apabila Romagna dapat menunggu lebih daripada sebulan. Walaupun keadaannya hampir terkandas di Rom, dia masih dalam keadaan selamat. Baglioni, Vitelli dan Orsini yang datang ke Rom, mereka tidak akan mampu berbuat apa-apa ke atasnya. Walaupun dia tidak dapat melantik Paus yang dia mahu, sekurang-kurangnya dia dapat mencegah sesiapa saja menjadi Paus. Sekiranya dia sihat sewaktu kematian Alexander, tentu segalanya berada dalam keadaan baik.

Pada hari Julius II dilantik menjadi Paus yang baru, Duke Milan memberitahu saya bahawa dia telah menjangkakan segalanya yang akan berlaku sewaktu kematian ayahnya. Dia telah menyediakan solusi untuk menyelesaikannya melainkan hal yang tidak pernah dia jangka, iaitu dia juga akan menuju kematian pada waktu kematian ayahnya.

Apabila segala tindakan yang diambil oleh Duke diceritakan semula, tiada perkara lain yang mahu saya galakkan melainkan mengikuti jejak langkahnya untuk membangunkan pentadbiran. Rancanganrancangannya gagal sewaktu dirinya tidak sihat dan pendeknya umur Alexander. Sesiapa yang mahu rasa dirinya selamat di dalam pemerintahan wilayah baru, untuk memenangi hati rakanrakan, untuk mengatasi pelbagai masalah sama ada secara paksaan ataupun penipuan, untuk membuatkan diri rasa dicintai ataupun ditakuti oleh rakyat, untuk diikuti dan dihormati oleh tentera, untuk menghapuskan mereka yang berkuasa, untuk melakukan pembaharuan, untuk menjadi lebih tegas dan pengasih, untuk menjadi lebih bermurah hati dan dermawan, untuk memusnahkan ketenteraan yang tidak setia dan membangunkan yang baru, untuk mengekalkan persahabatan dengan raja-raja dan para putera dengan cara mereka akan memberikan keuntungan, dan takut untuk memberikan kerugian, maka, tiada tindakan yang lebih baik daripada lelaki ini untuk mendapatkan hal-hal tersebut.

Perkara yang boleh disalahkan ke atas Duke adalah mengenai lantikan Julius II. Walaupun dia sedar tidak mampu melantik Paus yang baru, tetapi dia mampu mencegah sesiapa pun menjadi Paus. Dia seharusnya tidak melantik mana-mana kardinal yang dia sakiti menjadi Paus. Dalam kalangan kardinal tersebut adalah San Pietro ad Vnicula, Colonna, San Giorgio dan Ascanio. Selain itu yang akan menjadi Paus, pasti akan takut kepadanya melainkan kardinal dari Rouen dan Sepanyol. Sepanyol terus berada di sisinya kerana hubungan persaudaraan. Rouen pula mempunyai pengaruhnya yang besar dan mempunyai hubungan dengan kerajaan Perancis. Oleh itu, Duke patut mengangkat kardinal Sepanyol menjadi Paus. Paling tidak pun, dia patut mengangkat kardinal dari Rouen bukan San Pietro ad Vincula. Dia percaya kepentingan dan manfaat yang baru dapat melupakan luka-luka lama, tetapi dia silap. Duke silap memilih, dan pilihan inilah yang menjatuhkannya.