Walaupun sudah terjaga, Osman belum melakukan rang gerakan. Dia terpaksa membuat rakaman balik menyegarkan ingatannya tentang kehadirannya di tengah samudera tulang-belulang. Setelah tingkat kewarasannya pulih, Osman cuba untuk bangun. Pinggangnya bagaikan menggalas beban batu yang berat. Digagahinya hingga tubuh mampu tegak berdiri sambil memegang rak kayu itu.
Dia cuba menentukan arah datangnya kebisingan yang mengejutkan dia. Osman keluar dan stor itu. Jelas baginya bahawa keriuhan itu datang dan makmal Dr Jalani. Pandangannya kian menjadi jelas, nampak celah pintu makmal dengan bingkainya. Dia menghampiri pintu itu. Bunyi pekikan membesar. Osman mendapati pintu tidak berkunci. Dengan dorongan lembut, pintu itu dibukanya. Dia melangkah masuk. Tercengang Osman melihat parafernalia yang mengisi ruang makmal itu. Ibarat pameran alat-alat perubatan. Tangannya menutup pintu seakan-akan tidak mahu orang lain tahu kehadirannya di makmal Dr Jalani.
Osman bergerak menuju ke sumber yang mengeluarkan bunyi bising. Dia sampai ke pintu bilik kurungan haiwan yang ternganga. Pada pintu itu tertera peringatan berbunyi:
SILA TUTUP PINTU RAPAT-RAPAT. Jelas pada fikirannya, amaran yang tertulis di atas pintu itu tidak dipatuhi sepenuhnya. Kakinya melangkah masuk tetapi nalurinya memberjtahu jangan. Kegelapan dengan bunyi haiwan yang memberontak menyebabkan dia menyebelahi nalurinya. Osman berundur dan menutup pintu seperti arahan pada pintu itu. Sisa kebisingan menjadi begitu kecil untuk dirakam oleh anak telinga.
Dia kembali menyusuri deretan radas-radas di kiri kanannya. Tidak ada yang lebih menggembirakan bila matanya tertumpu pada IBM PC yang begitu menambat hati. Euforia yang bergelora menggerakkan kakinya menghampiri komputer itu. Disentuh monitor itu selembutnya jari yang ingin menyentuh puncak hidung seorang gadis. Kedua-dua disc drivenya berdiri di bawah meja, sekaligus berfungsi sebagai panel. Osman meninjau kemampuan komputer itu. 186 megabyte, cukup untuk menyalin seluruh karya Shakespeare sebanyak empat atau lima kali. Congak Osman. Setelah kuasa komputer dihidupkan, jari-jarinya mulai menari-nari di atas kuncikunci. Dia mengerti lingo sistem yang dipakai oleh komputer itu.
Di layar monitor muncul laporan saintifik mengenai pelbagai topik. Sebahagian boleh diikuti Osman. Sebahagian tidak. Terlalu berat untuknya. Kebanyakan data adalah dari pusat-pusat penyelidikan luar negeri. Melihat modem yang berbaring di rusuk komputer itu, Osman faham dan mana pengguna terminal itu memperolehi data yang tidak terhingga banyaknya. Hampir semua kota-kota besar di Amerika Syarikat dan Eropah yang mempunyai Pusat Penyelidikan Perubatan ada menyumbangkan hasil penyelidikan mereka kepada komputer IBM itu. Paling menarik adalah satu penyelidikan yang dilakukan Harvards Medical Research Institute di mana Duncan J.S. M.D. et al melakukan penyelidikan terhadap kelinci yang telah dibekukan hidup-hidup selama 48 jam kemudian dicairkan bekuan kelinci dan kelinci itu dapat hidup kembali selama 6 jam selepas jantungnya berdenyut. Banyak lagi artikel-artikel yang mutakhir mengenai hemopump yang dikembangkan oleh seorang doktor di San Francisco, rawatan Streptokinase pada serangan jantung dan penyetabil mitokondria.
Bagi Osman, apa yang disaksikannya dan komputer itu ibarat peninju amatur Malaysia mengacak-ngacak Mike Tyson. Bosan dengan data yang membanjiri benaknya yang jenuh, Osman memberhentikan kegiatannya dengan menutup komputer itu. Dia menyurung kerusi ke bawah meja komputer dan bergerak menuju ke meja Dr Jalani.
Kerusi eksekutif didudukinya. Tanpa silu-silu dia berlagak seolah-olah kerusi abahnya. Dipegang apa saja yang berada di meja itu. Foto berwarna anak-anak Dr Jalani juga tidak terlepas daripada gangguannya. Buku catatan PVC hitam dibukanya bersahaja. Catatan itu bermula dengan akronim di.ar.ti. Berminat untuk mengetahui kepanjangan daripada huruf-huruf itu, Osman meneliti kandungan catatan yang jelas bukan catatan harian Dr Jalani. Otaknya membaca catatan itu.
Teknik pemulihan (di.ar.ti) perlu diperkembangkan ke satu tahap yang kelak dapat diamalkan secara meluas. Teknik ini meliputi penyuntikan penyetabil mitokondria, dextrotrans methoxymethasone HBr 4% (DTMM HBr), satu jam sebelum kematian sel bermula. Sekiranya keutuhan dinding mitokondria berjaya dipertahankan, larutan Streptokinase VR 743 10% digunakan untuk mencairkan bekuan darah secara i.v. dan i.a. Jika ini tercapai peringkat memuaskan, Hemopump SK 5000 dimasukkan secara retrogade ke ventrikel jantung. Pencairan darah diteruskan dengan memberi chelating agent seperti EDTA 0.05% sebelum pertukaran fransfusi dilakukan. Transcutaneus atau intracardiac pacemaker perlu dipasang serentak dengan pernafasan buatan. Pembedahan pembetulan boleh dilakukan sebelum atau selepas pemulihan fungsi-fungsi vital. Ini bergantung pada patogenesisnya. Heparinisasi perlu dikawal rapi dengan parameter-parameter yang lengkap. Gas-gas darah, elektrolit-elektrolit dan pH darah perlu diseimbangkan ....
Benak Osman tidak mampu menggarap rangkaian katakata teknikal yang memerlukan sekurang-kurang enam tahun bagi membolehkan seseorang mengikuti kandungan ayat-ayat itu. Fikir Osman, tentulah mukadimah itu berkaitan binatang percubaan yang terkurung di bilik bawah tanah itu. Halaman-halaman berikutnya lebih terperinci membahas kaedah-kaedah penyelidikan, rujukan-rujukan dan hasil-hasil invitro lainnya.
Ditutupnya buku catatan itu tanpa mengetahui erti di.ar.ti. Dia yakin bunyi ti pada akronim itu bermaksud technique. Atau E.T. macam filem fiksyen Spielberg dengan makhluk asing dan angkasa lepas. Osman tidak lagi berminat dengan teka-teki itu. Dia bangun sambil membetulkan apa sahaja yang disentuhnya ke kedudukan asal. Tidak ingin kelancangannya diketahui orang, tangan itu beberapa kali merubah buku catatan untuk dipadankan dengan ingatannya tentang kedudukan asal buku itu. Berasa puas dengan pembetulan itu, Osman meninggalkan meja Dr. Jalani seperti tidak sedikit pun diusik.
Sampai di pintu makmal, Osman ragu-ragu sama ada hendak menutup lampu atau tidak. Tetapi kemudian dia berfikir lebih baik ditutup sahaja. Pintu itu ditutup rapatrapat. Dia menuju ke Stor Osteologi. Sakit pinggangnya mulai terasa sengal tetapi tidaklah sesakit setelah dia bangun dan lenanya.Yang menghairankan dirinya, mengapa semasa dia bermain komputer di biik makmal Dr Jalani dia tidak rasakan sebarang kesakitan.
Osman mulai mengumpulkan tulang-tulang panjang yang belum diukur. Dengan duduk di lantai dia mulai semula kerja-kerja pengukuran. Terdapat lebih kurang 3 000 tulang panjang di stor itu. Dia hanya diarahkan mengukur 500 tulang sahaja. Sebahagian daripada tulang-tulang telah diukur oleh pembantu teknologi dan mahasiswa yang lalu.
Tetapi sejak format baru diperkenalkan, banyak keterangan yang perlu dikemaskinikan. Tiga ratus tulang panjang telah Osman ukur. Hanya tinggal 200 sahaja. Dia tidak mahu seperti tadi. Mengukur tulang-tulang seperti robot. Jika dia dapat menyelesaikan kerja-kerja itu pagi itu juga, dia tidak akan segera menyerahkan hasil pengukurannya kepada Dr Rusdani. Nanti Dr Rusdani curiga kalau cepat menyerahkannya. Biar sampai satu minggu baru diserahkan.
Perlahan-lahan Osman mengukur satu persatu tulangtulang tu. Perut terasa lapar lagi. Dalam keadaan kelaparan itu berbagai-bagai fikiran karut mendatang. Setiap kali cerita karut itu terbayang dalam benak, dia seolah-olah ingin berdamai dengan makhluk-makhluk ghaib itu. Biarpun ceritanya pernah didengar, ditonton di filem dan televisyen tetapi tidak pernah sekalipun dia terserempak dengan hantu, jin, penunggu atau jembalang. Dia menganggap makhluk-makhluk ghaib adalah ilusi fikiran manusia. Ada manusia mengaku yang mereka pernah melihat hantu. Kewujudan mereka menurutnya, adalah hasil kepercayaan yang mendalam terhadap kekuatan metafizikal. Ianya tidak ada pada fikiran yang menyangkal kewujudannya.
Osman memahami betapa tidak dapat dipercayai mata yang dimiliki manusia. Walaupun banyak yang mengakui bahawa mata manusia adalah mata yang tersempurna sekali di antara mana-mana makhluk di muka bumi ini. Bagi Osman, tidaklah demikian. Deria penglihatan manusia mudah tertipu derigan helah ahli sihir. Ini merupakan bukti ketidaksempurnaan mata. Pada setiap satu saat, mata manusia merakam 24 rangkaian penglihatan. Gerakan tangan ilusyenis begitu cepat memerlukan 36 bingkai penglihatan untuk memungkinkan mata manusia mengesan datangnya benda yang diadakan dalam sekelip mata. Jadi, ada bingkai yang tercicir pada gerakan ilusi. Otak hanya mengolah apa yang dirakam oleh deria penglihatan. Beberapa kali Osman pernah seolah-olah melihat seperti seseorang serba putih berdiri di tepi jalan ketika sedang memandu. Untuk memastikan penglihatannya merakam sesuatu yang keliru, dia mengundurkan keretanya ke tempat yang dia ternampak orang tua serba putih itu. Apabila dihampirinya, ternyata ianya adalah pesawat telekom yang berdiri tegak di tepi jalan. Setiap kali dia memandu kereta melintasi tempat itu, terasa lagi seperti orang tua serba putih seolah-olah menunggu. Sejak itu, Osman sedar betapa mata manusia tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Pada suasana seperti mana Osman hadapi sekarang, pengekalan objektiviti benaknya adalah amat penting untuk mengalahkan kekuatan metafizikal yang juga sedikit mempunyai tempat di otaknya.
Manusia seperti Osman tidak bebas daripada kekuasaan metafizikal. Dia dibesarkan di tangan pembantu-pembantu. Sebahagian besar kekuatan metafizikal diperkenalkan oleh pembantu-pembantu rumahtangga yang mengasuhnya sejak dalam pantang lagi. Dia lebih akrab dengan pembantu rumah dan emaknya. Osman dapat merakam kembali bagaimana dia akan menangis bila pembantu rumahnya hendak keluar ke pasar. Tetapi dia akan kelihatan bermainmain riang bila emaknya hendak keluar berbelanja. Hanya akan datang kepada emaknya apabila dipanggil untuk menerima sekuntum kucupan di pipinya. Tatkala dia menunjukkan ketakutan pada kegelapan, bapanya akan memarahinya sambil mengatakan gelap itu adalah kerana tidak ada cahaya. Apabila dia cukup besar, bapanya mengajar kewujudan hantu dan iembalang hanya di fikiran kita saja. Mereka tidak akan mengganggu kita yang tidak percaya.
Terasa subuh semakin dekat. Jam di tangannya memastikan kedatangan fajar pagi tidak lama lagi. Kesejukan pagi mulai dirasakan. Sepanjang malam dia tidak merasanya. Dia mengerti senibina kolonial pada bangunan tua itu direka supaya ia dapat menyimpan haba di malam hari. Ini merupakan kebiasaan bukan disengajakan. Suara azan mulai kedengaran saling bertindih daripada beberapa kejauhan. Hanya kokokan ayam jantan tidak kedengaran.
Tetapi siang tetap akan datang meskipun tidak ada seekor ayam pun di bumi ini.
Cerahnya pagi mulai masuk melalui jerjak angin di stor itu. Terasa senak di sekitar punggungnya. Dia tahu di makmal Dr Jalani ada bilik air. Perasan ambivalen membuatkan dia serba salah. Antara kehendak-kehendak biologi dengan kemungkaran yang tinggi risikonya. Akhirnya kemenangan pada kekuatan biologi yang memaksa dia meninggalkan stor itu untuk masuk ke makmal Dr Jalani sekali lagi. Cahaya awal pagi membolehkan berjalan tanpa kesukaran biarpun dia tidak sempat menekan suis lampu. Bilik air itu dimanfaat tidak sahaja untuk mengosongkan juburnya juga menghilangkan keringat yang telah pun kering semalaman.
Setelah selesai, Osman mengenakan pakaian yang sama. Walaupun tidak selesa, dia tidak dapat berbuat apa-apa. Osman hanya menggunakan tuala tangan untuk mengesatkan tubuhnya. Di beberapa tempat di badannya, air mandian yang masih tertinggal melekatkan bajunya dengan permukaan kulit. Akan kering sendiri, acuhnya. Dia bergegas keluar takut kalau-kalau atendan makmal itu datang awal.
Osman seperti sudah tahu apa yang perlu dia buat. Dia masuk ke stor itu untuk bersembunyi. Osman mengemaskan keadaan stor seakan-akan stor itu tidak dikunjungi sesiapa pada malam itu. Pintu muzium akan dibuka pada pukul 8:00 pagi atau beberapa minit Iebih awal. Osman terpaksa menunggu sampai pukul 8:15 pagi untuk berpura-pura belajar di hadapan balang-balang spesimen anatomi.