Banyak hasil tangkapan yang mereka kutip. Ia menjadikan mereka tamak dan lupa diri. Mereka yang kebanyakannya adalah penghuni persisiran pantai juga lupa dengan tabie laut, iaitu apabila berlaku kejadian yang luar dari kebiasaan maka ia bakal mengundang sesuatu yang tidak baik. Perjalanan rutin makhluk Tuhan di dalam laut dan makhluk Tuhan bernama laut itu amat teratur.
Mereka cukup taat dengan Rabbul Jalil. Mereka juga tidak putus berzikir dan memuji Illahi. Sifat kehambaan makhluk ini kadangkala mengatasi sifat kehambaan yang dimiliki oleh manusia itu sendiri yang melata dan mentadbir muka bumi ini.
Janganlah kita tersinggung dengan hakikat ini kerana kita semakin cintakan dunia dari menjauhkan diri dari memperjuangkan agama dan memikul amanah sebagai khalifah Allah. Sikap kita amat digemari oleh musuh. Mereka mudah meratah kita kerana benteng iman yang amat tipis dalam diri umat Islam.
Islam itu tinggi dan tidak ada apa yang lebih tinggi darinya. Allah redha pada hambanya yang meredhai dirinya sendiri. Menerima Islam sebagai agamanya dan Nabi Mohammad sebagai Rasulnya.
Kita semakin kebal nampaknya. Lebih takut akan kehilangan nikmat dunia dari mempersiapkan diri bagi menghadapi apa yang lebih kekal di akhirat. Kita menyertai kaum Yahudi dan Musyrikin yang lain untuk mempersendakan agama. Kita mempersendakan Allah. Kita mengalah dan menjadi sebahagian dari bangsa-bangsa yang sesat. Kita hayati ajaran, cara hidup dan budaya mereka sehingga lupa pantang larang sebagai saorang muslim.
Ada yang tahu tetapi masih bertangguh . Ada yang merasa sudah cukup iman di dada. Malah ada yang dengan angkuh mempersoalkan bala dari Tuhan, kerana selama ini mereka tidak menerima apa-apa balasanpun walaupun telah lama mengerjakan kemungkaran.
Akhirnya Allah tunjukkan sedikit kuasanya dengan menghantar ombak besar yang berupa gelombang yang sangat panas dan kotor. Banggunan-bangunan keras lumat dihancurkan. Manusia digulung seperti batu-batu kecil yang ditembak oleh air dari paip bomba yang deras. Sungguh dashyat..!
Ombak tsunami tidak datang dan berkampung lama di daratan. Ia datang hanya untuk menyampaikan amaran, peringatan serta balasan kepada mereka yang terlalu keras hati terhadap agama.
Ia datang hanya 23 minit di Aceh. Dari pukulan pertama hinggalah ia surut. Tempoh tersebut diambil untuk menyampaikan mesej Ilahi. Ombak sebagai hamba Allah menjalankan tugas dengan penuh taat dan menunjukkan komitmen yang tinggi. Persinggahan seketika tetamu maut ini telah memusnahkan harta benda yang banyak dan meragut lebih 160 ribu nyawa.
Ia mampu untuk pergi lebih jauh dan lebih lama. Namun cukuplah untuk kali ini. Lihat dulu setakat mana manusia akan mendapat pengajaran.
Di Thailand ombak tsunami meratah persisir pantai hanya 4 minit tetapi telah mengakibatkan kerosakan berbilion ringgit serta kematian seramai 5395 orang. Di India dan Sri Langka yang jaraknya melebihi 1600km dari pusat gempa mengamuk selama 3 minit tetapi tugas yang dilaksanakan cukup sempurna. Kematian dianggarkan seramai 54,608 orang.
Bayangkan jika ombak tersebut singgah selama sehari atau 24 jam. Mungkin 2/3 daratan bumi ini akan dirobek tanpa belas kasihan. Kita amat bersyukur kerana Allah masih sayang pada sebahagian dari kita dan telah menghadkan bencana untuk satu tempoh yang sangat singkat. Ia seharusnya menjadi satu pengajaran dan diambil iktibar oleh semua untuk kembali ke pangkal jalan agar kita tidak terpilih untuk menjadi mangsa seterusnya. Sesungguhnya ketahuilah bahawa makhluk Allah sangat banyak. Sesiapa sahaja boleh diutuskan olehNya untuk menjalankan tugas itu. Maka berhati-hatilah agar kita selamat di dunia dan di akhirat.