Jangan pernah puas dengan pencarian. Sebab kita tidak pernah tepat untuk mengerti atau menelaah sesuatu. Termasuklah ketika kita didatangi banyak orang yang kemudiannya melontarkan pelbagai ragam lisan. Jadilah pendengar yang waspada. Tanpa perlu bergegas membenarkan setiap ucapan yang didengar. Apatah lagi yang membuatkan kita berasa ragu. Meraikan pendapat, bukan bermaksud menerima.
Kebenaran bukan bergantung pada faktor umur. Siapa lebih tua, dia yang benar. Siapa yang muda, dia tidak mengetahui banyak hal. Sebetulnya kebenaran diiringi dengan segala yang digariskan oleh Allah dan Rasulullah. Kita ada garis panduan untuk membenarkan sesuatu perkara. Al-Quran dan as-Sunah. Siasat dahulu, buat timbal balik. Kemudian berlapang hatilah ketika menerima atau membuat keputusan.
Kebenaran datang dengan rasa. Sesuatu yang terpisah jauh daripada kemusykilan dan penentangan oleh banyak hal. Ilmu menjadi perisai dalam bertempur dengan pandangan-pandangan yang penuh kejahilan. Setelah bermohon kepada Allah untuk hati kita dibimbing, menidakkan atau membenarkan pantas sahaja menjadi satu keringanan pada jiwa.
Meraikan pendapat orang lain akan mendatangkan kemurnian dalam musyawarah. Jangan terus cantas pendapat yang bertentangan. Mana yang baik ambil, yang mudarat ditinggalkan. Pelajari adab memberi dan menerima. Batasi lidah daripada berkata perkataan yang mewakilkan emosi, bukan akal. Ingatlah bahawa Rasulullah telah pun memberi amaran tentang lisan manusia.
Dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaknya ia berkata baik atau diam.
(HR Bukhari dan Muslim)
Orang ego menganggap perbualan sebagai satu pertandingan, bukan perkongsian. Suka didengar, tapi benci mendengar. Posisinya mesti sentiasa di tempat yang disanjung. Dipandang. Dipuja. Hal ini yang selalu terjadi dalam masyarakat kita. Bahkan ternyata semakin parah. Ramai umat Islam yang berpecah belah hatta dalam membincangkan isu agama Islam itu sendiri. Ladang muafakat kian tandus.
Majalah Solusi yang mengangkat isu Dua telinga satu mulut ada menyertakan tujuh sunah mendengar. Teladani keperibadian Baginda Rasulullah s.a.w dalam adab mendengar.
1. Sedia untuk mendengar
2.
3. Menghadapkan badan ke arah orang yang bercakap
4.
5. Cuba memahami keadaan orang yang bercakap
6.
7. Tidak memotong percakapan
8.
9. Menghormati pendapat daripada sesiapa pun
10.
11. Tidak terus menyalahkan
12.
13. Membetulkan kesalahan dengan cara yang terbaik (bil hikmah)
14.
Ibn Abbas berkata, Orang yang bercakap denganku ada tiga hak atasku; Aku akan memandangnya apabila berhadapan, aku akan membuatnya selesa semasa duduk dan aku akan tumpukan perhatian kepadanya ketika dia bercakap.
Bila rasa diri dihukum dengan penilaian yang melulu oleh orang yang memberikan pendapat, pujuklah hati bahawa tiada penilaian yang lebih tepat melainkan penilaian oleh Pencipta. Dia Maha Tahu. Allah alAlim. Demikian juga ketika kita terpaksa mendengar persepsi yang bercanggah dengan apa yang telah kita teguhkan. Raikan pendapat mereka. Biarkan pihak yang bertentangan berkongsi apa yang terbuku dalam kotak pemikiran mereka. Meraikan, bukan bermaksud wajib menerima.
Ingat, bila memang apa yang diperkatakan itu adalah bertentangan dengan agama Islam, di situ menjadi tanggungjawab kita untuk memperbetulkan semula mana yang salah. Tegur kembali bil hikmah. Ambil kesempatan untuk berdakwah dengan membawa akhlak seorang Muslim. Saling mengingatkan antara satu sama lain.
Lawanlah hujah dengan lisan yang basah dengan ilmu-ilmu Rab. Kalau dirasakan pada ketika pertentangan yang sedang berlaku itu menuntut kita untuk berkata-kata, pastikan kita tidak menjadi dirinya yang kedua. Memperkatakan sesuatu tetapi singkat pemikirannya. Kalau ketika itu dengan berdiam adalah lebih mendamaikan, berdiamlah. Menjadi pendengar yang baik juga akan membenih rasa hormat dalam diri orang yang berkata-kata terhadap kita yang pernah mencuba dan menghasilkan sesuatu dalam hidup.