TRAVELOG FAGHUZI - 8
Bandung, Indonesia

Criticizing to destroy is easy, thinking in order to build is much more difficult to achieve.

- Tariq Ramadan

Hari ini bermula seperti biasa walaupun ianya hari baru. Seperti biasa ia ditempuhi dengan bangun awal sebelum alarm berbunyi. Terasa mudah untuk bangun pagi. Haeri masih dibuai lena. Mungkin sebab Haeri adalah seorang yang bekerja dan ketika mengembara inilah masanya dia merasa tidur yang memuaskan. Baginya, waktu ini dia bebas dari rutin yang membelenggu sebagai pekerja. Aku pula tak kerja, selalu tidur lambat, bangun pun lambat. Tak teratur, namun senang pula aku bangun pagi. Tapi tak tahulah bagaimana nasib aku sekiranya sudah bekerja. Dipendekkan cerita, sesudah mandi, bersarapan dan segala rutin pagi, kami keluar menikmati keindahan Bandung. Pertama kali aku jejakkan kaki di sini. Mahu juga merasai seperti mereka yang pernah menjejakkan kaki di sini. Kami mengorak langkah keluar dari ruang receptionist homestay. Ruang receptionistnya bukanlah seperti hotel. Cuma ruang garaj yang telah diubahsuai. Ada juga brochure mengenai tour di sini. Namun, mengapa nama Bantal Guling dipilih itu masih menjadi tanda tanya. Hanya beberapa rumusan tak bertauliah mampu dibuat. Mungkin nama tersebut dipilih kerana keadaan landskap rumah banglo tersebut di lereng bukit seakan bila mencampakkan bantal, maka bantal berguling menuruni lereng bukit. Atau ia menggambarkan keselesaan dan kelenaan untuk menginap di situ. Ah! Semua ini hanya analogi mentah yang terbit secara mendadak di lubuk fikiran.

Mau ke mana Saya bisa hantar, tiba-tiba satu suara di keheningan pagi mengganggu lamunan kami di laman rumah. Aku dan Haeri memandang seorang mas yang menaiki motor kapcai.

Kami mau jalan ke sana, menaiki angkutan, balas Haeri bersahaja.

Ayo, saya bisa hantar. Kalian naik aja sepeda motor ini, Mas itu membalas sambil tersenyum dengan sebatang kretek di bibir. Aku dan Haeri juga tersenyum memikirkan untuk naik motor tiga orang. Tapi kami anggukkan saja kepala tanda setuju. Mas ini mungkin juga anak tuan rumah homestay yang bekerja di sini, atau dia memang pekerja yang diambil bekerja di sini. Kami pun menaiki motor. Aku di tengah, Haeri di belakang.

Throttle minyak dipulas. Jalan berbukit-bukau sedikit. Sekejap menaiki bukit dan kemudian menuruni bukit. Berselang-seli. Di kala itu juga aku tersedut asap rokok kretek yang dihembus oleh mas yang membawa motor. Aku menoleh ke arah Haeri, nampak sikit mukanya yang takde perasaan dan selepas itu tersengih melihat pemandangan sekeliling. Aku toleh balik dan tengok di tepi ada sekolah. Kemudian ternampak pula cewek-cewek sekolah di pagi hari. Fuh, rasa terpesona, patutlah Haeri tersengih. Asap rokok kretek yang disembur oleh mas itu sekali lagi mengenai aku namun dipersetankan kerana sudah terpesona.

Iya, sudah sampai! Kalian bisa menunggu angkutan di sini.

Terima kasih, mas, ucap kami berdua turun dari motor dan dibalas dengan anggukan kepala serta bibir tersenyum. Kelibat mas itu berlalu dan kemudian membunyikan hon kepada kami. Dia menunjuk ke arah sebuah angkutan dengan tangan kanannya. Kami pun berlari melintas jalan sambil melambai ke arah angkutan itu. Angkutan yang dinaiki berwarna hijau. Kalau tak silaplah. Sekali pandang je masa lari nak naik angkutan ni. Kalau warna lain nanti aku bagitau.

Bisa ke Jalan Dago, pak aku bertanya sebaik menaikinya.

Iya, bisa! balas pak supir angkutan itu sambil kepalanya mengangguk mengikut alunan muzik band Siksa Kubur yang berkumandang di corong radio. Termangu aku melihat gelagatnya. Fuh! Stylela supir ni! kataku dalam hati.

Kami pun duduk. Keadaan waktu itu sudah sedikit sempit dengan seorang mak cik memegang tin biskut dan anaknya berpakaian sekolah di sisi. Terdapat juga seorang pakcik berkopiah memegang suratkhabar terlentok dengan muzik band Siksa Kubur, dua orang kanak-kanak perempuan berpakaian sekolah dan seorang remaja lelaki berpakaian sekolah. Aku dan Haeri tersenyum saja dan senyuman itu ada yang berbalas dan juga tidak.

Dalam perjalanan dengan angkutan, terdengar budak sekolah menyebut kiri! dan kemudian pak supir menekan brek. Budak sekolah itu turun. Angkutan meneruskan lagi perjalanan dan sekali lagi perkataan kiri disebut oleh mak cik yang memegang tin biskut. Seraya itu, pak supir menukar kaset Siksa Kubur kepada kaset Marjinal ketika berhenti. Terjaga pula pakcik berkopiah memegang suratkhabar.

Maaf pak, di mana mau berhenti untuk ke Jalan Dago Haeri menegur pakcik berkopiah itu yang duduk di sebelahnya. Manakala aku tertanya-tanya adakah perkataan kiri itu bermaksud berhenti. Perhatian aku kembali kepada penjelasan pakcik berkopiah itu yang menyatakan kami perlu turun setelah melalui dua simpang ke kiri. Pada pagi yang nak masuk tengahari tu, pakcik berkopiah terasa seperti seorang tourist guide. Dua simpang kiri pun kami lalui, lalu aku memekik perkataan kiri, dan memang benar beberapa saat selepas itu, pak supir berhenti. Kami pun turun dan membayar upah sebanyak Rp2,000 kepada pak supir.

Tibalah kami di Jalan Dago. Di sepanjang deretan kawasan ini menempatkan distro-distro pakaian keluaran tempatan dengan harga yang memang murah. Memang menjadi faktor mengapa rakyat Malaysia gemar ke sini untuk membeli-belah. Bukan hanya ada distro lokal sahaja, mereka juga mempunyai butik-butik jenama antarabangsa. Namun apa yang boleh diamati adalah kehebatan local brand yang teguh bersaing dengan jenama antarabangsa. Terdapat juga beberapa shopping mall di sekitar Bandung. Maklumlah ianya diibaratkan sebagai syurga membeli-belah. Persekitarannya juga tidak begitu asing apabila kekadang kami terdengar suara-suara yang berbual itu bunyinya seperti Bahasa Melayu Malaysia. Memang mudah terserempak dengan orang Malaysia dan cewek-cewek Bandung yang kebanyakannya memang cun-cun belaka. Rambang mata sebentar. Memang benar kata-kata orang bahawa gadisgadis Bandung memang menawan. Yang menjual bakso juga ada yang persis sang model.

Setelah mengusha pakaian di distro-distro yang berderet itu, sehelai jaket windbreaker dibeli dengan harga Rp200,000. Jika ditukar ke Ringgit Malaysia lebih kurang RM60. Aku ke sini tanpa sebarang jaket atau sweater. Nanti pergi naik gunung menggigil kesejukan pula. Seluar pendek juga aku beli memandangkan seluar pendek yang sedang dipakai ini sudah koyak berlubang di bahagian bontot. Ia menampakkan warna boxer aku yang kontra dengan warna seluar pendek. Haeri pula membeli dua helai t-shirt.

Usai membeli-belah kami melepak di sebuah minibar yang terletak di deretan lot kedai terbabit. Namanya Juicide, agak menarik tempatnya. Minuman yang disediakan pula mempunyai nama-nama menarik seperti For God Shake, Bang Bang Youre Dead, Suck it and See, Fuck Forever, Whatever, Working Class, Miserable Heaven dan bermacam lagi. Minumannya adalah minuman shake campuran buah-buahan. Kami membeli untuk menghilangkan dahaga di tekak.

Dikesempatan itu juga kami bersembang dengan peniaga bar terbabit yang peramah. Dia memberitahu kami tips-tips berwisata di Bandung. Dia turut menyebut mengenai Tangkuban Perahu, sebuah tempat tarikan pelancong di kabupaten (wilayah) Bandung. Punya sebuah kisah lagenda. Menurut Mas Dimas yang meniaga di bar tersebut, gunung Tangkuban Perahu terjadi akibat daripada perahu yang ditelangkupkan (tangkuban bermaksud terbalik di dalam Bahasa Indonesia) oleh seorang lelaki bernama Sangkuriang akibat marah diperdaya oleh tuan Puteri, Dayang Sumbi. Hal ini berlaku kerana asalnya mereka berdua jatuh hati sesama sendiri namun kemudiannya Dayang Sumbi mendapat tahu bahawa Sangkuriang itu merupakan anak lelakinya sendiri. Hal ini diperkuatkan lagi dengan parut yang terdapat pada Sangkuriang sama seperti parut anak lelakinya yang hilang. Bagi mengelak untuk dinikahi oleh anak lelakinya sendiri maka Dayang Sumbi membuat syarat kepada Sangkuriang untuk menyiapkan sebuah perahu besar sebelum matahari terbit. Sangkuriang membuat perahu dengan bersungguh-sungguh. Melihatkan perkara mustahil itu mampu disiapkan Sangkuriang, tuan puteri meminta bantuan jin untuk mempercepatkan hari. Matahari pun terbit sekaligus membuatkan Sangkuriang mengamuk dan menendang perahu besar itu, melayang lalu membentuk sebuah gunung bernama Tangkuban Perahu. Itulah cerita lagendanya. Menurut Mas Dimas lagi, di situ harus berhati-hati dengan ulat-ulatnya. Mereka akan mengekori pelancong sehingga pelancong membeli barangan dijual. Keadaan itu boleh membuatkan pelancong berasa jengkel dan tidak selesa.

Pada masa yang sama kami berbual mengenai underground scene di sekitar Bandung. Dari penceritaannya agak meriah. Boleh dikatakan saban minggu pasti ada gig berlangsung. Nama-nama band Indonesia yang disebutnya ada dikenali oleh aku seperti Marjinal, Straight Answer, Superman is Dead, Rosemary, No Label, Nudist Island dan bermacam lagi. Mas Dimas juga memberikan kami sebuah zine berjudul Inkoherent Nutritionist yang seperti kebanyakan zine di Malaysia bercerita mengenai scene muzik, seni, sastera dan sehinggalah ke perjuangan kaum marhain. Zine itu dibuat bercirikan sebuah zine kebanyakan. Bersaiz A5, fotokopi dengan helaian mencecah 30 muka surat.

Hari semakin petang. Kami menaiki lagi angkutan untuk ke Hummingbird Cafe yang terletak di Jalan Progo untuk berjumpa dengan kawan Haeri yang dahulunya satu kelas ketika belajar di Multimedia University (MMU), Melaka. Cafe ini juga menempatkan tempat penginapan di samping cewek-cewek cun Bandung. Dalam perjalanan, kami sempat menyinggah membeli simkad Indonesia, XL yang berharga Rp50,000. Bolehlah kami berinternetan di sini. Sampai saja di Hummingbird Cage, kami duduk di bahagian yang boleh merokok, menunggu kawan Haeri bernama Scha. Kami mencuba nombor fonsel kami dengan menghubungi nombor masing-masing untuk melihat adakah nombor sudah aktif. Cuba punya cuba, tak dapat. Rupanya nombor kami ini telah tidak sengaja bertukar. Nombor pilihan aku telah tertukar kepada Haeri dan sebaliknya. Barulah tahu kenapa kami tak dapat menghubungi nombor masing-masing kerana secara teknikalnya kami mendail nombor simkad kami. Terasa bangang bila menyedarinya. 15 minit berlalu, Scha tiba di meja kami. Dia baru balik kerja dari sebuah hotel di Bandung. Kami senyum dan bersalam-salaman. Scha menceritakan pelbagai perkara setelah membuat pesanan. Kebanyakan makanan dan minuman di cafe itu berasaskan westerner. Dia menyarankan kami ke Jogjakarta kerana padanya itu tempat yang penuh dengan unsur kebudayaan. Hanya luangkan sedikit masa sahaja ditempat seperti Jakarta dan Bandung. Kemudian topik beralih pula kepada Haeri dan Scha yang menceritakan mengenai rakan-rakan satu universiti mereka dahulu. Menggamit memori barangkali. Aku membiarkan mereka bercerita sambil aku mengeluarkan sebuah buku yang aku jadikan jurnal sejak tiba di Jakarta. Sedang mereka rancak berborak, aku menulis apa terlintas dalam relung hati dan fikiran.

Malam menjelang lagi dan kami sudah kembali ke tempat penginapan. Kami hanya berjalan kaki pulang setelah angkutan berhenti di Jalan Dago. Mudah pula mengingati jalan pulang. Esok kami akan berangkat untuk bertukar tempat tinggal. Ingin tinggal berhampiran dengan stesen keretapi kerana mahu membeli tiket ke Jogjakarta. Namun malam yang dingin ini Haeri berbicara sesuatu kepadaku. Bertanyakan kepadaku benarkah hanya orang Islam yang berbuat baik sahaja akan memasuki syurga malahan yang berbuat dosa pun akan dimasukkan ke syurga setelah dihukum.

Macam mana pulak dengan orang bukan Islam yang buat baik, selalu tolong orang. Diorang ni tetap masuk neraka jugak Adil ke camtu antara perbualan yang terpacul dari mulut Haeri. Boleh tahan apa yang bermain di fikiran Haeri. Ini soalan eksistensialis ke apa.

Mungkin orang bukan Islam balasannya macam bapa saudara Nabi Muhammad kot. Bapa saudara nabi kan tak sempat mengucap dua kalimah syahadah dan kemudian wafat. Perkara itu menyedihkan nabi memikirkan nasib bapa saudaranya yang sentiasa menyokong dan menyayangi Rasulullah serta perjuangannya. Namun, macam yang aku tau seksaannya diringankan. Ada pula yang kata bapa saudara nabi ditempatkan di antara syurga dan neraka. Mungkin nasib orang bukan Islam yang baik pun macam tu. Tak tau lah. Biar perkara itu antara mereka dan Tuhan, aku membalas sambil menghabiskan rokok kretek.

Hmm... mungkin juga. So, kita ni sebenarnya tak bolehla nak judge orang sangat kan balas Haeri lagi. Aku mengangguk tanda setuju. Perbualan selepas itu terhenti lama. Haeri pula mahu masuk tidur dan aku masih mahu menghisap rokok dengan menikmati malam itu walaupun jam menunjukkan sudah tengah malam. Kemudiannya kelihatan Haeri sedang bercakap sesuatu kepada bibik tersebut.

Ada baju nak basuh tak Cepat bagi bibik ni, tempik Haeri kepadaku. Aku bergegas ke bilik mendapatkan pakaian kotor lalu diberikan kepada bibik.

Saya basuh baju kalian tapi esok pagi sebelum keberangkatan, jangan dibilang ada mencuci pakaian. Nanti akan dicaj. Jangan pernah dibilang sama orang lain, ujar bibik itu. Kami pun bersetuju. Baik hati bibik ni. Nak tolong basuh pakaian kami tanpa mengenakan bayaran.