Pada tahun 1994, rancangan TV Pendidikan ditayangkan di TV2. Ia bermula pada pukul 7.20 pagi sehinggalah 1.00 petang dan disambung semula pada 2.00 petang sehingga 5.00 petang. Pada tahun 1995, TV Pendidikan berakhir pada pukul 4.00 petang manakala pada tahun 1997, ianya disudahi pada jam 3.00 petang. Sepanjang penayangan TV Pendidikan, ia dipecahkan kepada beberapa mata pelajaran.
Antara mata pelajaran yang difokuskan di dalam TV Pendidikan adalah:
Bahasa Malaysia
Bahasa Inggeris
Ilmu Hisab (Matematik)
Alam dan Manusia (Sejarah + Geografi + Sains)
Pendidikan Islam
Pendidikan Moral
Setiap satu mata pelajaran adalah sepanjang 30 minit termasuklah iklan. Oleh kerana TV Pendidikan hanya ditayangkan setiap hari Isnin sehinggalah hari Khamis, slot pada waktu pagi adalah jarang dapat ditonton oleh pelajar. Walau bagaimanapun, pelajar yang tidak pergi ke sekolah akan dapat menonton TV Pendidikan di rumah supaya dapat mengisi masa disamping mengambil hati ibu di rumah.
Setiap mata pelajaran diajar dengan kaedah yang menarik seperti grafik, drama, visual dan teknik yang menarik supaya penonton menjadi tertarik dan mudah belajar.
Kadang kala, apabila terdapat kelas yang ketiadaan guru akibat tidak dapat hadir, guru ganti akan membawa murid-murid pergi ke bilik tayangan untuk menonton TV Pendidikan.